Jumaat, 11 Oktober 2024
Tanya Dr Akbar
Home Wanita Endometriosis | Punca, Tanda, Diagnosis dan Rawatan

Endometriosis | Punca, Tanda, Diagnosis dan Rawatan

by admin
0 comments
sakit endometriosis

Apa itu endometriosis?

Endometriosis adalah sejenis penyakit kronik yang boleh berlaku pada wanita pada usia reproduktif terutama apabila mereka mencecah umur antara 30-40 tahun. Ia berlaku disebabkan oleh kehadiran tisu endometrium di kawasan luar rahim seperti tiub fallopian, ovari, ligamen rahim dan peritoneum.

Endometriosis mudah berlaku pada wanita yang mempunyai masalah-masalah berikut:

  1. sejarah keluarga yang menghidap endometriosis
  2. kitaran haid yang singkat (< 27 hari)
  3. haid yang lama (> 7 hari)
  4. mencapai akil baligh pada awal usia
  5. mengalami perdarahan yang banyak semasa haid
  6. mengandung pada usia lewat (> 30 tahun)

Apakah punca endometriosis?

Endometriosis berlaku melalui peringkat-peringkat berikut:

  1. Rembesan hormon estrogen semasa kitaran haid
    • Pada setiap kitaran haid, ovari akan merembeskan hormon estrogen. Estrogen merangsang tumbesaran tisu endometrium di dalam rahim lalu menyebabkan dinding rahim menjadi tebal.
  2. Tisu endometrium di luar rahim juga terpengaruh dengan rangsangan estrogen 
    • Tisu endometrium yang terletak di luar rahim seperti ovari, saluran fallopian dan dinding peritoneum juga menerima rangsangan hormon estrogen. Ia akan menyebabkan lapisan endometrium tersebut turut menjadi tebal.
  3. Penurunan paras estrogen
    • Apabila paras estrogen menurun menjelang haid, tisu endometrium di dalam rahim mengalami pengelupasan dan akan dikeluarkan sebagai darah haid melalui saluran serviks dan vagina.
    • Tisu endometrium di luar rahim juga akan mengalami tindak balas ini. Namun, darah haid tidak dapat disingkirkan daripada badan dan ia akan terperangkap di dalam ruang pelvis.
  4. Pendarahan dan keradangan berulang
    • Tisu endometrium yang terperangkap di luar rahim akan menyebabkan perdarahan dan keradangan pada kawasan pelvis tersebut setiap kali kitaran haid berlaku.
  5. Pembentukan tisu parut (fibrosis)
    • Keradangan berterusan menyebabkan pembentukan tisu parut di sekitar kawasan pelvis yang terlibat. Ia akan menyebabkan bahagian tersebut menjadi keras dan sakit pada setiap pergerakan semasa haid.

Apakah tanda-tanda penyakit endometriosis?

Tanda utama endometriosis ialah sakit pada bahagian pelvis terutama pada waktu kedatangan haid. Walaupun ramai wanita yang mengalami senggugut semasa haid, mereka yang menghidap endometriosis biasanya mengalami kesakitan ini jauh lebih teruk daripada biasa.

Wanita yang menghidap penyakit endometriosis biasanya akan mengalami tanda-tanda berikut semasa kedatangan haid:

  1. Senggugut yang menyakitkan (dismenorea). Pesakit akan mengalami sakit dan rasa kejang pada bahagian pelvis dan simptom ini akan disertai dengan sakit pinggang dan rasa kejang pada bahagian paha. Simptom ini boleh berlarutan sehingga beberapa hari selepas haid tamat. 
  2. Pendarahan yang berlebihan dan berpanjangan semasa kedatangan haid. Pesakit juga mungkin boleh mengalami pendarahan antara haid. 
  3. Sakit pada bahagian abdomen pada setiap pergerakan usus atau semasa kencing. 
  4. Sakit pada bahagian pelvis semasa dan selepas melakukan persetubuhan.  
  5. Kadangkala, endometriosis didiagnosis pada wanita yang mendapatkan rawatan untuk kemandulan buat pertama kali. 
  6. Tanda dan gejala lain. Pesakit mungkin mengalami keletihan, cirit-birit, sembelit, kembung perut atau loya terutamanya semasa kedatangan haid.

Bagaimana endometriosis didiagnosis?

Simptom-simptom yang dialami oleh pesakit boleh menjadi satu petanda kepada doktor bahawa pesakit tersebut mungkin menghidap endometriosis.

Namun untuk mendiagnosis penyakit ini, pesakit perlu menjalani pemeriksaan perubatan berikut:

  1. Pemeriksaan fizikal pada bahagian pelvis
    • pemeriksaan ini penting untuk mengesan kehadiran bengkak dalaman yang sakit.
  2. Pemeriksaan darah CA-125
    • ujian darah CA-125 akan menunjukkan paras yang tinggi pada kebanyakan pesakit yang menghidap endometriosis. Namun, ia juga boleh disebabkan oleh penyakit kanser sistem peranakan. Oleh itu, pemeriksaan yang lebih lanjut perlu dijalankan.
  3. Ultrasonografi
    ultrasonografi endometriosis

    pemeriksaan ultrasonografi

    • pemeriksaan ultrasonografi boleh mengesan kehadiran gumpalan tisu endometriosis terutama pada bahagian ovari.
    • namun pemeriksaan ini tidak dapat mengesan kehadiran tisu endometriosis yang kecil.
  4. Laparoskopi
    • Ia adalah kaedah yang sangat tepat untuk mendiagnosis endometriosis. Semasa prosedur ini dijalankan, doktor juga akan cuba membuang seberapa banyak tisu endometriosis yang hadir.

Apakah kaedah rawatan penyakit endometriosis?

Sebenarnya, tiada kaedah rawatan yang benar-benar mutlak untuk rawatan penyakit endometriosis. Tujuan utama rawatan adalah untuk:

  • melegakan kesakitan 
  • mengurangkan tumbesaran tisu endometriosis

Cara untuk merawat penyakit endometriosis terbahagi kepada beberapa kaedah iaitu:

  1. Pengambilan ubat penahan sakit 
    • Sesetengah wanita mungkin mengalami kesakitan untuk tempoh yang singkat. Bagi pesakit ini, ubat penahan sakit sudah mencukupi untuk melegakan simptom mereka. Jenis ubat penahan sakit yang biasa diberikan adalah: 
      1. paracetamol
      2. non-steroidal anti-inflammatory drug (NSAIDS) seperti ponstan, ibuprofen dan naproxen
      3. morfin (bagi kesakitan yang serius)
  2. Pembedahan
    • Pembedahan laparoskopi adalah pilihan rawatan yang utama. Ia boleh mendiagnosis dan merawat penyakit endometriosis dalam masa yang sama. Semasa pembedahan, tisu-tisu endometriosis yang dikesan akan dibuang sebanyak yang boleh.
    • Dalam keadaan yang tertentu, pembedahan laparotomi mungkin perlu dilakukan untuk mengeluarkan tisu endometriosis yang besar dan meluas.
  3. Terapi hormon 
    • Penyakit endometriosis boleh menjadi melarat disebabkan oleh kehadiran hormon estrogen. Paras estrogen akan meningkat pada setiap kitaran haid. Oleh itu, salah satu cara untuk menyekat tumbesaran tisu endometriosis dan melegakan simptom adalah dengan menghindari paras estrogen daripada meningkat pada setiap kitaran haid. 
    • Terapi hormon biasanya diberikan selepas pesakit selesai menjalani pembedahan laparoskopi.
    • Jenis-jenis terapi hormon yang digunakan adalah:
      • pil kontraseptif
      • analog hormon pelepas gonadotropin (GnRH)
      • progestogen
      • danazol dan gestrinone
      • aromatase inhibitor

You may also like

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar