Apa itu Bactroban?
Bactroban (mupirocin) adalah sejenis antibiotik yang digunakan untuk merawat jangkitan bakteria pada permukaan kulit seperti impetigo dan folikulitis (folliculitis). Ia juga boleh digunakan untuk merawat jangkitan bakteria jenis methicillin-resistant Staphylococcus aureus pada kulit. Bactroban boleh diperolehi di dalam bentuk krim dan ointment.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Bactroban?
Anda tidak boleh menggunakan krim atau ointment Bactroban sekiranyanya anda mempunyai masalah alahan terhadapnya.
Untuk memastikan Bactroban selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda pernah menghidap penyakit buah pinggang.
Jangan gunakan Bactroban pada kanak-kanak tanpa mendapat nasihat daripada doktor. Krim tidak boleh digunakan pada kanak-kanak yang berusia kurang daripada 3 bulan. Ointment boleh digunakan pada kanak-kanak seawal usia 2 bulan.
Batroban boleh membahayakan kesihatan bayi dalam kandungan. Oleh itu, beritahu doktor jika anda hamil atau merancang untuk hamil.
Batroban juga mungkin boleh membahayakan kesihatan bayi yang mengambil susu badan. Oleh itu, beritahu doktor jika anda menyusukan bayi. Jika anda menyapu ubat ini pada payudara, basuh bahagian tersebut sehingga bersih sebelum menyusukan bayi anda.
Cara penggunaan Bactroban
Gunakan krim atau ointment Bactroban seperti yang diarahkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan gunakan ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Bactroban hanya untuk digunakan pada kulit. Jika ubat ini terkena pada mata, hidung atau mulut, bilas bahagian tersebut dengan air sehingga bersih.
Cara menggunakan Bactroban adalah:
- Basuh tangan anda sebelum menggunakan Bactroban.
- Bersihkan dengan air bersih dan keringkan kawasan kulit yang terjejas.
- Gunakan kapas atau kain kasa yang steril untuk menyapu sedikit krim Bactroban pada kawasan kulit yang terjejas.
- Jangan sapu Bactroban dengan banyak dan di luar kawasan kulit yang terjejas.
Bactroban biasanya digunakan sebanyak 3 kali sehari selama 10 hari.
Gunakan pad kain kasa steril untuk menutup bahagian kulit yang dirawat. Jangan tutup kawasan yang dirawat dengan pembalut plastik atau penutup lain yang boleh menyekat peredaran udara pada kulit.
Hubungi doktor jika simptom anda tidak bertambah baik dalam tempoh 3 hingga 5 hari atau jika keadaan kulit anda menjadi lebih teruk.
Simpan ubat pada suhu bilik dan jauhkan dari kelembapan dan haba.
Kesan sampingan Bactroban
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tanda-tanda tindak balas alahan semasa menggunakan Batroban seperti kegatalan pada kulit, sesak nafas, bengkak pada muka, bibir, lidah atau tekak.
Hubungi doktor anda dengan segera jika anda mengalami masalah:
- sakit perut yang teruk dan cirit-birit
- gatal-gatal yang teruk dan ruam pada kulit
- kulit yang lepuh atau mengupas
Kesan sampingan Bactroban yang biasa berlaku adalah:
- rasa pijau dan bisa pada kulit
- gatal-gatal pada kulit