Apa itu Ceftriaxone?
Ceftriaxone adalah sejenis antibiotik yang tergolong di dalam kumpulan antibiotik jenis cephalosporin generasi ketiga yang stabil terhadap tindak balas enzim beta-lactamase yang dihasilkan oleh sel bakteria. Ceftriaxone juga bertindak dengan efektif untuk membunuh kebanyakan bakteria jenis gram-negative termasuk Enterobacteriaceae.
Ceftriaxone mempunyai tempoh hayat yang lama di dalam badan yang memberikan ia satu keunikan untuk memastikan tindak balasnya melawan bakteria berlaku dengan lebih berkesan.
Ceftriaxone biasanya diberikan melalui suntikan intramuskular atau ‘intravenous’ dan dikumuhkan melalui sistem ginjal dan sistem hempedu.
Ceftriaxone digunakan untuk merawat jangkitan bakteria pada:
- cecair otak (meningitis)
- alat kelamin (gonorrhoea)
- paru-paru (pneumonia)
- sistem penghadaman (gastroenteritis)
- telinga (otitis media)
- kulit
- saluran kencing
Ia juga digunakan untuk mencegah komplikasi jangkitan bakteria selepas pembedahan dan untuk merawat penyakit Lyme disease.
Jenama ceftriaxone yang boleh diperolehi di pasaran adalah Cefaxone, Ceftrex, Ceftriaxone Zhijun, Celltriaxon, Mesporin, Rocephin, Trixone, Unocef dan Vaxcel Ceftriaxone.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Ceftriaxone?
Anda tidak boleh mengambil ceftriaxone jika anda mempunyai sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan daripada kumpulan antibiotik cephalosporin generasi ketiga.
Ceftriaxone boleh menjejaskan ujian makmal tertentu. Oleh itu, beritahu doktor bahawa anda sedang mengambil ceftriaxone.
Jika anda menghidap penyakit kencing manis, bincang dengan doktor sebelum mengambil ceftriaxone kerana sesetengah produk ini mempunyai kandungan gula yang boleh menjejaskan kawalan kencing manis anda.
Jangan gunakan ceftriaxone untuk tempoh yang lebih lama daripada yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Ceftriaxone tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk menjamin ia selamat untuk digunakan semasa kehamilan dan penyusuan badan. Ia mungkin boleh membahayakan kesihatan bayi. Oleh itu, bincang dengan doktor sebelum anda menggunakannya.
Cara pengambilan Ceftriaxone
Ceftriaxone boleh diambil dengan cara suntikan intramuskular atau intravenous. Pesakit perlu mengambil banyak air semasa rawatan dengan antibiotik ini kecuali sekiranya anda telah diminta untuk menghadkan pengambilan air disebabkan oleh masalah buah pinggang atau lemah jantung.
Kesan sampingan Ceftriaxone
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.
Kesan sampingan yang boleh berlaku semasa pengambilan ceftriaxone adalah:
- radang organ pankreas di mana pesakit akan mengalami sakit pada bahagian atas abdomen dan pinggang, demam dan muntah-muntah
- pembentukan batu karang pada pundi hempedu
- masalah buah pinggang di mana pesakit boleh mengalami kencing tak lawas, kencing berwarna teh pekat, kencing berdarah dan pengumpulan air berlebihan di dalam badan (bengkak kaki dan kenaikan berat badan secara mendadak)
- sawan
- anemia
- cirit-birit