Rabu, 25 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Baclofen | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Baclofen | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Baclofen?

Baclofen adalah sejenis ubat yang digunakan untuk mengendurkan otot yang kejang atau tegang. Baclofen biasanya digunakan untuk merawat kesakitan, kekejangan dan ketegangan otot pada pesakit yang menghidap penyakit multiple sclerosis dan penyakit saraf tunjang.

Baclofen boleh diberikan secara intrathecal (suntikan terus ke dalam saraf tunjang) atau oral.

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Baclofen?

Anda tidak boleh mengambil baclofen jika anda mempunyai masalah alahan kepadanya.

Untuk memastikan ubat ini selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda pernah menghidap:

  1. penyakit mental atau psikosis
  2. penyakit sistem saraf
  3. epilepsi atau sawan
  4. strok
  5. penyakit buah pinggang

Kaum wanita yang mengambil baclofen mempunyai risiko untuk mendapat penyakit ovarian cyst. Oleh itu, bincang dengan doktor anda tentang risiko yang mungkin anda hadapi.

Beritahu doktor jika anda hamil atau menyusukan bayi kerana pengambilan baclofen semasa tempoh tersebut mungkin boleh memudaratkan bayi anda.

Jika anda mengambil baclofen semasa kehamilan, bayi yang baru lahir mungkin boleh mengalami simptom ‘withdrawal’ seperti badan menggeletar, otot tegang dan sawan. Oleh itu, dos ubat akan diturunkan secara berperingkat apabila tarikh bersalin telah dekat.

Simptom ‘withdrawal’ juga boleh berlaku pada bayi yang menerima susu badan. Oleh itu, bincang dengan doktor tentang keperluan untuk mengambil ubat ini semasa penyusuan badan.

Baclofen tidak diluluskan untuk digunakan oleh sesiapa yang berumur kurang daripada 12 tahun.

Cara pengambilan Baclofen

Ambil baclofen seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi ubat. Doktor mungkin akan menukar dos anda dari masa ke semasa.

Goncang cecair ubat sebelum anda menyukat dos yang perlu diambil. Gunakan picagari ubat atau sudu penyukat dos ubat yang telah disediakan oleh pihak farmasi.

Hubungi doktor anda jika simptom otot anda tidak bertambah baik atau menjadi lebih serius.

Anda tidak boleh berhenti mengambil baclofen secara tiba-tiba kerana ia boleh mengakibatkan simptom ‘withdrawal’. Oleh itu, doktor anda akan memberikan arahan cara untuk menurunkan dos ubat secara berperingkat sebelum ubat dihentikan.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan Baclofen

Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.

Hubungi doktor dengan segera jika anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  1. mengantuk yang teruk
  2. kesukaran bernafas
  3. perasaan keliru dan halusinasi
  4. kegatalan pada kulit
  5. pergerakan otot yang tak terkawal pada tangan, lengan dan kaki
  6. sawan

Kesan sampingan baclofen yang lazim berlaku adalah:

  1. mengantuk, pening, rasa lemah dan letih
  2. sakit kepala
  3. masalah tidur (insomnia)
  4. loya
  5. sembelit
  6. kencing kerap

 

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar