Apa itu Granisetron?
Granisetron adalah sejenis ubat antiemetik yang digunakan untuk melegakan rasa loya dan muntah yang disebabkan oleh rawatan penyakit kanser khususnya rawatan kemoterapi atau radioterapi.
Serotinin biasanya dihasilkan oleh badan sebagai tindak balas kepada rawatan kemoterapi dan radioterapi. Granisetron bertindak merencatkan tindakan serotonin pada reseptor 5-HT3 yang terletak pada zon pencetus kemoreptor pada otak dan sistem saraf vagus abdomen yang boleh mengakibatkan rasa mual dan muntah.
Jenama granisetron yang boleh diperolehi di pasaran adalah Granodex, Kytril, Kytron dan Vaxcel Granisetron.
Apa pesakit perlu tahu sebelum mengambil granisetron?
Pesakit tidak boleh menggunakan glipizide sekiranya dia mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini
- penyakit denyutan jantung tak teratur (aritmia jantung)
- penyakit long QT syndrome dalam sejarah keluarga atau pesakit sendiri
- masalah ketidakseimbangan elektrolit di dalam darah seperti hipokalaemia dan hipomagnesiumia
Pengambilan granisetron semasa kehamilan
Tiada kajian yang jelas untuk mengesahkan granisetron selamat untuk digunakan oleh wanita hamil. Namun penggunaannya telah dipraktikkan secara meluas sebagai alternatif kepada ubat-ubatan antiemetik yang lain dalam rawatan loya dan muntah semasa mengandung. Setakat ini, tiada kesan sampingan yang pernah direkodkan. Walau bagaimanapun pengambilannya harus dipantau dengan teliti oleh doktor.
Pengambilan granisetron semasa penyusuan badan
Tiada kajian yang jelas yang mengesahkan granisetron tidak meresap ke dalam susu badan dan selamat kepada bayi. Oleh itu, pengambilannya hanya dibenarkan sekiranya tiada lagi ubat-ubatan antiemetik lain yang sesuai yang dapat merawat keadaan pesakit. Sekiranya ia digunakan, keadaan kesihatan dan perkembangan bayi harus dipantau dengan teliti oleh doktor.
Cara pengambilan granisetron
Pengambilan granisetron haruslah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam dos yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Granisetron biasanya diberikan kepada pesakit pada hari pesakit menerima rawatan kemoterapi atau radioterapi. Ia biasanya diberikan sejam sebelum rawatan. Ubat ini boleh diambil sekali atau 2 kali sehari bergantung kepada keadaan simptom pesakit.
Granisetron boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan granisetron
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- tanda-tanda denyutan jantung tak teratur seperti sesak nafas, pening atau sakit kepala, sakit dada, rasa pitam dan palpitasi
- gangguan pada sistem pencernaan seperti cirit-birit, sembelit atau loya
- tanda-tanda paras serotonin tinggi di dalam darah seperti berhalusinasi, rasa gelisah dan keliru, hilang keseimbangan badan semasa berdiri atau berjalan, rasa loya, muntah, cirit-birit, denyutan jantung laju dan rasa pitam
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan granisetron
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan granisetron dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- lithium
- ritonavir
- ubat antidepresan seperti fluoxetine
- ubat antipsikotik seperti haloperidol
- cimetidine
- ubat antifungus seperti fluconazole dan ketoconazole
- ubat antidiuretik seperti hydrochlorothiazide, frusemide dan indapamide
- antibiotik kumpulan macrolide seperti erythromycin dan clarithromycin
- ubat kumpulan opioid seperti morfin, codeine dan tramadol
- ubat antiemetik seperti metoclopramide, prochlorperazine, promethazine dan dimenhydrinate