Apa yang akan berlaku bila anda terkena sengat lebah?
Pernahkan anda terkena sengat lebah? Bagi mereka yang pernah mengalaminya ia pasti akan menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Sengat lebah terletak pada bahagian belakang badan lebah iaitu pada bahagian bawah badannya yang dikenali sebagai “metasoma” atau “gaster.” Sengat ini merupakan modifikasi dari ovipositor (alat bertelur) yang terdapat pada lebah betina.
Sengat lebah terdiri daripada dua bahagian utama iaitu duri yang tajam dan berbentuk seperti jarum serta soket yang melekatkan duri itu pada badan lebah. Apabila lebah menyengat, duri tersebut ditusukkan ke dalam kulit mangsa dan soketnya akan melekat pada kulit. Seterusnya racun yang terletak pada metasoma akan disuntikkan ke dalam kulit mangsa lalu mengakibatkan bengkak dan sakit.
Apakah bahaya sengat lebah?
Mangsa akan mengalami gejala yang berbeza-beza bergantung kepada sistem imun masing-masing. Gejala-gejala yang boleh berlaku adalah:
- Reaksi anafilaksis: Gejala ini boleh mengakibatkan kesukaran bernafas, bengkak pada muka dan tekak, denyutan jantung menjadi laju, tekanan darah rendah, muntah dan pengsan. Anafilaksis perlu dirawat dengan segera kerana ia boleh membawa maut.
- Tindak balas alergi: Mangsa akan mengalami gatal-gatal, kemerahan dan bengkak pada kawasan yang disengat. Adakala tindak balas ini boleh mengakibatkan mangsa mengalami gegata seluruh badan.
- Tindak balas radang: Kawasan yang disengat akan menjadi merah, panas, bengkak dan berasa sakit.
- Infeksi: Sekiranya duri lebah ditinggalkan dalam kulit atau jika kawasan sengatan tidak dirawat dengan betul, jangkitan bakteria boleh berlaku. Ia lebih mudah berlaku pada kanak-kanak dan pesakit yang mempunyai ketahanan badan yang lemah seperti pesakit kencing manis dan HIV.
Cara yang berkesan untuk melegakan sengat lebah dengan cepat
Kebanyakan kes sengat lebah boleh dirawat dengan sendiri. Namun anda harus berjumpa dengan doktor sekiranya anda mengalami tindak balas alahan yang teruk atau anafilaksis.
Antara kaedah rawatan yang anda boleh lakukan di rumah bagi melegakan sakit dan bengkak pada bahagian badan yang disengat adalah:
- Mengikis keluar jarum sengatan pada bahagian kulit yang disengat dengan berhati-hati (perkara pertama yang harus dilakukan!!)
- Anda boleh menggunakan kad bank, pisau atau kuku yang panjang untuk mengeluarkan jarum sengatan daripada kulit. Pastikan anda tidak menekan jarum sengatan semasa mengeluarkannya kerana tindakan ini boleh mengakibatkan lebih banyak racun dipamkan ke dalam kulit.
- Menyapukan biji atau batang buah betik atau nenas yang muda pada bahagian kulit yang disengat.
- Untuk melakukan kaedah ini, anda bolehlah mengisar bahagian buah atau batang pokok buah tersebut sehingga lumat sebelum menyapukan pada bahagian kulit yang tercedera.
- Khasiatnya ialah bahagian pokok tersebut mempunyai sejenis bahan yang dinamakan papain yang mampu mencernakan protein yang terkandung dalam sengat lalu melegakan tindak balas radang.
- Menyapukan serbuk penaik (baking powder)
- Untuk melakukan kaedah ini, anda harus campurkan lebih kurang 1 sudu teh serbuk penaik dengan sedikit air bersih untuk menghasilkan pes sebelum menyapukannya pada bahagian kulit yang tercedera.
- Kaedah ini dapat meneutralkan asid yang terkandung di dalam sengat lalu melegakan rasa sakit dan bengkak.
- Menyapukan sedikit bahan yang mengandungi ammonia
- Ammonia klorida biasanya terkandung di dalam sabun pencuci tangan, syampu dan sabun badan. Sapukan sedikit bahan tersebut pada bahagian kulit yang tercedera kerana ia mengandungi alkali yang dapat meneutralkan asid yang terkandung di dalam sengat.
- Menyapukan ubat gigi
- Ubat gigi juga merupakan bahan beralkali yang dapat meneutralkan asid yang terkandung di dalam sengat lalu menghindari tindak balas alahan atau radang daripada menjadi teruk.
- Tekapkan ais atau pek sejuk pada bahagian kulit yang tercedera
- Tuaman sejuk dapat melegakan sakit dan bengkak yang disebabkan oleh tindak balas radang.
- Telan ubat antihistamin
- Antihistamin dapat membantu melegakan tindak balas alahan dengan segera. Antara antihistamin yang boleh anda ambil ialah chlorphenamine, cetirizine atau loratidine. Jangan berikan ubat ini kepada kanak-kanak tanpa mendapatkan nasihat doktor.
- Telan ubat analgesik
- Sekiranya anda mempunyai ubat tahan sakit seperti mefenamic acid (ponstan), diclofenac sodium (voltaren), meloxicam atau naproxen, anda boleh mengambilnya bagi melegakan rasa sakit dengan cepat. Namun ubat ini jangan diberikan kepada kanak-kanak tanpa mendapatkan nasihat daripada doktor anda.