Apa itu Norethindrone?
Norethindrone adalah sejenis ubat yang mengandungi progestin atau progestogen sintetik. Ia tidak mengandungi estrogen.
Norethindrone biasanya digunakan untuk:
- mencegah kehamilan
- merawat masalah ginekologi seperti endometriosis dan perdarahan haid yang berpanjangan (menorrhagia)
Norethindrone bertindak dengan cara mengikat kepada reseptor progesteron yang terletak pada sistem peranakan wanita dan kelenjar pituitari. Ini akan mengakibatkan rembesan hormon gonadotropin-releasing hormone (GnRH), hormon perangsang folikel (follicle stimulating hormone, FSH) dan hormon peluteinan (luteinizing hormone, LH) menjadi kurang. Tindak balas ini akan mencegah perkembangan lapisan endometrium dinding rahim dan ovum lalu merencatkan proses kehamilan dan haid.
Jenama norethindrone yang boleh diperolehi di pasaran adalah Norcolut, Noriday, Normens dan Sunolut.
Apa pesakit perlu tahu sebelum menggunakan norethindrone?
Norethindrone tidak sesuai digunakan oleh wanita yang mempunyai masalah-masalah berikut:
- pernah mengalami tindak balas alahan semasa pengambilannya
- penyakit thromboemboli (pembentukan gumpalan darah) pada salur darah paru-paru, otak, mata dan kaki
- penyakit hati yang serius seperti sirosis hati dan kanser hati
- kanser payu dara
- penyakit perdarahan seperti haid yang tidak diketahui puncanya
Pengambilan norethindrone semasa kehamilan
Norethindrone tidak boleh diambil semasa kehamilan kerana ia boleh membahayakan kesihatan bayi dalam kandungan.
Pengambilan norethindrone semasa penyusuan badan
Kajian telah menunjukkan bahawa norethindrone boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ia selamat untuk diambil semasa penyusuan badan.
Cara pengambilan norethindrone
Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini pada dos yang lebih tinggi atau lebih rendah dan dalam tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Norethindrone biasanya diambil selepas makan malam atau sebelum tidur. Walau bagaimanapun, ia boleh diambil dalam keadaan perut kosong atau selepas makan. Yang penting, anda harus memastikan jadual masa makan ubat adalah tetap setiap hari dengan jarak masa setiap 24 jam.
Sekiranya anda terlewat atau terlupa mengambil ubat ini lebih daripada 3 jam, pastikan anda menggunakan kaedah pengawalan kehamilan yang lain seperti kondom ketika melakukan hubungan seks bagi mencegah kehamilan.
Selain itu, jika anda terlupa mengambil satu dos ubat, anda harus mengambilnya secepat mungkin apabila teringat. Walau bagaimanapun, jika masanya telah hampir kepada dos yang seterusnya, langkau dos yang terlepas dan kembali ke jadual dos biasa anda. Jangan gandakan dos. Ubat ini mempunyai arahan khusus kepada pesakit tentang perkara yang perlu dilakukan jika anda terlepas dos.
Sepanjang tempoh pengambilan ubat ini, anda harus melakukan pemeriksaan payu dara sendiri dan ujian mamogram secara berkala bagi mengesan kehadiran ketulan pada payu dara.
Pengambilan ubat ini juga boleh mengganggu keputusan ujian darah. Oleh itu, maklumkan kepada doktor mengenai pengambilan ubat ini semasa anda hendak melakukan pemeriksaan darah.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat ini daripada menjadi rosak.
Kesan sampingan norethindrone
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Kesan sampingan yang boleh berlaku semasa pengambilan ubat ini adalah:
- kitaran haid yang tidak normal
- perdarahan haid yang luar biasa
- sakit kepala
- pembentukan ketulan atau rasa sakit pada payu dara
- gangguan sistem penghadaman seperti kembung perut, sakit perut, loya dan muntah
- gangguan emosi seperti kemurungan
- insomnia
- keguguran rambut
- rasa gatal atau kehadiran discaj pada vagina
- kenaikan berat badan
- tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, rasa sakit pada bahagian atas sebelah kanan abdomen, air kencing berwarna teh pekat dan jaundis
- tanda-tanda peredaran darah terganggu akibat pembentukan darah beku pada salur darah seperti sakit dada, sesak nafas, penglihatan kabur, rasa kebas atau kesemutan pada jari-jemari dan kaki atau tangan mengalami pembengkakan
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan norethindrone
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan norethindrone lalu memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- antibiotik tertentu seperti rifampicin dan rifabutin
- ubat-ubatan antikonvulsan seperti phenytoin, carbamazepine dan barbiturate
- ubat-ubatan antifungus seperti griseofulvin, ketoconazole dan fluconazole
- ubat-ubatan rawatan HIV seperti ritonavir, nevirapine dan nelfinavir
- ubat-ubatan antigonist reseptor hormon seperti tamoxifen dan raloxifene
- ubat penenang seperti diazepam dan lorazepam
- ubat-ubatan antidepressan seperti fluoxetine dan paroxetine
- ubat-ubatan untuk merawat masalah kelenjar tiroid seperti thyroxine
- ubat-ubatan antihipertensi seperti kumpulan ubat beta blocker dan ACE inhibitor