Apa itu Griseofulvin?
Griseofulvin adalah sejenis ubat antifungal yang digunakan untuk merawat jangkitan kulat pada kulit, kuku, dan rambut.
Griseofulvin bertindak menghalang pembiakan sel-sel fungus dengan cara:
- merencatkan proses mitosis dan sintesis asid nukleik pada sel fungus
- mengikat pada struktur protein dalam sel kulat yang dikenali sebagai tubulin yang penting dalam pembentukan struktur mikrotubul yang berperanan dalam pembiakan sel. Dengan mengikat kepada tubulin, griseofulvin dapat merencatkan pembentukan mikrotubul lalu menghalang sel kulat daripada membiak.
Jenama griseofulvin yang boleh diperolehi di pasaran adalah Krisovin.
Apa pesakit perlu tahu sebelum mengambil griseofulvin?
Pesakit tidak boleh menggunakan griseofulvin sekiranya dia mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini
- penyakit hati
- penyakit porphyria
Griseofulvin juga perlu digunakan dengan berhati-hati pada pesakit yang menghidap masalah-masalah berikut:
- penyakit lupus
- penyakit hipersensitiviti kepada antibiotik daripada kumpulan penisilin
Pengambilan griseofulvin semasa kehamilan
Pengambilan griseofulvin semasa mengandung boleh mengakibatkan masalah keguguran dan bayi dilahirkan cacat. Oleh itu, pengambilannya oleh wanita hamil tidak disyorkan.
Pengambilan griseofulvin semasa penyusuan badan
Tiada kajian yang jelas yang mengesahkan griseofulvin tidak meresap ke dalam susu badan dan selamat kepada bayi. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan.
Cara pengambilan griseofulvin
Pengambilan griseofulvin haruslah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam dos yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Untuk ubat jenis sirup, anda harus menggoncangkan botol ubat sebelum menyukat dosnya. Gunakan picagari ubat atau sudu penyukat ubat yang telah disediakan oleh pihak farmasi.
Untuk ubat jenis tablet, sekiranya anda mempunyai masalah untuk menelan ubat, anda bolehlah memecahkan ubat tersebut kepada separuh dan menelannya secara berasingan dengan segelas air kosong.
Pastikan griseofulvin diambil semasa atau selepas makan.
Pastikan anda menghabiskan ubat anda seperti yang telah ditetapkan oleh doktor walaupun simptom anda telah pulih bagi mengelak daripada berlakunya kekebalan kulat terhadap ubat ini pada masa akan datang.
Sekiranya griseofulvin digunakan untuk jangka panjang, ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi mengesan sebarang kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti hati dan buah pinggang.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan griseofulvin
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat atau jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
- tanda-tanda masalah buah pinggang seperti bengkak pada kedua-dua belah kaki, kenaikan berat badan secara mendadak, sesak nafas dan kencing tak lawas
- tanda-tanda masalah lupus seperti sakit sendi dan otot, pembentukan ruam merah yang berasa pijau apabila terdedah kepada sinaran matahari, sakit dada dan demam
- tanda-tanda perdarahan pada sistem penghadaman seperti najis berwarna hitam, muntah berwarna kopi dan sakit perut
- tanda-tanda gangguan saraf seperti jari-jari kaki dan tangan berasa kebas, kesemutan dan pijau
- perubahan pada mood seperti berasa murung dan keliru
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan griseofulvin
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan griseofulvin dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- ubat cair darah seperti warfarin
- pil perancang keluarga yang mengandungi estrogen dan progestin
- ubat-ubatan untuk merawat penyakit sawan seperti phenytoin, carbamazepine dan asid valproik
- ubat-ubatan untuk merawat jangkitan HIV seperti zidovudine, lamivudine, emtricitabine, tenofovir disoproxil fumarate, abacavir, ritonavir, atazanavir dan darunavir
- ubat anti-migrain seperti ergotamine
- ubat antidepresan seperti fluoxetine, sertraline, paroxetine, escitalopram, citalopram, phenelzine dan tranylcypromine
- ubat antipsikotik seperti chlorpromazine, haloperidol, fluphenazine, perphenazine dan thioridazine
- theophylline
- digoxin