Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Calcitriol | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Calcitriol | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Calcitriol?

Calcitriol adalah sejenis Vitamin D3. Ia membantu penyerapan kalsium di dalam usus.

Calcitriol digunakan untuk merawat penyakit hyperparathyroidisme (kelenjar parathyroid yang terlalu aktif) dan penyakit tulang metabolik yang dihidapi pesakit buah pinggang yang kronik.

Calcitriol juga digunakan untuk merawat masalah kekurangan kalsium pada pesakit yang menghidap penyakit hypoparathyroidism (kelenjar parathyroid yang kurang aktif).

Jenama calcitriol yang boleh diperolehi di pasaran adalah Bonky, Calcijex, Osteocap, Rocaltrol dan Roical.

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Calcitriol?

Anda tidak boleh mengambil calcitriol jika anda mempunyai masalah:

  1. paras kalsium atau vitamin D yang tinggi di dalam darah
  2. tindak balas alahan terhadap kalsium atau bentuk vitamin D yang lain

Calcitriol mungkin boleh membahayakan kesihatan bayi dalam kandungan. Tiada bukti kukuh untuk mengatakan ia selamat untuk diambil semasa kehamilan. Oleh itu, beritahu doktor jika anda hamil atau merancang untuk hamil.

Calcitriol selamat untuk diambil semasa penyusuan badan tetapi sebaik-baiknya dapatkan nasihat daripada doktor sebelum pengambilannya.

Jangan berikan ubat ini kepada kanak-kanak tanpa mendapat nasihat doktor.

Cara pengambilan Calcitriol

Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Doktor mungkin akan mengubah dosnya dari masa ke semasa. Oleh itu, ambil ubat ini seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda.

Tablet calcitriol disyorkan untuk diambil semasa atau selepas makan.

Untuk pengambilan jenis sirup calcitriol, goncang botol ubat sebelum menyukat dos yang perlu diambil. Gunakan picagari ubat atau sudu penyukat ubat yang telah disediakan oleh pihak farmasi.

Suntikan calcitriol pula diberikan dengan cara intravenous infusion iaitu suntikan melalui urat darah vena.

Semasa pengambilan calcitriol, ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi memantau paras kalsium di dalam darah.

Anda mungkin perlu mengikuti diet khas semasa menggunakan calcitriol. Ikut semua arahan doktor atau pakar diet anda. Anda harus tahu tentang makanan yang perlu dimakan atau dielakkan untuk membantu mengawal paras kalsium di dalam badan anda.

Hubungi doktor jika anda mengalami muntah-muntah atau cirit-birit dan berpeluh lebih daripada biasa. Anda berisiko untuk mengalami dehidrasi semasa mengambil calcitriol. Ini boleh menyebabkan tekanan darah menjadi rendah, ketidakseimbangan elektrolit yang serius di dalam darah dan kegagalan fungsi buah pinggang.

Keperluan dos calcitriol anda mungkin perlu diubah jika anda dijadualkan untuk menjalani pembedahan major yang memerlukan anda rehat di atas katil untuk satu jangka masa yang lama selepas pembedahan. Oleh itu, beritahu doktor sekiranya anda sedang mengambil calcitriol.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan Calcitriol

Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.

Calcitriol boleh menyebabkan kesan sampingan berikut:

  1. dehidrasi-rasa sangat dahaga, sukar membuang air kecil, sukar berpeluh dan kulit berasa panas dan kering
  2. paras kalsium tinggi di dalam darah yang boleh menyebabkan loya, muntah, sembelit, peningkatan rasa dahaga, kerap kencing, lemah otot, sakit tulang, rasa keliru dan letih
  3. paras kalsium rendah di dalam darah yang boleh menyebabkan kekejangan atau kekenduran otot, kebas atau rasa kesemutan di sekeliling mulut, jari kaki dan tangan

 

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar