Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Itraconazole | Kegunaan, Cara pengambilan & Kesan sampingan
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Itraconazole | Kegunaan, Cara pengambilan & Kesan sampingan

by admin
0 comments

Apa itu Itraconazole?

Itraconazole adalah sejenis ubat antifungus yang digunakan untuk merawat jangkitan kulat pada badan manusia seperti kuku, paru-paru, kulit, mulut dan tekak.

Itraconazole merencatkan tindakan enzim lanosterol 14-α-demethylase yang terletak pada sel kulat. Ini akan mengakibatkan penukaran lanosterol kepada ergosterol di dalam sel terganggu lalu merencatkan sintesis membran sel kulat. Akibatnya perkembangan dan pembiakan sel akan terhalang.

Jenama itraconazole yang boleh diperolehi di pasaran adalah Sporanox.

Apa pesakit perlu tahu sebelum mengambil itraconazole?

Itraconazole tidak sesuai diambil oleh pesakit yang mempunyai masalah-masalah berikut:

  1. pernah mengalami alahan semasa pengambilannya
  2. menghidap penyakit jantung yang serius

Ubat ini juga harus diambil dengan berhati-hati oleh pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang dan hati kerana pengambilan ubat-ubatan tertentu (colchicine, fesoterodine dan solifenacin) bersama dengan ubat ini boleh mendatangkan kesan sampingan yang serius.

Pengambilan itraconazole semasa kehamilan

Pengambilan itraconazole semasa kehamilan boleh memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ubat ini tidak disyorkan untuk diambil oleh wanita hamil. Sebaik-baiknya pesakit tidak mengandung sehingga selepas 2 bulan pengambilan dos terakhir ubat ini.

Pengambilan itraconazole semasa penyusuan badan

Kajian menunjukkan bahawa itraconazole boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang kecil. Kesannya ke atas bayi masih belum diketahui. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan.

Cara pengambilan itraconazole

Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan dalam tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.

Itraconazole hadir dalam bentuk kapsul, tablet dan sirup. Bagi ubat yang berbentuk kapsul dan tablet, ia harus diambil selepas makan. Manakala bagi ubat sirup, ia harus diambil sebelum makan.

Bagi ubat yang berbentuk kapsul, elakkan daripada membuka kapsul ubat dan mengambil serbuk ubat yang terkandung di dalamnya kerana cara pengambilan sedemikian tidak akan memberikan kesan yang optimum.

Jangan hentikan pengambilan ubat ini secara tiba-tiba tanpa mendapatkan nasihat doktor walaupun penyakit anda telah berada dalam keadaan terkawal kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan saki-baki sel-sel kulat yang tertinggal di dalam badan menjadi kebal kepada ubat ini pada masa akan datang.

Sepanjang tempoh rawatan, ujian darah juga akan dilakukan secara berkala bagi mengesan kesan sampingan ubat terhadap organ hati dan buah pinggang.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat ini daripada menjadi rosak.

Kesan sampingan itraconazole

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Kesan sampingan yang boleh berlaku sepanjang tempoh rawatan dengan itraconazole adalah:

  1. pening kepala atau rasa pitam
  2. gangguan penglihatan seperti pandangan kabur dan diplopia
  3. kedengaran bunyi berdesing di dalam telinga (tinnitus)
  4. kadar denyutan jantung menjadi laju
  5. kencing tak lawas atau mudah terkucil
  6. rasa kebas dan kesemutan pada tangan dan kaki
  7. kekejangan otot
  8. loya dan muntah
  9. perubahan mood seperti kemurungan
  10. mudah berasa dahaga
  11. kurang selera makan
  12. demam
  13. rasa kelesuan pada seluruh badan
  14. sawan
  15. sesak nafas

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan itraconazole

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan itraconazole lalu memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • avanafil
  • cisapride
  • disopyramide
  • dofetilide
  • dronedarone
  • eliglustat
  • eplerenone
  • felodipine
  • irinotecan
  • isavuconazole
  • ivabradine
  • lomitapide
  • lurasidone
  • methadone  
  • naloxegol
  • nisoldipine
  • oral midazolam
  • pimozide
  • quinidine
  • ranolazine
  • ticagrelor
  • triazolam
  • venetoclax
  • ubat-ubatan kumpulan ergot seperti dihydroergotamine, ergometrine, ergotamine, methylergometrine, Cafergot®, Ergomar® dan Wigraine®
  • ubat-ubatan kumpulan statin seperti lovastatin, simvastatin, Mevacor® dan Zocor®
  • colchicine
  • fesoterodine
  • solifenacin
  • telithromycin
Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar