Apa itu Insulin detemir?
Insulin detemir adalah sejenis insulin yang boleh bertindak di dalam badan untuk jangka masa yang lama. Ia mula memberi kesan dalam tempoh 1-3 jam selepas suntikan dan boleh memberi kesan selama 24 jam.
Ia sesuai digunakan untuk mengawal paras gula di dalam darah pada pesakit yang menghidap penyakit kencing manis jenis Type 1 dan Type 2.
Apabila disuntik ke dalam badan, insulin detemir akan mengikat kepada reseptor insulin yang terletak pada tisu-tisu badan seperti otot, lemak dan organ untuk membenarkan glukosa di dalam darah diangkut ke dalam sel untuk metabolisme. Ini akan membantu menurunkan paras glukosa darah selepas makan.
Yang membezakan insulin detemir dengan insulin jenis lain ialah ia boleh dilepaskan ke dalam darah pada kadar yang lebih perlahan dan berterusan berbanding insulin lain untuk membantu menstabilkan paras gula darah sepanjang hari.
Jenama insulin detemir yang boleh diperolehi di pasaran adalah Levemir.
Apa pesakit perlu tahu sebelum menggunakan insulin detemir?
Insulin detemir tidak sesuai diambil oleh pesakit yang mempunyai masalah-masalah berikut:
- sedang mengalami paras gula yang rendah (hipoglisemia)
- pernah mempunyai sejarah alahan semasa pengambilannya
Dos insulin detemir juga mungkin perlu diubah sekiranya pesakit mengalami perubahan pada selera makan atau sedang mengalami muntah-muntah dan cirit-birit.
Pengambilan insulin detemir semasa kehamilan
Kajian telah membuktikan bahawa pengambilan insulin detemir oleh wanita hamil tidak memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ia selamat untuk diambil semasa kehamilan.
Pengambilan insulin detemir semasa penyusuan badan
Kajian menunjukkan bahawa insulin detemir boleh meresap ke dalam susu badan. Walaupun pengambilannya selamat kepada bayi, namun dos ubat ini mungkin perlu dikurangkan bagi mengelak gejala hipoglisemia pada bayi.
Cara pengambilan insulin detemir
Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan dalam tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Insulin detemir biasanya diambil dalam bentuk suntikan subkutaneous sekali setiap hari pada waktu malam selepas makan atau sebelum tidur.
Cara melakukan suntikan subkutaneous:
- Bersihkan bahagian kulit yang hendak disuntik dengan menggunakan swab alkohol.
- Buka penutup pen insulin. Masukkan jarum yang baru dan bersih ke bahagian kepala pen.
- Terbalikkan pen sebanyak 8-10 kali atau golekkan pen sebanyak 8-10 kali antara 2 tapak tangan dengan perlahan-lahan untuk memastikan tiada mendakan pada larutan ubat.
- Tarik butang dos and pusingkan dial pada bahagian belakang pen insulin kepada dos yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
- Buka penutup jarum.
- Picit bahagian sisi kulit yang hendak disuntik supaya bahagian lapisan lemak di bawah kulit menjadi tebal. Jangan sentuh bahagian kulit yang hendak disuntik.
- Cucuk jarum secara terus dan tegak ke bahagian kulit tersebut. Apabila jarum telah berada di dalam kulit, tekan bahagian butang pen untuk memasukkan ubat ke dalam badan. Tekan butang pen sehingga dial telah menjadi “0”.
- Apabila semua ubat telah dimasukkan, keluarkan jarum dan lepaskan bahagian kulit yang dipicit. Tekan bahagian kulit yang disuntik dengan kapas selama lebih kurang 1/2 minit.
Pastikan anda mengubah-ubah kawasan suntikan setiap kali mengambil ubat. Jangan suntik pada kawasan kulit yang sama setiap kali kerana ia boleh mengakibatkan pembentukan fibrosis di bawah lapisan kulit yang boleh mengakibatkan kesakitan semasa jarum dicucuk. Kawasan badan yang boleh digunakan untuk mencucuk ubat ialah di sekitar bahagian umbilicus abdomen, bahagian luar paha, bahagian belakang lengan atas dan punggung.
Selalu periksa warna larutan ubat dan kehadiran mendakan pejal di dalam pen sebelum menggunakannya. Sekiranya ia berlaku, jangan gunakan ubat tersebut dan tukarkan dengan yang baru.
Anda juga hendaklah mengawasi simptom-simptom gula tinggi dalam darah (hiperglisemia) seperti kerap kencing, mudah berasa dahaga, badan berasa sangat lesu dan penglihatan kabur. Sekiranya ia kerap berlaku, hubungi doktor anda untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Anda mungkin boleh mengalami gejala kurang gula di dalam darah (hipoglisemia) semasa pengambilan ubat ini terutama sekiranya anda mengalami masalah kurang selera makan. Simptom-simptom seperti cepat lapar, pening kepala, mudah marah, berasa keliru dan cemas atau berasa terhuyung-hayang semasa berdiri boleh berlaku. Untuk merawat hipoglikemia, anda hendaklah segera mengambil makanan atau minuman yang boleh cepat menaikkan paras gula dalam darah seperti jus buah, gula-gula, kismis atau minuman soda.
Sepanjang tempoh pengambilan ubat ini, doktor anda akan melakukan ujian darah secara berkala bagi memantau tahap pengawalan kencing manis anda dan sebarang kesan sampingan ubat atau penyakit ke atas organ-organ anda seperti buah pinggang dan hati.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan insulin detemir
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- kerap mengalami gejala hipoglisemia seperti rasa gemuruh, pening kepala, cepat rasa lapar, perasaan kebingungan, kadar denyutan jantung yang laju dan berpeluh secara berlebihan
- kenaikan berat badan secara mendadak
- reaksi pada bahagian kulit yang disuntik seperti warna kulit berubah merah, bengkak dan sakit
- pembentukan edema pada tangan dan kaki
- tanda-tanda hipokalemia seperti badan berasa sangat lesu, otot-otot badan mengalami kekejangan, rasa kebas atau kesemutan pada jari kaki dan tangan, denyutan jantung menjadi tidak teratur dan kesukaran untuk bernafas
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan insulin detemir
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan insulin detemir dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- ubat-ubatan kencing manis seperti insulin jenis lain, metformin, gliclazide, janumet dan sebagainya
- ubat-ubatan antidepresi seperti fluoxetine dan monoamine oxidase inhibitor (MAOI)
- antibiotik kumpulan sulfonamide dan sulfamethoxazole
- salicylate
- octreotide
- pasireotide
- lanreotide
- ubat cair darah jenis pentoxyfylline
- sulfasalazine
- ubat-ubatan untuk merawat hipertensi iaitu ubat kumpulan beta blocker dan ACE inhibitor
- danazol
- glucagon
- thyroxine
- pentamidine