Isnin, 23 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kanak-kanak Autisme | Punca, Tanda, Diagnosis & Rawatan

Autisme | Punca, Tanda, Diagnosis & Rawatan

by admin
0 comments
Autisme

Apa itu Autisme?

Autisme adalah sejenis gejala pada gangguan perkembangan interaksi sosial, komunikasi dan tingkah laku seseorang. Ia biasanya dikesan pada peringkat kanak-kanak seawal peringkat bayi namun untuk mendiagnosiskan gejala ini kanak-kanak harus berumur lebih daripada 18 bulan. Namun diagnosis diperingkat awal kerap memerlukan penelitian yang rapi. Gejala autisme juga boleh berbeza antara seseorang dengan seseorang.

Di Malaysia, dianggarkan kadar gejala autisme adalah seramai seorang kanak-kanak untuk setiap 625 orang kanak-kanak.

Apakah punca Autisme?

Sehingga ke hari ini punca kepada berlakunya gejala autisme pada seseorang masih belum diketahui. Namun terdapat faktor-faktor risiko yang boleh meningkatkan kebarangkalian untuk mendapat autisme iaitu:

  1. Kelahiran pramatang
    • Mengikut kajian bayi yang dilahirkan pada 22-27 minggu kehamilan boleh berisiko sebanyak 6% untuk mendapat autisme manakala bayi yang dilahirkan pada 28-33 minggu kehamilan boleh berisiko sebanyak 2.6% untuk mendapat gejala ini.
  2. Faktor keturunan
    • Sekiranya terdapat ahli keluarga yang menghidap autisme, kebarangkalian untuk melahirkan anak yang mempunyai gejala ini adalah lebih tinggi.
  3. Faktor jantina
    • Bayi lelaki mempunyai risiko 4 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat gejala ini berbanding dengan bayi perempuan.
  4. Penyakit genetik dan kongenital
    • Bayi yang menghidap penyakit kongenital atau genetik seperti sindrom Down, cerebral palsy, sindrom fragile-X dan tuberous sclerosis mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat gejala autisme berbanding dengan bayi yang sihat.
  5. Umur ibu mengandung
    • Mengikut kajian wanita hamil yang berumur lebih daripada 30 tahun mempunyai 10% risiko lebih tinggi untuk melahirkan anak yang mempunyai gejala autisme berbanding dengan wanita hamil yang berumur antara 25-29 tahun. Begitu juga faktor risiko untuk mendapat anak autisme adalah 50% lebih tinggi bagi wanita hamil yang berumur antara 40-50 tahun.
  6. Faktor antenatal
    • Mengikut kajian wanita hamil yang mengambil vitamin seperti asid folik 4 minggu sebelum dan 8 minggu selepas mengandung mempunyai risiko 40% lebih rendah untuk melahirkan anak yang mempunyai gejala autisme.
    • Faktor-faktor antenatal yang boleh meningkatkan risiko untuk melahirkan anak yang menghidap gejala autisme adalah:
      • kekurangan Vitamin D
      • pengambilan dadah dan minuman beralkohol
      • menghidap pre-eclampsia

Jenis-jenis autisme

Terdapat 4 jenis autisme dan kesemuanya merangkumi autism spectrum disorder. Jenis-jenis autisme adalah:

