Jumaat, 11 Oktober 2024
Tanya Dr Akbar
Home Wanita Mengandung luar rahim | Punca, Tanda & Rawatan

Mengandung luar rahim | Punca, Tanda & Rawatan

by admin
0 comments
kehamilan ektopik

Apa itu mengandung luar rahim?

Mengandung luar rahim atau kehamilan ektopik berlaku apabila telur yang disenyawakan melekat dan membesar di mana-mana kawasan yang terletak di luar daripada lapisan dalam dinding rahim. Oleh kerana bahagian badan yang lain tidak boleh menampung kehamilan, ini akan mengakibatkan tempat tersebut membengkak lalu pecah dan berdarah apabila janin semakin membesar.

Tempat yang paling kerap untuk berlaku kandungan luar rahim ialah tiub fallopian (98%) dan oleh itu ia biasanya dipanggil kehamilan tiub. Kehamilan tiub juga boleh berlaku pada hujung infundibular dan fimbrial (5% daripada semua ektopik), bahagian ampulla (80%), isthmus (12%), dan bahagian cornual dan interstitial tiub (2%).

anatomi kehamilan ektopik

bahagian yang berlaku kehamilan ektopik

Mengandung luar rahim perlu dirawat dengan segera kerana ia boleh mengancam nyawa. Kehamilan luar rahim mesti didiagnosis dan dirawat secepat mungkin sebelum kandungan tersebut pecah dan mengakibatkan perdarahan dalaman yang serius.

Kandungan yang terletak di luar rahim juga tidak boleh dipindahkan ke dalam rahim.

Dalam kes yang jarang berlaku, kehamilan ektopik mungkin berlaku pada masa yang sama dengan kehamilan dalam rahim. Keadaan ini dinamakan sebagai kehamilan heterotropik.

Faktor risiko untuk mengandung luar rahim

Kehamilan biasanya berlaku apabila telur dan sperma bertemu di dalam tiub fallopian. Embrio yang terhasil perlu bergerak ke dalam rahim untuk melekat pada dinding endometrium rahim. Sekiranya proses ini terganggu, ia boleh menyebabkan kehamilan ektopik.

Antara faktor utama berlakunya kandungan luar rahim ialah ketidaknormalan pada struktur anatomi tiub fallopian.

Lapisan dalam tiub fallopian disaluti dengan unjuran seperti rambut yang dipanggil silia. Pengangkutan embrio di sepanjang tiub fallopian dibantu oleh pergerakan silia ini. Oleh itu, jika pergerakan silia terganggu, embrio akan terperangkap di dalam tiub fallopian lalu mengakibatkan berlakunya kehamilan ektopik.

Beberapa faktor risiko yang boleh mengakibatkan berlakunya kandungan luar rahim ialah:

  1. Sejarah kehamilan ektopik
    • Pesakit yang pernah mengalami kehamilan ektopik sebelum ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalaminya sekali lagi berbanding dengan pesakit yang tidak pernah mempunyai sejarah mengandung luar rahim.
  2. Keabnormalan kongenital tiub fallopian
    • Keabnormalan kongenital tiub fallopian boleh menyebabkan implantasi embrio yang tidak normal yang membawa kepada kehamilan ektopik.
  3. Sejarah pembedahan pada tiub fallopian
    • Pembedahan pada tiub fallopian seperti pengikatan tiub dan pembaikan tiub fallopian boleh menyebabkan pembentukan parut lalu menyempitkan saluran tiub fallopian. Ini akan menyukarkan pergerakan embrio untuk sampai ke rahim lalu meningkat risiko embrio untuk terperangkap di dalam tiub fallopian.
  4. Jangkitan kuman pada pelvis
    • Jangkitan kuman pada pelvis seperti penyakit radang pelvis juga meningkatkan risiko kehamilan ektopik. Penyakit radang pelvis biasanya berpunca daripada jangkitan gonorea dan clamydia yang disebabkan oleh amalan seks rambang. Jangkitan tersebut akan menyebabkan keradangan pada lapisan dalam tiub fallopian dan ini akan mengakibatkan tiub menjadi sempit lalu menyukarkan pergerakan embrio ke dalam rahim.
  5. Kehadiran endometriosis, fibroid dan tisu parut di dalam pelvis
    • Kehadiran endometriosis, fibroid dan tisu parut di dalam pelvis boleh menyebabkan penyempitan tiub fallopian. Ini boleh menyukarkan pergerakan embrio dari tiub fallopian ke dalam rahim.
  6. Penggunaan alat kontraseptif dalam rahim (IUCD)
  7. Tabiat merokok 
    • Tabiat merokok boleh mengganggu pergerakan silia yang terletak di sepanjang dinding dalam tiub fallopian. Ini boleh mengakibatkan pergerakan embrio pada sepanjang tiub fallopian menjadi lambat lalu meningkatkan risikonya untuk terperangkap di dalam tiub tersebut.

Apakah tanda-tanda mengandung luar rahim?

Tanda-tanda mengandung luar rahim biasanya akan berlaku pada minggu ke 6-8 daripada tarikh terakhir haid. Tanda-tanda yang berlaku adalah:

  1. ketidakhadiran haid pada tarikh yang dijangka
  2. perdarahan yang tidak normal pada vagina
  3. sakit pada salah satu daripada bahagian bawah abdomen

Sekiranya kandungan luar rahim telah pecah, tanda-tanda berikut akan berlaku:

  1. sakit teruk yang berlaku secara tiba-tiba pada bahagian bawah abdomen dan merebak dengan cepat ke seluruh abdomen
  2. berpeluh secara banyak, pening kepala dan rasa pitam
  3. sakit pada bahagian bahu kerana perdarahan yang berlaku merangsangkan bahagian diafragma
  4. tekanan darah menjadi rendah dan pernafasan menjadi tercungap-cungap akibat kehilangan darah yang banyak

Tanda-tanda lain mengandung seperti muntah, loya dan sakit pada payu dara juga akan berlaku dan perlu diambil perhatian untuk mengesahkan kehamilan.

Cara mendiagnosis kehamilan luar rahim

Kehamilan luar rahim perlu dikesan dengan awal dan cepat bagi mengelakkan ianya daripada pecah. Sekiranya anda mengesyakinya, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan berikut:

  1. pemeriksaan pelvis 
    • pemeriksaan ini dapat mengesan kehadiran bengkak yang sakit pada bahagian bawah dan belakang serviks.
  2. imbasan ultrasound transvaginal
    • ia adalah cara yang terbaik untuk mengesan kehadiran kandungan luar rahim. 
  3. laparoskopi
    • prosedur ini perlu dilakukan sekiranya imbasan ultrasound transvaginal tidak dapat mengesan kehadiran kantung kehamilan 

Apakah rawatan mengandung luar rahim?

Terdapat 2 jenis rawatan kehamilan luar rahim iaitu:

  1. Pembedahan laparoskopi atau laparotomi
    • Pembedahan laparoskopi lebih kerap dijalankan dan ia sesuai bagi kes kandungan yang belum pecah.
    • Namun sekiranya kandungan telah pecah dan berlakunya perdarahan yang banyak atau terdapat lekatan pelvis yang meluas, pembedahan laparotomi terpaksa dilakukan.
  2. Kaedah perubatan
    • Kaedah ini sesuai dilakukan bagi kes mengandung luar rahim yang dikesan awal dan masih belum pecah. 
    • Pesakit akan diberikan ubat kemoterapi jenis methotrexate untuk menggalakkan proses keguguran kandungan. Semasa dalam rawatan, paras hormon beta-HCG perlu dipantau dari masa ke semasa bagi memastikan parasnya menurun.
    • Kebaikan kaedah ini ialah pesakit tidak perlu menjalani pembedahan. Namun, sekiranya kaedah ini gagal, pesakit akan perlu dibedah dan ia boleh meningkatkan risiko untuk berlakunya kandungan pecah.

You may also like

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar