Apa itu Aspirin?
Aspirin mengandungi asid salisilik. Ia bertindak dengan cara merencatkan penghasilan prostaglandin di dalam badan yang boleh menyebabkan rasa sakit, demam dan keradangan.
Aspirin digunakan untuk merawat bisa badan, demam dan keradangan. Ia juga digunakan untuk merawat dan mencegah serangan jantung, strok dan sakit dada (angina).
Aspirin harus digunakan di bawah pengawasan doktor sekiranya ianya digunakan untuk merawat penyakit kardiovaskular.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil ubat ini?
Jangan berikan ubat ini kepada kanak-kanak atau remaja yang menghidap demam, selsema atau cacar air. Aspirin boleh menyebabkan sindrom Reye iaitu keadaan yang serius yang kadangkala boleh membawa maut kepada kanak-kanak.
Anda tidak boleh mengambil aspirin jika anda:
- mempunyai sejarah penyakit ulser perut atau usus yang baru dirawat
- masalah mudah berlaku perdarahan seperti hemofilia
- pernah mengalami serangan asma atau reaksi alahan yang teruk selepas mengambil aspirin atau NSAID (ubat anti-radang bukan steroid) seperti Indocin, Voltaren, Mobic, Feldene dan lain-lain
Untuk memastikan ubat ini selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda mempunyai:
- masalah alahan seperti asma, resdung atau ekzema
- ulser perut
- penyakit kegagalan fungsi hati
- penyakit buah pinggang
- mudah berlaku perdarahan pada badan seperti hidung berdarah atau mempunyai masalah darah beku
- gout
- penyakit kegagalan fungsi jantung atau tekanan darah tinggi
Pengambilan aspirin semasa trimester ketiga mengandung boleh menyebabkan pendarahan pada ibu atau bayi sewaktu bersalin. Beritahu doktor anda jika anda hamil atau merancang untuk hamil.
Cara pengambilan Aspirin
Ambil aspirin seperti yang ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda.
Ambil aspirin sewaktu atau selepas makanan jika aspirin mengganggu perut anda.
Jangan hancurkan, kunyah, pecahkan atau membuka pil jenis ‘enteric coated’ atau ‘slow-released’. Anda harus telan secara satu tablet terus untuk pil jenis tersebut.
Jika anda memerlukan pembedahan, beritahu pakar bedah terlebih awal bahawa anda menggunakan ubat ini. Anda mungkin perlu berhenti mengambilnya untuk masa yang singkat.
Jangan gunakan aspirin jika anda menghidu bau cuka yang kuat dalam botol ubat. Ubat ini mungkin tidak lagi berkesan.
Simpan aspirin pada suhu bilik dan jauhkan dari kelembapan dan haba.
Kesan sampingan Aspirin
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.
Hubungi doktor anda dengan segera jika anda mengalami:
- telinga berdesing
- perasaan keliru atau halusinasi
- sesak nafas
- sawan
- loya yang teruk, muntah atau sakit perut
- najis berdarah atau berwarna hitam, batuk darah atau muntah yang kelihatan seperti warna kopi
- demam yang berlarutan lebih daripada 3 hari
- bengkak atau rasa sakit pada badan atau sendi yang berlarutan lebih daripada 10 hari
Kesan sampingan aspirin yang kerap berlaku adalah:
- pedih ulu hati
- mengantuk
- sakit kepala