Apa itu Insomnia?
Insomnia merujuk kepada gangguan tidur di mana seseorang menghadapi kesukaran untuk tidur atau mempertahankan tidur yang mencukupi. Orang yang mengalami insomnia akan mengalami kesulitan untuk tidur pada waktu malam atau sering terkejut daripada tidur secara berulang kali semasa tidur.
Berapa jam harus kita tidur setiap hari?
Jumlah jam tidur yang disyorkan setiap hari bergantung kepada peringkat umur, keadaan kesihatan dan aktiviti harian seseorang. Berikut adalah jumlah jam tidur yang disyorkan oleh National Sleep Foundation berdasarkan peringkat umur:
- Bayi (0-3 bulan): 14-17 jam
- Bayi (4-11 bulan): 12-15 jam
- Kanak-kanak prasekolah (1-2 tahun): 11-14 jam
- Kanak-kanak pra-sekolah (3-5 tahun): 10-13 jam
- Kanak-kanak sekolah (6-13 tahun): 9-11 jam
- Remaja (14-17 tahun): 8-10 jam
- Dewasa (18-64 tahun): 7-9 jam
- Warga tua (65 tahun ke atas): 7-8 jam
Apakah punca-punca kanak-kanak mengalami insomnia?
Mengikut satu kajian, dianggarkan seramai 25% kanak-kanak di seluruh dunia mengalami masalah insomnia. Sebahagian daripada kanak-kanak ini akan berterusan mengalami masalah ini sampai ke peringkat dewasa.
Insomnia pada kanak-kanak boleh disebabkan oleh beberapa faktor. Berikut adalah beberapa punca insomnia di kalangan kanak-kanak:
- Gangguan tidur: Gangguan tidur seperti sleep apnea (gangguan pernafasan semasa tidur) dan restless leg syndrome boleh menyebabkan kesukaran tidur pada kanak-kanak.
- Gangguan emosi: Stres, cemas dan tekanan emosi seperti perubahan dalam kehidupan keluarga, perpisahan atau perceraian ibu bapa, konflik keluarga atau masalah sekolah boleh menyebabkan kegelisahan pada kanak-kanak dan ia boleh menghantui pemikiran mereka sehingga ke waktu tidur.
- Perubahan rutin tidur: Perubahan rutin tidur seperti perubahan jadual tidur, perpindahan ke tempat tidur yang baru atau keadaan persekitaran yang tidak selesa boleh menyebabkan insomnia pada kanak-kanak.
- Faktor fizikal: Kecacatan fizikal, kesakitan atau ketidakselesaan yang disebabkan oleh penyakit-penyakit tertentu seperti colic (masalah perut kembung di kalangan bayi), gigi yang tumbuh, alahan atau masalah pernafasan seperti asma boleh mengganggu tidur kanak-kanak.
- Faktor gaya hidup: Pengambilan makanan atau minuman yang mengandungi kafein, penggunaan telefon pintar atau permainan video pada waktu malam serta kurang bersenam boleh menyebabkan insomnia pada kanak-kanak.
- Gangguan mental atau neurologi: Kanak-kanak yang menghidap masalah gangguan perkembangan seperti autisme, ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) atau masalah neurologi yang lain boleh menyebabkan mereka mengalami masalah insomnia.
5 Tips untuk mengatasi insomnia di kalangan kanak-kanak
Berikut adalah beberapa tips yang boleh membantu anda untuk mengatasi masalah susah tidur di kalangan anak-anak anda.
- Ubah cara diet
- Elakkan makan malam 2 jam sebelum waktu tidur.
- Jangan mengambil snek atau minuman manis seperti coklat dan gula-gula 1 jam sebelum waktu tidur.
- Galakkan anak anda minum susu yang suam sebelum tidur kerana ia membantu untuk memberikan rasa kenyang dan mengantuk.
- Elakkan pengambilan minuman berkafein pada waktu malam seperti kopi dan teh.
- Bina suasana yang tenteram di bilik tidur anak-anak
- Jangan letakkan radio dan televisyen di dalam bilik tidur anak-anak. Pastikan mereka tidak menonton gajet seperti telefon pintar dan televisyen sejam sebelum waktu tidur.
- Meletakkan lampu bilik tidur yang lembut dan berwarna spektrum kuning atau jingga serta tidak terang boleh merangsangkan rasa mengantuk. Anda juga boleh mempertimbangkan untuk meletakkan ‘timer’ pada suis lampu agar ia boleh menjadi malap dengan sendiri selepas satu peringkat masa.
- Wujudkan rutin tidur pada anak-anak anda
- Biasakan anak-anak anda untuk berada di bilik tidur pada waktu yang tetap pada setiap malam.
- Didik mereka dengan beberapa rutin yang sihat 30 minit sebelum waktu tidur seperti menggosok gigi dan membuang air kecil.
- Bagi kanak-kanak kecil, anda digalakkan untuk bersama mereka di bilik tidur untuk satu tempoh masa untuk menceritakan cerita-cerita hikayat yang menarik kerana ia boleh menjadi satu rutin yang disukai oleh kanak-kanak sebelum tidur.
- Galakkan mereka untuk bersenam
- Mengikut kajian, kanak-kanak yang bermain atau bersenam pada waktu petang lebih mudah tidur pada waktu malam kerana mereka mudah berasa penat dan mengantuk.
- Elakkan anak-anak anda berlari atau terkinja-kinja pada waktu malam kerana ia boleh merangsang hormon tertentu yang boleh merencatkan rasa mengantuk.
- Didik anak anda untuk berdikari pada waktu malam
- Latih anak anda supaya tidak mengejut anda sekiranya mereka terkejut daripada tidur di tengah malam. Wujudkan rasa selesa dan selamat di persekitaran bilik tidur mereka dengan meletakkan lampu malap, ‘mobile CCTV’ atau ‘baby monitor’ dan bantal berbentuk haiwan atau adiwira kesayangan mereka.
Namun bagi kanak-kanak yang menghidap masalah tidur yang berlarutan yang disusuli dengan gejala-gejala lain seperti susut berat badan, hilang selera makan, kerap mengigau dan sebagainya, anda harus membawa mereka untuk berjumpa doktor bagi mengenalpasti sama ada mereka menghidap penyakit-penyakit tertentu.