Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Isoniazid | Kegunaan, Cara pengambilan & Kesan sampingan
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Isoniazid | Kegunaan, Cara pengambilan & Kesan sampingan

by admin
0 comments

Apa itu Isoniazid?

Isoniazid adalah sejenis antibiotik yang digunakan untuk merawat penyakit tuberkulosis atau batuk kering. Ia bertindak membunuh bakteria Mycobacterium tuberculosis dengan merencatkan sistesis mycolic acid iaitu satu komponen penting pada dinding sel bakteria. Tindak balas ini akan menghalang perkembangan sel-sel bakteria.

Apa pesakit perlu tahu sebelum mengambil isoniazid?

Isoniazid tidak sesuai diambil oleh pesakit yang mempunyai masalah-masalah berikut:

  1. pernah mengalami alahan semasa pengambilannya
  2. menghidap penyakit hati yang masih aktif atau kronik

Pengambilan isoniazid semasa kehamilan

Tiada kajian terperinci yang telah dijalankan ke atas pengambilan ubat ini semasa kehamilan manusia. Namun kajian yang dijalankan ke atas haiwan hamil telah menunjukkan ia boleh mendatangkan kesan sampingan kepada kandungan. Kesan sampingan yang pernah direkodkan ialah radang hati.

Oleh itu, pengambilannya semasa mengandung haruslah mendapat pertimbangan doktor yang sewajarnya. Rawatan penyakit tuberkulosis semasa kehamilan adalah penting kerana jika dibiarkan ia boleh memudaratkan kesihatan pesakit dan bayi. 

Justeru itu, sekiranya ubat ini diambil, pesakit haruslah menjalani ujian darah secara berkala bagi memantau fungsi hati.

Pengambilan isoniazid semasa penyusuan badan

Kajian menunjukkan isoniazid boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, pengambilannya semasa laktasi dianggap selamat.

Cara pengambilan isoniazid

Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan dalam tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.

Isoniazid harus diambil dalam keadaan perut kosong. Oleh itu, ia perlu diambil 1 jam sebelum atau 2 jam selepas makan. Pastikan anda mengambil ubat ini pada waktu yang tetap setiap hari.

Jangan hentikan pengambilan ubat ini secara tiba-tiba tanpa mendapatkan nasihat doktor walaupun penyakit anda telah berada dalam keadaan terkawal kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan saki-baki bakteria yang tertinggal di dalam badan menjadi kebal kepada antibiotik ini pada masa akan datang.

Sepanjang tempoh rawatan, ujian darah fungsi hati (liver function test) akan dilakukan secara berkala bagi mengesan kesan sampingan ubat terhadap organ hati.

Anda juga harus memaklumkan doktor sebelum menjalani sebarang ujian darah kerana keputusan ujian darah anda mungkin boleh berada dalam keadaan tidak normal akibat kesan pengambilan ubat ini.

Doktor juga akan menyarankan anda untuk mengambil suplemen Vitamin B6 sepanjang tempoh rawatan bagi menghindari kesan sampingan neuropati. 

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat ini daripada menjadi rosak.

Kesan sampingan isoniazid

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Kesan sampingan yang boleh berlaku sepanjang tempoh rawatan dengan isoniazid adalah:

  1. rasa kebas dan kesemutan pada bahagian kaki
  2. loya
  3. muntah
  4. sakit perut
  5. demam
  6. sakit tekak
  7. jaundis
  8. pembentukan ruam
  9. sakit mata
  10. penglihatan kabur
  11. perubahan mood seperti kemurungan

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan isoniazid

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan isoniazid lalu memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • acetaminophen
  • ubat-ubatan antifungus seperti itraconazole dan ketoconazole
  • disulfiram
  • ubat-ubatan kumpulan MAO inhibitor seperti isocarboxazid, linezolid, metaxalone, methylene blue, moclobemide, phenelzine, procarbazine, rasagiline, safinamide, selegiline dan tranylcypromine
  • phenytoin
  • ubat-ubatan kumpulan SSRI antidepressant seperti fluoxetine dan sertraline
  • valproic acid
Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar