Apa itu Glipizide?
Glipizide adalah sejenis ubat generik yang digunakan untuk mengawal paras glukosa darah pada pesakit yang menghidap penyakit kencing manis jenis Type 2. Ia tergolong di dalam kumpulan ubat sulfonylurea.
Glipizide bertindak dengan merangsang sel-sel beta pada organ pankreas untuk merembeskan lebih banyak insulin. Insulin adalah hormon yang penting untuk membantu penyerapan glukosa ke dalam sel supaya ia dapat digunakan sebagai sumber tenaga.
Glipizide tidak boleh digunakan untuk merawat penyakit kencing manis jenis Type 1.
Jenama glipizide yang boleh diperolehi di pasaran ialah Glix dan Minidiab.
Apa pesakit perlu tahu sebelum menggunakan glipizide?
Pesakit tidak boleh menggunakan glipizide sekiranya dia mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini
- sedang mengalami ketoasidosis diabetik (diabetes ketoacidosis)
Untuk memastikan anda menggunakan glipizide dengan selamat, pastikan anda memaklumkan doktor sekiranya anda menghidap penyakit-penyakit berikut:
- penyakit buah pinggang
- penyakit hati
- masalah cirit-birit yang kronik atau sembelit yang disebabkan oleh masalah usus tersumbat
- penyakit glucose-6-phosphate dehydrogenase deficiency (G6PD)
Pengambilan glipizide semasa kehamilan
Glipizide tidak disyorkan untuk diambil semasa mengandung kerana tiada kajian yang terperinci yang telah dijalankan untuk mengesahkan ia selamat kepada bayi.
Pengambilan glipizide semasa penyusuan badan
Kajian telah menunjukkan bahawa glipizide meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Namun pengambilannya harus dipantau dengan teliti bagi mengelak sebarang simptom hipoglisemia daripada berlaku pada bayi.
Cara pengambilan glipizide
Pengambilan glipizide haruslah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam dos yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Pastikan anda mengambil ubat ini 30 minit sebelum sarapan pagi.
Glipizide hadir dalam bentuk extended-released tablet. Oleh itu, anda tidak digalakkan untuk menghancurkan, menguyah atau memecahkan tablet tersebut sebelum menelannya kerana ia boleh menyebabkan penyerapan ubat menjadi kurang berkesan.
Sepanjang tempoh rawatan, ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan mengesan sebarang kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti hati dan buah pinggang.
Anda mungkin boleh mengalami gejala kurang gula di dalam darah (hipoglisemia) semasa pengambilan ubat ini terutama sekiranya anda mengalami masalah kurang selera makan. Sekiranya berlaku, simptom-simptom seperti cepat lapar, pening, mudah marah, berasa keliru dan cemas atau berasa terhuyung-hayang semasa berdiri boleh berlaku. Untuk merawat hipoglikemia, anda hendaklah segera mengambil makanan atau minuman yang boleh cepat menaikkan paras gula dalam darah seperti jus buah, gula-gula, keropok, kismis atau minuman soda.
Anda juga hendaklah mengawasi simptom-simptom gula tinggi dalam darah (hiperglisemia) seperti kerap kencing, mudah berasa dahaga, badan berasa sangat lesu dan penglihatan kabur. Sekiranya ia kerap berlaku, hubungi doktor anda untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan glipizide
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- tanda-tanda paras gula rendah (hipoglisemia) seperti cepat lapar, pening kepala, mudah marah, berasa keliru dan cemas serta mengalami serangan sawan
- tanda-tanda paras gula tinggi (hiperglisemia) seperti rasa dahaga, penglihatan kabur, kerap kencing dan badan berasa sangat lesu
- tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat atau jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
- tanda-tanda pada sistem penghadaman seperti muntah, cirit-birit atau sembelit
- tanda-tanda masalah buah pinggang seperti bengkak pada kedua-dua belah kaki, kenaikan berat badan secara mendadak, sesak nafas dan kencing tak lawas
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan glipizide
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan glipizide dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- ubat antifungus seperti fluconazole dan ketoconazole
- ubat salicylate seperti aspirin, magnesium salicylate dan salsalate
- ubat cair darah seperti warfarin
- ubat monoamine oxidase inhibitor (MAOI) seperti isocarboxazid, phenelzine dan tranylcypromine
- ubat sulfonamide seperti sulfacetamide, sulfadiazine, sulfamethoxazole/trimethoprim (Bactrim), sulfasalazine dan sulfisoxazole
- ubat non-steroidal anti-inflammatory drug (NSAID) seperti ibuprofen, naproxen dan diclofenac
- ubat beta-blocker seperti atenolol dan metoprolol
- ubat yang mengandungi hormon seperti danazol, pil perancang keluarga, somatropin, glucagon dan estrogen