Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Ruxolitinib | Kegunaan, Cara pengambilan & Kesan sampingan
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z
Ra Ri Ru

Ruxolitinib | Kegunaan, Cara pengambilan & Kesan sampingan

by admin
0 comments

Apa itu Ruxolitinib?

Ruxolitinib adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat beberapa jenis penyakit yang berkaitan dengan sistem darah seperti myelofibrisis dan polycythemia vera.

Ruxolitinib bertindak dengan cara merencatkan tindakan enzim janus kinase iaitu JAK1 dan JAK2 yang terletak di dalam sistem limfa dan sumsum tulang. Enzim ini mempunyai peranan yang penting dalam pengawalan sistem imun dan pembentukan sel-sel darah. Apabila kedua-dua jenis enzim ini direncatkan, penghasilan sel darah yang tidak normal akan berlaku. Ini akan menyebabkan kandungan sel-sel darah ini menjadi kurang lalu membantu mengawal penyakit daripada melarat.

Jenama ruxolitinib yang boleh diperolehi di pasaran adalah Jakavi.

Apa pesakit perlu tahu sebelum mengambil ruxolitinib?

Ruxolitinib tidak sesuai diambil oleh pesakit yang pernah mengalami tindak balas alahan semasa pengambilannya.

Ruxolitinib juga perlu diambil dengan berhati-hati oleh pesakit yang mempunyai masalah-masalah berikut:

  1. penyakit buah pinggang
  2. penyakit hati seperti sirosis hati
  3. paras kolesterol yang tinggi di dalam darah (hiperlipidemia)
  4. penyakit jantung
  5. sedang menghidap jangkitan kuman yang aktif seperti demam selsema, pneumonia, herpes zoster dan sebagainya
  6. pernah menghidap angin ahmar
  7. pernah atau masih menjadi perokok aktif

Pengambilan ruxolitinib semasa kehamilan

Kajian telah menunjukkan penggunaan ubat ini oleh haiwan hamil boleh memudaratkan kesihatan anak dalam kandungan.

Tiada kajian yang sahih telah dijalankan ke atas pengambilannya oleh wanita hamil. Oleh itu, pengambilan ubat ini harus dielakkan semasa mengandung.

Pengambilan ruxolitinib semasa penyusuan badan

Kajian telah menunjukkan ruxolitinib boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit. Namun pengambilannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan kerana ia boleh memudaratkan kesihatan bayi.

Cara pengambilan ruxolitinib

Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan dalam tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.

Ruxolitinib boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan.

Sepanjang tempoh rawatan, ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan mengesan sebarang kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti hati dan buah pinggang.

Sekiranya anda menjalani rawatan dialisis, pastikan anda mengambil ubat anda selepas rawatan tersebut.

Pengambilan ruxolitinib boleh meningkatkan risiko anda untuk menghidap kanser. Oleh itu, bincang dengan doktor anda mengenai cara yang terbaik untuk menjalani rawatan bagi mengelak daripada berlakunya sebarang kesan sampingan yang serius.

Jangan hentikan pengambilan ubat ini secara tiba-tiba tanpa mendapatkan nasihat doktor walaupun penyakit anda telah berada dalam keadaan terkawal bagi mengelak penyakit anda daripada melarat secara mengejut.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat ini daripada menjadi rosak.

Kesan sampingan ruxolitinib

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Kesan sampingan yang boleh berlaku semasa pengambilan ubat ini adalah:

  1. perdarahan yang luar biasa seperti hidung dan gusi berdarah
  2. tanda-tanda anemia seperti muka pucat, sesak nafas dan badan berasa sangat lesu
  3. pembentukan ruam merah, gatal atau sakit, melepuh dan pijau pada bahagian kulit tertentu
  4. kedua-dua belah kaki menjadi bengkak, merah dan sakit
  5. sesak nafas
  6. sakit sendi dan tulang 
  7. loya atau muntah
  8. pening kepala atau rasa pitam
  9. perubahan pada pertuturan
  10. kenaikan berat badan
  11. cirit-birit atau sembelit
  12. kembung perut

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan ruxolitinib

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan ruxolitinib lalu memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • boceprevir
  • clarithromycin
  • indinavir
  • itraconazole
  • ketoconazole
  • lopinavir
  • ritonavir
  • mibefradil
  • nefazodone
  • nelfinavir
  • posaconazole
  • saquinavir
  • telaprevir
  • telithromycin
  • voriconazole
  • fluconazole
  • ciprofloxacin
  • erythromycin
  • amprenavir
  • atazanavir
  • diltiazem
  • cimetidine
  • avasimibe
  • carbamazepine
  • phenobarbitone
  • phenytoin
  • rifabutin
  • rifampicin
Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar