Isnin, 23 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Slider Kolesterol | 5 Gaya Hidup yang Meningkatkan Paras Kolesterol

Kolesterol | 5 Gaya Hidup yang Meningkatkan Paras Kolesterol

by admin
0 comments
gaya hidup kolesterol tinggi

Apa itu Gaya Hidup Sihat?

Gaya hidup sihat dapat mencegah kenaikan tahap kolesterol darah. Ia merujuk kepada satu cara hidup yang mempromosikan kesihatan fizikal, mental dan sosial yang baik. Ia melibatkan amalan-amalan positif yang meliputi pemakanan yang seimbang dan berkhasiat, senaman yang mencukupi, tidur yang berkualiti, mengelakkan tabiat merokok atau pengambilan minuman beralkohol, menghindari penyalahgunaan dadah, mengurangkan tekanan dan menguruskan stres, serta menjalin hubungan yang sihat dengan orang lain.

Gaya hidup sihat juga boleh merangkumi amalan-amalan yang mempromosikan kesihatan mental seperti meditasi, yoga, atau terapi. Namun ramai di kalangan kita dewasa ini gemar mengamalkan gaya hidup yang kurang sihat. 

Jenis gaya hidup yang boleh meningkatkan paras kolesterol darah

  1. Diet Tinggi Lemak Tepu 
    • Pengambilan makanan yang tinggi lemak tepu seperti daging merah, makanan yang diproses dan produk tenusu berlemak tinggi boleh meningkatkan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat) di dalam darah.
    • Cara mengatasinya adalah dengan mengubah corak pemakanan kepada diet rendah lemak tepu, memilih sumber protein rendah lemak seperti daging ayam tanpa kulit, ikan dan kekacang, serta meningkatkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin yang berserat tinggi.
  2. Tidak aktif dalam aktiviti fizikal
    • Gaya hidup yang kurang aktif atau jarang melakukan aktiviti fizikal boleh menyebabkan peningkatan kadar kolesterol dalam tubuh. Antara faktor-faktor penyebab kepada berlakunya gejala ini adalah kenaikan berat badan, metabolisme lemak yang lambat dan penurunan sensitiviti insulin di dalam badan.
    • Untuk mengatasi masalah ini, anda harus menjadikan senaman sebagai sebahagian daripada rutin harian seperti berjalan kaki, berenang, berbasikal atau mengikuti kelas senaman aerobik. Anda disyorkan untuk melakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.
  3. Tabiat merokok
    • Tabiat merokok bukan sahaja boleh meningkatkan paras LDL-kolesterol (kolesterol jahat) tetapi ia juga boleh menurunkan paras HDL-kolesterol (kolesterol baik) yang sangat penting untuk membantu membersihkan plak LDL-kolesterol dari salur darah arteri.
    • Oleh itu, menghentikan tabiat merokok sangat disarankan bagi menghindari kesan hiperkolesterolemia kepada badan seperti risiko serangan jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Berikut adalah beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk menghentikan tabiat merokok:
      • tetapkan satu keazaman yang kuat untuk menghentikan tabiat merokok
      • dapatkan sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan para doktor
      • cuba kenalpasti situasi, aktiviti dan tempat yang boleh merangsangkan gian merokok dan cuba elakkannya.
  4. Obesiti
    • Obesiti berkait rapat dengan kolesterol tinggi. Obesiti boleh menyebabkan metabolisme lemak badan menjadi lambat dan melemahkan sensitiviti organ, otot dan tisu badan kepada insulin. Faktor-faktor ini yang menyebabkan peningkatan LDL-kolesterol di dalam darah.
    • Oleh itu, penurunan berat badan melalui pemakanan yang sihat dan senaman penting untuk membantu menurunkan paras kolesterol di dalam darah. Pilih makanan yang rendah kalori, tinggi serat dan rendah lemak dan amalkan senaman secara berkala untuk mencapai berat badan yang sihat.
  5. Stres
    • Stres yang kronik boleh mengganggu keseimbangan kolesterol di dalam badan. Stres boleh mengakibatkan paras hormon kortisol di dalam darah meningkat. Hormon kortisol akan menyebabkan paras glukosa di dalam darah menjadi tinggi lalu merangsangkan pembentukan lemak trigliserida di dalam darah. Apabila paras trigliserida menjadi tinggi, ia secara tidak langsung akan meningkatkan paras LDL-kolesterol di dalam darah.
    • Bagi menangani masalah stress, anda boleh cuba mengamalkan teknik relaksasi seperti meditasi, yoga dan teknik pernafasan. Selain itu, sokongan keluarga dan rakan-rakan juga sangat penting. Berkongsi perasaan dan pengalaman dengan orang lain dapat memberikan perspektif baru dan sokongan emosi.

 

You may also like

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar