Home Artikel Popular Senggugut | Punca & 10 Tips Mengurangkan Senggugut Teruk

Senggugut | Punca & 10 Tips Mengurangkan Senggugut Teruk

by admin
0 comment
sakit senggugut

Apa itu senggugut?

Senggugut atau dismenorea adalah sakit atau kekejangan pada bahagian bawah abdomen yang dialami oleh wanita semasa atau sebelum haid. Gejala ini adakala disertai dengan simptom-simptom lain seperti sakit pinggang, perut kembung, mual dan rasa kejang pada bahagian paha.

Dianggarkan seramai 60-70% kaum wanita di Malaysia menghidap senggugut.

Jenis-jenis senggugut

Senggugut terbahagi kepada 2 jenis iaitu:

  1. Senggugut primer
    • Senggugut jenis ini kerap dialami oleh kaum wanita. Ia berlaku disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon dan gejala ini tidak disebabkan oleh kehadiran penyakit ginekologi seperti fibroid dan sista (cyst).
  2. Senggugut sekunder
    • Senggugut jenis memerlukan perhatian doktor kerana ia biasanya menyebabkan sakit perut yang teruk disertai oleh kitaran haid yang tidak teratur seperti perdarahan yang berpanjangan. Ia biasanya dikaitkan dengan kehadiran penyakit ginekologi seperti fibroid atau sista (cyst). 

Bagaimana senggugut terjadi?

Senggugut terjadi apabila otot-otot dinding rahim mengalami kontraksi ekstrim yang berulang-ulang semasa haid. Kontraksi berlaku disebabkan oleh tindak balas otot-otot myometrium terhadap sejenis bahan kimia iaitu prostaglandin yang dirembeskan oleh rahim.

Kontraksi ekstrim yang berulang-ulang ini akan menyebabkan peredaran darah pada rahim terganggu lalu menyebabkan rahim mengalami keadaan kekurangan oksigen.

Kontraksi rahim akan menyebabkan dinding endometrium rahim menjadi nipis kepada keadaan normal. Tindak balas ini yang menyebabkan berlakunya perdarahan semasa haid.

11 Tips berkesan untuk mengurangkan sakit senggugut yang teruk

Terdapat beberapa cara yang boleh diamalkan oleh kaum wanita untuk mencegah atau mengurangkan sakit senggugut yang teruk. Antara cara yang berkesan adalah:

  1. Ambil diet yang boleh membantu melegakan kekejangan dinding rahim
    • Sesetengah makanan boleh memberikan kelegaan semula jadi terhadap kekejangan pada dinding rahim semasa senggugut. Ia juga boleh membantu melancarkan aliran darah bagi memastikan rahim mendapat oksigen dan nutrien yang mencukupi.  Makanan yang disyorkan adalah buah beri, tomato, nanas, kunyit, halia, bawang putih, sayur-sayuran hijau, badam, walnut dan ikan yang mengandungi kandungan omega-3 yang tinggi seperti salmon.
  2. Elakkan makanan yang boleh merangsang proses keradangan
    • Keradangan dinding rahim boleh berlaku sekiranya rahim tidak mendapat oksigen yang mencukupi semasa kontraksi ekstrim dinding myometrium rahim. Bagi mengelak risiko keradangan ini, makanan tertentu harus dielakkan dalam tempoh beberapa hari sebelum haid dan semasa kedatangan haid. Makanan yang harus dielakkan ialah:
      1. makanan yang mengandungi kandungan gula jenis dekstrosa, sirap jagung, glukosa, madu Agave, maltosa dan molase (sirup hitam)
      2. makanan yang diproses seperti daging burger, nugget, sosej dan makanan dalam tin
      3. makanan yang mengandungi karbohidrat yang tinggi seperti nasi, pasta dan roti canai
      4. makanan yang  mengandungi lemak trans yang tinggi seperti makanan segera, makanan ringan dan makanan yang digoreng dalam minyak yang digunakan berulang kali
      5. pemanis tiruan jenis aspartam dan sakarin
  3. Elakkan pengambilan minuman berkafein
    • Kafein boleh menyebabkan pengecutan pada dinding salur darah dan ini boleh mengganggu peredaran darah pada rahim semasa kontraksi otot rahim. Oleh itu, minuman berkafein seperti kopi dan nescafe harus dielakkan.
  4. Minum lebih banyak air kosong untuk mengurangkan masalah kembung perut
    • Perut kembung boleh meningkatkan tekanan pada bahagian dalam abdomen dan ia boleh menyebabkan rahim berada dalam keadaan tertekan. Akibatnya, peredaran darah ke rahim boleh terganggu. Bagi mengelak daripada berlakunya gejala ini, minumlah air kosong yang mencukupi.
    • Pengambilan air suam juga boleh meningkatkan aliran darah dan mengendurkan otot pada dinding rahim. Ini boleh mengurangkan kekejangan yang disebabkan oleh pengecutan otot pada dinding rahim.
  5. Amalkan teh herba
    • Teh herba seperti teh chamomile, teh adas dan teh halia boleh membantu melegakan kekejangan pada dinding rahim.
  6. Lakukan tuaman panas pada bahagian perut
    • Haba boleh meningkatkan aliran darah dan melegakan ketegangan pada dinding rahim. Oleh itu, amalan meletakkan pad pemanas pada bahagian perut atau melakukan mandi secara berendam di dalam air panas dapat melegakan sakit senggugut.
  7. Amalkan pengambilan suplemen
    • Pengambilan suplemen Vitamin D, minyak Omega-3 seperti minyak zaitun dan minyak sacha inchi, Vitamin E dan magnesium boleh membantu mengawal keradangan pada dinding rahim semasa kontraksi. Untuk mendapat kesan yang optimum, suplemen ini harus diamalkan setiap hari dan bukannya sewaktu atau beberapa hari sebelum kedatangan haid.
  8. Melakukan senaman ringan
    • Senaman ringan selama 15 minit boleh membantu meningkatkan paras endorfin di dalam darah dan ia boleh membantu melegakan rasa sakit dan stres semasa haid. Antara senaman yang sesuai dilakukan semasa kedatangan haid ialah yoga, berjalan santai dan senaman regangan ringan.
  9. Melakukan meditasi atau terapi pernafasan mendalam
    • Meditasi dan terapi pernafasan mendalam boleh membantu melegakan stres mental dan fizikal semasa senggugut. 
    • Cara melakukan terapi pernafasan mendalam adalah seperti berikut:
      1. Pilih kedudukan yang selesa: 
        1. Duduk dengan tegak atau berbaring terlentang di atas permukaan yang rata. 
        2. Letakkan satu tangan di atas dada dan satu lagi di atas perut berhampiran dengan kawasan pusat.
      2. Santaikan badan:
        1. Pastikan otot-otot tubuh anda berada dalam keadaan rehat dan selesa terutama pada bahagian leher dan bahu.
      3. Tarik nafas secara perlahan-lahan:
        1. Tarik nafas secara perlahan-lahan melalui hidung.
        2. Semasa anda menarik nafas, fokuskan kepada pergerakan perut yang akan mengembung.
      4. Tahan nafas seketika:
        1. Tahan nafas seketika apabila anda telah menarik nafas ke tahap maksimum. Kemudian hembuskan nafas melalui mulut atau hidung secara perlahan-lahan.
        2. Rasakan bagaimana perut kembali mengecut ketika udara dikeluarkan.
      5. Amalkan teknik pernafasan ini secara berulang
  10. Melakukan urutan refleksologi pada bahagian kaki
    Carta refleksologi kaki

    Bahagian kaki pada carta refleksologi kaki yang harus diurut untuk melegakan sakit senggugut.

    • Melakukan urutan pada bahagian tertentu kaki boleh membantu melancarkan peredaran darah dan meredakan ketegangan otot pada bahagian rahim semasa senggugut.
  11. Pengambilan ubat jenis non-steroidal anti-inflammatory drug (NSAID)
    • Sekiranya anda memerlukan kelegaan yang cepat, anda boleh mendapatkan ubat NSAID seperti mefenamic acid, ibuprofen atau naproxen di farmasi yang berdekatan. Namun ubat ini harus diambil sekiranya sakit anda sangat teruk sehingga mengganggu aktiviti harian anda.

Walau bagaimanapun, sekiranya simptom anda tidak lega selepas mencuba tips-tips di atas atau kerap mengalami senggugut yang teruk setiap bulan, anda dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan doktor bagi mengesan sebarang kehadiran penyakit ginekologi pada sistem peranakan anda.

You may also like

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar