Apakah tanda-tanda penyakit asma?
Asma adalah sejenis penyakit kronik yang disebabkan oleh tindak balas alahan pada saluran pernafasan. Tindak balas alahan yang terjadi menyebabkan dinding saluran pernafasan bronkus dan bronkiol pada paru-paru mengalami keradangan lalu mengakibatkan ianya menjadi sempit. Di samping itu, proses radang ini juga boleh menyebabkan pengumpulan lendir pada paru-paru.
Tanda-tanda seseorang pesakit mengalami asma ialah dia akan mengadu simptom-simptom berikut:
- Sesak Nafas: Ia berlaku terutamanya ketika melakukan aktiviti fizikal atau apabila terdedah kepada alergen seperti habuk, bau yang kuat, bulu haiwan dan asap. Kesukaran bernafas ini boleh bermula secara perlahan atau mendadak.
- Rasa ketat pada dada: Ia disifatkan sebagai rasa berat atau tertekan pada dada.
- Batuk kering atau berlendir: Batuk kering lebih kerap terjadi berbanding batuk berlendir. Ia berlaku terutamanya pada waktu malam dan boleh mengganggu tidur.
- Jantung berdebar: Dengupan jantung atau denyutan nadi laju boleh berlaku semasa serangan asma. Ini terjadi sebagai tindak balas badan untuk mengekalkan penghantaran oksigen yang optimum ke seluruh badan.
- Perubahan warna bibir atau kuku: Semasa serangan asma yang teruk, warna bibir atau kuku pesakit boleh bertukar menjadi biru (cyanosis). Ini berlaku disebabkan oleh penurunan oksigen dalam darah.
Petua untuk melegakan simptom-simptom lelah tanpa ubat
Sekiranya anda kerap mengalami serangan lelah atau ianya berlaku di waktu ketiadaan ubat, anda boleh mencuba petua-petua berikut untuk melegakan simptom-simptom lelah.
Petua-petua berikut adalah:
- Amalkan senaman pernafasan.
- Berlatih teknik pernafasan dengan menghembuskan nafas dua kali lebih lama daripada menarik nafas boleh melindungi anda daripada serangan akan datang kerana ia membantu menguatkan otot-otot dinding saluran pernafasan. Teknik ini telah terbukti berkesan pada mereka yang melakukan senaman pernafasan yoga setiap hari.
- Peningkatan kawalan asma melalui senaman pernafasan ini memberikan kesan yang sama seperti pengambilan ubat lelah jenis inhaler kortikosteroid mengikut kata Mary Schatz, M.D., seorang pakar patologi di Centennial Medical Center di Nashville, Tennessee.
- Jika anda ingin mencuba teknik ini, langkah-langkahnya adalah seperti berikut:
- Langkah 1: Tutup mata anda.
- Langkah 2: Tarik nafas secara perlahan-lahan dan santai.
- Langkah 3: Hembus nafas secara perlahan-lahan dan santai.
- Langkah 4: Berhenti sejenak tanpa menahan nafas anda selama satu atau dua saat sebelum mengambil nafas seterusnya. Ini akan membenarkan proses pengeluaran nafas berlaku secara semulajadi.
- Elakkan makan pada larut malam.
- Tidur dengan perut kenyang juga boleh merangsang asma anda. Asma boleh disebabkan oleh reflux asid daripada perut yang naik ke kerongkong. Asid yang sampai ke kerongkong akan turun ke saluran pernafasan semasa anda berbaring atau tidur.
- Anda boleh mengambil antasid sebelum tidur untuk mengurangkan keasidan perut anda. Ubat lelah jenis theophylline sebenarnya boleh memburukkan keadaan anda dengan meningkatkan reflux perut. Jika anda mengambil ubat ini dan mengalami masalah reflux, pastikan anda berjumpa dengan doktor supaya dos ubat ini boleh diubah.
- Tinggikan paras bantal kepala anda.
- Kaedah ini boleh menghalang reflux asid perut daripada bergerak ke kerongkong semasa anda baring atau tidur. Ia juga dapat melegakan rasa ketat pada dada semasa serangan asma.
- Berhati-hati dengan sensitiviti anda terhadap makanan.
- Memakan atau sekadar mencium makanan juga boleh menyebabkan serangan asma. Mengikut kajian Dr John Carlston, seorang profesor perubatan di Eastern Virginia Medical School di Norfolk, beberapa jenis makanan yang paling popular menyebabkan serangan lelah ialah susu, telur, kacang dan makanan laut.
- Amalkan pengambilan ikan.
- Orang Eskimo jarang mendapat serangan asma walaupun mereka menetap di kawasan yang sejuk kerana mereka mengamalkan diet yang mengandungi ikan setiap hari. Ikan mengandungi Omega-3 yang mampu untuk mengawal tindak balas radang yang berlaku pada saluran pernafasan. Mengikut kajian Dr Walter Pickett, seorang penyelidik bio-kimia di Lederle Laboratories di Pearl River, New York, pengambilan ikan sekurang-kurangnya sekali seminggu dapat mengurangkan impak asma.
- Amalkan pengambilan suplemen atau diet yang kaya dengan Vitamin C dan zink.
- Pengambilan vitamin C dan zink dapat menstabilkan sistem imun anda dan mencegah tindak balas alahan. Mengikut satu kajian yang melibatkan lebih daripada 9000 orang, para penyelidik mendapati bahawa individu yang memiliki tahap rendah vitamin C dan zink di dalam badan menghidap lebih kerap serangan lelah.
- Sumber makanan yang kaya dengan vitamin C termasuklah buah-buahan sitrus, brokoli dan bawang bell. Manakala sumber makanan yang kaya dengan zat zink ialah tiram, daging lembu dan ketam.
- Dapatkan kelegaan daripada kafein.
- Walaupun kopi telah terbukti menyumbang kepada beberapa masalah kesihatan, ia mungkin lebih membantu daripada berbahaya untuk kebanyakan orang yang menghidap asma. Kafein, ternyata mempunyai kesan hampir sama seperti theophylline iaitu sejenis ubat untuk rawatan asma.
- Mengikut Dr Allan Becker, seorang profesor perubatan dalam bidang Pediatrik Allergi dan Imunologi di University of Manitoba, pengambilan kopi hitam yang pekat dapat melegakan simptom asma. Namun, jangan gunakan kafein sebagai pengganti kepada ubat anda. Ia hanya sesuai untuk diambil pada waktu kecemasan. Dalam keadaan kecemasan, apabila anda tidak mempunyai ubat, pengambilan dua cawan kopi hitam yang pekat (tanpa gula dan susu) boleh memberikan kelegaan sementara.
- Elakkan pengambilan ubat tahan sakit.
- Ubat tahan sakit jenis non-steroidal anti inflammatory drug (NSAID) boleh menyebabkan dinding saluran pernafasan menjadi sempit. Oleh itu, anda harus mengelakkan pengambilan ubat jenis ini terutama semasa sedang mengalami serangan lelah.
- Contoh-contoh ubat NSAID adalah mefenamic acid (ponstan), voltaren, naproxen, ibuprofen, celecoxib, aspirin dan indomethacin.