Apa itu Amlodipine?
Amlodipine adalah sejenis ubat darah tinggi yang berasal daripada kumpulan ubat calcium channel blocker. Ia bertindak dengan cara mengembangkan salur darah dan melancarkan peredaran darah.
Amlodipine digunakan untuk merawat sakit dada (angina) dan keadaan lain yang disebabkan oleh penyakit arteri koronari.
Amlodipine juga digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi (hipertensi).
Amlodipine hanya sesuai diberikan kepada orang dewasa dan kanak-kanak yang berumur sekurang-kurangnya 6 tahun.
Jenama amlodipine yang boleh diperolehi di pasaran adalah Amcardia, Amcor, Amdepin, Amlibon, Amlodac, Amlodipine Winthrop, Amlong, Amlopres, Amnoz, Amvaz, Anlodin, Axcel Amlodipine, Covasc, Hovasc, Lofral, Nordipine, Norvasc, Stadovas dan Sunvasc.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil ubat ini?
Anda tidak boleh mengambil amlodipine jika anda alah kepadanya.
Untuk memastikan amlodipine selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda pernah mengalami:
- penyakit kegagalan fungsi hati
- masalah injap jantung jenis aortic stenosis
Beritahu doktor jika anda hamil atau merancang untuk hamil kerana pengambilan ubat ini semasa kehamilan mungkin boleh memudaratkan kesihatan bayi dalam kandungan.
Amlodipine boleh meresap ke dalam susu ibu dan kesannya ke atas bayi masih belum diketahui. Oleh itu, beritahu doktor jika anda menyusukan bayi.
Amlodipine tidak diluluskan untuk digunakan oleh sesiapa yang berumur di bawah 6 tahun.
Bagaimanakah cara pengambilan amlodipine?
Ambil amlodipine seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Doktor mungkin akan mengubah dos anda dari masa ke semasa untuk memastikan anda mendapat kesan rawatan yang terbaik. Jangan gunakan ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Anda boleh mengambil amlodipine sebelum atau selepas makan. Ambil ubat tersebut pada masa yang sama setiap hari.
Sepanjang pengambilan ubat ini, tekanan darah anda perlu diperiksa secara berkala.
Jika anda sedang menerima rawatan tekanan darah tinggi, teruskan penggunaan amlodipine walaupun tekanan darah anda sudah stabil melainkan diberhentikan oleh doktor.
Semasa menerima rawatan, penggunaan amlodipine mungkin akan digabungkan dengan ubat-ubatan lain. Oleh itu, gunakan semua ubat seperti yang telah diarahkan oleh doktor anda. Baca panduan ubat yang telah disediakan pada setiap ubat. Jangan ubah dos anda atau berhenti mengambil sebarang ubat anda tanpa nasihat doktor.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarnya daripada rosak.
Kesan sampingan amlodipine
Anda harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- degupan jantung yang laju dan kuat atau rasa berdesir pada dada
- sakit dada yang semakin teruk
- bengkak pada kedua-dua belah kaki
- rasa mengantuk yang teruk
- rasa pening kepala atau pitam
Walau bagaimanapun, kesan sampingan amlodipine yang lazim berlaku adalah:
- pening, mengantuk
- rasa letih
- sakit perut, loya
- kulit menjadi merah dan berasa pijau