  1. Gangguan autisme klasik
    • Individu yang menghidap autisme jenis ini akan mempunyai perkembangan interaksi sosial dan komunikasi yang terhad, mempamerkan tingkah laku yang berulang dan mempunyai keinginan terhadap sesuatu yang terhad.
  2. Sindrom Asperger
    • Individu yang menghidap sindrom ini biasanya mempunyai tahap kecerdasan otak yang normal. Namun mereka mempunyai masalah untuk berinteraksi sosial. Mereka selalu fokus, meneliti pada sesuatu perkara secara terperinci dan gigih dalam membuat sesuatu aktiviti. Mereka juga mudah mengalami masalah kegelisahan dan kemurungan.
  3. Gangguan Desintegratif Pada Kanak-kanak (childhood disintegrative disorder)
    • Gangguan ini akan menyebabkan kanak-kanak yang telah pandai dalam pertuturan, interaksi sosial dan pergerakan secara perlahan-lahan mula kehilangan kepandaian tersebut. Ia biasanya berlaku selepas kanak-kanak mencapai umur 5 tahun dan ke atas.
  4. Gangguan Perkembangan Pervasif-Tidak Dinyatakan Sebaliknya (PDD-NOS)
    • Gangguan ini boleh menyerupai gangguan autisme klasik namun individu tidak menonjolkan sifat autisme secara keseluruhannya.

Apakah tanda-tanda autisme?

Individu yang menghidap autisme boleh mempamerkan tanda-tanda yang berbeza-beza antara satu sama lain. Antara kategori gejala autisme yang dipamerkan adalah:

  1. Gangguan komunikasi sosial dan kemahiran berinteraksi
    • Elak daripada bertentangan mata
    • TIdak memberi respon apabila nama dipanggil pada usia 9 bulan
    • Tidak menunjukkan ekspresi muka seperti gembira, sedih, marah dan terkejut pada usia 9 bulan
    • Menggunakan sedikit atau tiada gerak isyarat pada usia 12 bulan contohnya tidak melambai selamat tinggal
    • Tidak bermain permainan interaktif mudah seperti menyusun ringkas bongkah berwarna pada usia 12 bulan
    • Tidak berkongsi minat dengan orang lain pada usia 15 bulan contohnya menunjukkan kepada anda objek yang mereka suka
    • Tidak menuding jari untuk menunjukkan kepada anda sesuatu yang mereka suka pada usia 18 bulan
    • Tidak mempamerkan sebarang tindak balas apabila orang lain terluka atau kecewa pada usia 24 bulan
    • Tidak perasan pada kehadiran kanak-kanak lain dan menyertai mereka bermain pada usia 36 bulan
    • Tidak berlakon menjadi sesuatu watak seperti adiwira semasa bermain pada usia 48 bulan
    • Tidak menyanyi, menari atau berlakon untuk anda pada usia 60 bulan
  2. Tingkah Laku atau Minat Terhad dan Berulang
    • Menyusun objek seperti alat permainan dan menjadi marah apabila susunan tersebut diubah
    • Mengulangi perkataan atau frasa berulang kali
    • Bermain dengan mainan dengan cara yang sama setiap kali
    • Hanya fokus pada sesuatu bahagian objek seperti roda pada permainan kereta dan mengalami kesukaran untuk mengubah perhatian pada bahagian objek yang lain
    • Mudah menunjukkan emosi seperti memberontak dengan sesuatu perubahan kecil seperti mengubah siaran televisyen yang sedang mereka tonton
    • Mempunyai minat obsesif
    • Sukar menukar rutin tabiat mereka
    • Menepuk tangan, menari atau memutar badan dalam bulatan secara berulang-ulang
    • Mempunyai tindak balas luar biasa terhadap respon deria bunyi, bau, rasa atau lihat
  3. Ciri-ciri sampingan yang lain
    • Lambat menguasai perbendaharaan kata
    • Lambat menguasai pergerakan badan seperti merangkak, duduk, berjalan dan sebagainya 
    • Kemahiran kognitif atau pembelajaran yang lambat 
    • Tingkah laku hiperaktif, impulsive dan mudah cuai 
    • Menghidap epilepsi atau gangguan sawan 
    • Mengalami masalah kesukaran untuk tidur 
    • Mudah mengalami masalah penghadaman seperti sembelit, perut kembung dan sebagainya 
    • Mood atau tindak balas emosi yang luar biasa seperti mudah memberontak 
    • Mudah berasa bimbang, cemas dan tertekan 
    • Tidak mudah berasa takut pada sesuatu atau sebaliknya

Cara untuk mendiagnosis gejala autisme

Mendiagnosis gejala autisme bukanlah satu proses yang mudah kerana setiap individu yang menghidapnya mempunyai gejala yang berbeza-beza dari segi tahap dan penampilan. 

Kaedah-kaedah yang digunakan untuk mendiagnosis gejala autisme adalah:

  1. Pemerhatian secara teliti pada tingkah laku dan interaksi sosial 
  2. Saringan awal dengan menggunakan M-CHAT (Modified Checklist for Autism in Toddlers)
    • Ia adalah borang soal selidik mengenai perkembangan awal kanak-kanak antara 16-30 bulan.
  3. Penilaian daripada pelbagai disiplin kepakaran
    • Ia melibatkan penilaian daripada pakar psikologi kanak-kanak, pakar terapi, pakar pediatrik dan pakar neurologi.
    • Ia sangat penting bagi memastikan gejala autisme ini tidak disebabkan oleh penyakit-penyakit lain yang menyerupai autisme seperti attention deficit hyperactive disorder

Apakah rawatan gejala autisme?

Autisme adalah sejenis gejala yang akan kekal sepanjang hayat bagi mereka yang menghidapnya. Yang penting dalam rawatan adalah untuk memulihkan dan meningkatkan kualiti hidup agar pesakit boleh berdikari dan berinteraksi secara sosial pada tahap yang optimum.

Kaedah-kaedah rawatan gejala autisme adalah:

  1. Terapi tingkah laku diri 
    • Tujuan terapi ini adalah untuk mengajar dan menitik beratkan tingkah laku yang positif dan mengurangkan tingkah laku yang negatif. Sebagai contoh kanak-kanak akan diajar untuk membiasakan diri untuk memandang wajah seseorang apabila berinteraksi secara sosial.
  2. Terapi Tingkah Laku Kognitif
    • Terapi ini akan mengajar seseorang untuk menggabungkan pemikiran, perasaan dan tingkah laku semasa berinteraksi.
  3. Terapi gerak kerja
    • Terapi ini akan mengajar seseorang untuk berdikari dalam menguruskan diri sendiri seperti memakai pakaian, makan dan minum.
  4. Terapi fizikal
    • Terapi ini bertujuan untuk memulihkan pergerakan yang lambat atau lemah bagi individu yang mengalami masalah perkembangan otot seperti kesukaran untuk berdiri, duduk dan sebagainya.
  5. Terapi pertuturan
    • Terapi ini bertujuan untuk memperbaiki cara interaksi dan komunikasi seseorang. Ia terdiri daripada terapi verbal dan non verbal
    • Terapi verbal adalah seperti menyebut nama objek atau nama seseorang dengan betul, menggunakan perkataan yang betul dalam pertuturan dan bertutur dengan ritma dan gaya yang betul.
    • Terapi non-verbal pula adalah memperbaiki komunikasi gerak tangan dengan betul dan menggunakan gambar untuk berkomunikasi.
  6. Terapi dengan ubat-ubatan
    • Tiada ubat yang boleh merawat autisme. Namun ubat-ubatan yang digunakan adalah untuk melegakan simptom-simptom sampingan gejala autisme seperti sawan, insomnia dan masalah emosi seperti kemurungan atau gelisah.
  7. Terapi keluarga
    • Ia bertujuan untuk memberi pendidikan kepada ibu bapa atau penjaga mengenai cara-cara untuk mendidik dan menangani masalah kanak-kanak autisme di rumah.

Bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan dan masalah untuk menjaga kanak-kanak yang menghidap autisme, terdapat badan di Malaysia yang boleh membantu memberi sokongan iaitu National Autism Society of Malaysia (NASOM). Selain itu, pastikan anda mendapat nasihat doktor seawal yang boleh sekiranya anda mengesyaki anak anda menghidap autisme.

You may also like

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar