Apa itu Acetaminophen?
Acetaminophen adalah sejenis ubat tahan sakit dan ubat demam. Ia digunakan untuk melegakan rasa sakit yang ringan dan sederhana. Ia juga boleh digabungkan dengan ubat opiate untuk melegakan rasa sakit yang teruk.
Acetaminophen biasanya digunakan untuk merawat sakit kepala, sakit otot, arthritis, sakit belakang, sakit gigi, sakit tekak, selsema dan demam.
Jenama acetaminophen yang boleh diperolehi di pasaran adalah Uphamol 650 dan Paracetamol.
Maklumat penting
Anda tidak boleh menggunakan ubat ini jika anda mempunyai penyakit hati yang serius.
Pengambilan acetaminophen dalam dos yang tinggi dan lama boleh merosakkan hati.
Hubungi doktor dengan segera jika anda mengalami loya, sakit perut, kegatalan pada kulit, hilang selera makan, air kencing berwarna teh pekat, najis berwarna pucat dan jaundis (kuning pada bahagian kulit dan mata).
Berhenti mengambil ubat ini dan hubungi doktor dengan segera jika anda mengalami kemerahan atau ruam pada kulit dan ia melepuh dan mengelupas.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Acetaminophen?
Anda tidak boleh mengambil acetaminophen jika anda alah kepadanya atau jika anda mempunyai penyakit hati yang teruk.
Jangan ambil ubat ini tanpa nasihat doktor jika anda pernah menghidap penyakit hati sirosis atau jika anda minum lebih daripada 3 minuman beralkohol setiap hari.
Doktor akan menentukan sama ada acetaminophen selamat untuk anda gunakan semasa mengandung. Jangan gunakan ubat ini tanpa nasihat doktor jika anda hamil.
Acetaminophen boleh meresap ke dalam susu badan. Tanya doktor sebelum menggunakan ubat ini jika anda menyusukan anak.
Jangan berikan ubat ini kepada kanak-kanak yang berumur kurang daripada 2 tahun tanpa nasihat doktor.
Bagaimanakah anda perlu mengambil acetaminophen?
Ambil acetaminophen seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Jangan ambil ubat ini lebih daripada yang disyorkan. Dos yang berlebihan boleh merosakkan hati dan menyebabkan kematian.
Orang dewasa dan remaja yang beratnya sekurang-kurangnya 50 kilogram tidak boleh mengambil acetaminophen lebih daripada 1000 miligram (mg) pada satu masa atau lebih daripada 4000 mg dalam tempoh 24 jam.
Kanak-kanak yang berumur kurang daripada 12 tahun tidak boleh mengambil lebih daripada 5 dos ubat dalam tempoh 24 jam. Sukat dos ubat dengan betul mengikut berat badan kanak-kanak tersebut.
Elakkan penggunaan ubat lain yang mengandungi acetaminophen (kadangkala disingkatkan sebagai APAP) kerana ia boleh menyebabkan anda mengalami ‘overdose’ ubat dan ia boleh membawa maut.
Berhenti mengambil acetaminophen dan hubungi doktor jika anda mengalami:
- sakit tekak selepas 2 hari
- demam selepas 3 hari
- bisa badan selepas 7 hari penggunaannya (atau 5 hari jika merawat kanak-kanak)
- ruam kulit, sakit kepala yang berterusan, loya, muntah
- simptom penyakit menjadi lebih teruk
Acetaminophen boleh menyebabkan kehadiran glukosa (gula) dalam air kencing. Oleh itu, maklumkan kepada doktor jika anda perlu menjalani ujian air kencing.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan Acetaminophen
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.
Acetaminophen boleh menyebabkan tindak balas alahan kulit yang teruk yang boleh membawa maut. Ia boleh berlaku walaupun anda pernah mengambil ubat ini pada masa lampau dan tidak mempunyai tindak balas. Sekiranya ia berlaku, anda hendaklah berhenti mengambil ubat ini dan hubungi doktor dengan segera. Simptom-simptom alahan kulit adalah seperti pembentukan ruam merah yang merebak dengan cepat dan menyebabkan ianya melepuh dan mengelupas.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- loya, sakit perut, hilang selera makan dan kegatalan tanpa ruam pada bahagian kulit
- berpeluh yang ekstrim
- keletihan yang teruk
- air kencing berwarna teh pekat, najis berwarna pucat
- jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
Namun, kesan sampingan yang biasa berlaku semasa pengambilan acetaminophen adalah:
- loya dan muntah
- sakit kepala
- insomnia