Rabu, 25 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Glucophage | Kegunaan, Cara pengambilan & Kesan sampingan
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Glucophage | Kegunaan, Cara pengambilan & Kesan sampingan

by admin
0 comments

Apa itu Glucophage?

Glucophage adalah sejenis ubat kencing manis yang digunakan untuk mengawal paras glukosa darah pada pesakit yang menghidap penyakit diabetes jenis Type 2. Ia berasal daripada ubat generik metformin.

Glucophage bertindak menghalang kenaikan gula dalam darah melalui 3 cara iaitu:

  1. Menghalang hati daripada menghasilkan dan merembeskan glukosa ke dalam darah.
    • Biasanya, hati akan merembeskan glukosa untuk membantu tubuh mendapatkan tenaga, terutama ketika paras gula dalam darah rendah. Tetapi, bagi pesakit diabetes type 2, paras glukosa dalam darah biasanya tinggi dan sekiranya proses ini tidak dihalang, ia akan menyumbang kepada hiperglisemia. 
  2. Meningkatkan sensitiviti tisu badan terhadap insulin.
    • Glucophage membantu tisu badan seperti otot dan organ supaya menjadi lebih sensitif terhadap tindakan insulin. Ini bermakna tisu badan dapat menyerap glukosa daripada darah ke dalam sel dengan lebih berkesan di mana glukosa akan digunakan sebagai sumber tenaga.
  3. Mengurangkan penyerapan glukosa daripada usus
    • Glucophage turut memperlambatkan penyerapan glukosa daripada usus ke dalam aliran darah. Ini dapat menghalang peningkatan mendadak gula dalam darah selepas makan.

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Glucophage?

Anda tidak boleh menggunakan Glucophage sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • sejarah alahan kepada ubat ini 
  • penyakit buah pinggang yang serius
  • metabolic acidosis atau diabetic ketoacidosis 

Sekiranya anda perlu menjalani pembedahan dan sebarang imbasan X-ray atau CT scan yang memerlukan anda disuntik dengan pewarna, anda mungkin perlu untuk menghentikan pengambilan Glucophage untuk sementara waktu. Pastikan anda memaklumkan doktor bahawa anda sedang menggunakan Glucophage.

Untuk memastikan pengambilan Glucophage adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit buah pinggang
  • tahap keton yang tinggi dalam darah atau air kencing
  • penyakit lemah jantung
  • penyakit hati
  • sedang mengambil ubat kencing manis jenis lain seperti insulin, gliclazide dan sebagainya

Anda juga harus menghentikan tabiat pengambilan minuman beralkohol semasa menggunakan Glucophage kerana tabiat tersebut boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat masalah lactic acidosis.

Glucophage tidak boleh diambil oleh kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

Pengambilan Glucophage semasa mengandung

Kajian pengambilan Glucophage ke atas haiwan yang hamil menunjukkan tiada kemudaratan kepada kesihatan anak di dalam kandungan. Namun tiada kajian kukuh yang telah dijalankan ke atas wanita hamil dan kesan ubat tersebut ke atas bayi dalam kandungan masih tidak jelas. 

Oleh itu, pengambilan Glucophage semasa kehamilan tidak disyorkan. Penggunaan insulin lebih disyorkan oleh doktor dalam rawatan kencing manis semasa kehamilan.

Pengambilan Glucophage semasa penyusuan badan

Tiada kajian kukuh yang telah dilakukan ke atas wanita yang menyusu badan dan kesan ubat tersebut ke atas kesihatan bayi yang menyusu masih kurang jelas. Oleh itu, pengambilan Glucophage semasa penyusuan badan hanya disyorkan sekiranya tiada pilihan ubat-ubatan lain yang dapat merawat pesakit dan pengambilannya juga harus dipantau oleh doktor. 

Cara pengambilan Glucophage

Pengambilan Glucophage haruslah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam dos yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Glucophage biasanya diambil selepas makan. 

Sekiranya dos yang anda ambil adalah separuh daripada dos 1 tablet ubat, anda dibenarkan untuk memecahkan ubat ini kepada separuh dan simpan bahagian ubat yang tidak digunakan di tempat selamat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan. Namun kaedah ini tidak boleh dilakukan pada Glucophage XR.

Anda mungkin boleh mengalami gejala kurang gula di dalam darah (hipoglisemia) semasa pengambilan ubat ini terutama sekiranya anda mengalami masalah kurang selera makan. Sekiranya berlaku, simptom-simptom seperti cepat lapar, pening, mudah marah, berasa keliru dan cemas atau berasa terhuyung-hayang semasa berdiri boleh berlaku. Untuk merawat hipoglikemia, anda hendaklah segera mengambil makanan atau minuman yang boleh cepat menaikkan paras gula dalam darah seperti jus buah, gula-gula, keropok, kismis atau minuman soda.

Anda juga hendaklah mengawasi simptom-simptom gula tinggi dalam darah (hiperglisemia) seperti kerap kencing, mudah berasa dahaga, badan berasa sangat lesu dan penglihatan kabur. Sekiranya ia kerap berlaku, hubungi doktor anda untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Pengambilan Glucophage biasanya akan digabungkan dengan kaedah rawatan lain seperti pengawalan diet dan bersenam. Oleh itu, anda hendaklah mengikuti program yang telah dirancangkan oleh doktor anda dengan betul.

Sepanjang tempoh pengambilan Glucophage, doktor anda akan melakukan ujian darah secara berkala bagi memantau tahap kawalan kencing manis anda dan sebarang kesan sampingan ubat atau penyakit ke atas organ-organ anda seperti buah pinggang dan hati.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.

Kesan sampingan Glucophage

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • sakit otot yang teruk
  • badan berasa sejuk
  • sesak nafas
  • pening kepala
  • kelesuan yang teruk
  • sakit perut, muntah
  • kadar denyutan jantung yang perlahan atau tidak teratur

Namun, kesan sampingan yang biasa berlaku semasa pengambilan Glucophage adalah:

  • hipoglisemia
  • loya, sakit perut
  • cirit-birit

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Glucophage

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Glucophage dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • insulin
  • ubat kencing manis jenis oral seperti gliclazide

Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar