Apa itu Cefuroxime?
Cefuroxime adalah sejenis antibiotik yang tergolong di dalam kumpulan antibiotik jenis cephalosporin generasi kedua. Jenama cefuroxime yang biasa digunakan adalah Ceftin, Zinacef dan Kefurox.
Cefuroxime boleh diperolehi dalam bentuk tablet, sirup dan suntikan.
Ia digunakan untuk merawat pelbagai jenis jangkitan bakteria jenis Staphylococci, Streptococci dan gram-negative.
Cefuroxime biasanya digunakan untuk merawat jangkitan bakteria pada:
- cecair otak (meningitis)
- alat kelamin (gonorrhoea)
- paru-paru (pneumonia)
- sistem penghadaman (gastroenteritis)
- telinga (otitis media)
- kulit
- saluran kencing
Ia juga digunakan untuk mencegah komplikasi jangkitan bakteria selepas pembedahan dan untuk merawat penyakit Lyme disease.
Jenama cefuroxime yang boleh diperolehi di pasaran adalah Axcel Cefuroxime, Ceflour, Cefuroxim Stada, Cefuroxime Axetil-Zhijun, Efurox, Furoxime, Vaxcel Cefuroxime, Xorimax, Xylid, Zefu, Zinacef, Zinnat dan Zocef.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Cefuroxime?
Anda tidak boleh mengambil cefuroxime jika anda mempunyai sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan daripada kumpulan antibiotik cephalosporin generasi kedua seperti cefaclor (Raniclor), cefadroxil (Duricef), cefazolin (Ancef), cefdinir (Omnicef), cefditoren (Spectracef), cefpodoxime (Vantin), cefprozil (Cefzil), ceftibuten (Cedax), cephalexin (Keflex) dan cephradine (Velosef).
Untuk memastikan sama ada anda selamat untuk mengambil cefuroxime, beritahu doktor sekiranya anda mempunyai masalah:
- alahan kepada antibiotik daripada kumpulan cephalosporin generasi kedua
- penyakit buah pinggang
- penyakit hati
- sejarah penyakit usus seperti colitis
- kencing manis
- kurang nutrisi di dalam badan
Sirup cefuroxime mengandungi phenylalanine. Oleh itu, ia tidak sesuai untuk digunakan oleh pesakit yang menghidap penyakit phenylketonuria (PKU).
Cefuroxime tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk menjamin ia selamat untuk digunakan semasa kehamilan dan penyusuan badan. Ia mungkin boleh membahayakan kesihatan bayi. Oleh itu, bincang dengan doktor sebelum anda menggunakannya.
Cara pengambilan Cefuroxime
Ambil cefuroxime seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda.
Tablet cefuroxime boleh diambil sebelum atau selepas makan. Namun sirup cefuroxime mesti diambil selepas makan.
Goncang sirup cefuroxime sebelum anda menyukat dos ubat. Gunakan picagari ubat atau sudu penyukat dos ubat yang telah disediakan oleh pihak farmasi.
Jangan hancurkan atau kunyah tablet cefuroxime. Telan pil tersebut keseluruhannya atau pecahkan pil kepada setengah tablet dan ambil kedua-duanya bahagian ubat satu demi satu.
Cefuroxime boleh menjejaskan keputusan ujian darah kencing manis. Oleh itu, beritahu doktor yang merawat anda bahawa anda sedang menggunakan ubat ini.
Simpan ubat pada suhu bilik dan jauhkan dari kelembapan dan haba.
Simpan sirup cefuroxime di dalam peti sejuk. Jangan biarkan ia membeku. Buang sebarang cecair cefuroxime yang telah terbiar lebih daripada 10 hari.
Kesan sampingan Cefuroxime
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.
Kesan sampingan yang boleh berlaku semasa pengambilan cefuroxime adalah:
- sakit perut dan cirit-birit
- jaundis (mata dan kulit menjadi kuning)
- ruam dan lebam pada kulit
- kulit berasa kebas atau kesemutan
- sawan
- masalah buah pinggang seperti kencing tak lawas, air kencing berwarna teh pekat dan pengumpulan air yang berlebihan di dalam badan (bengkak kaki dan kenaikan berat badan secara mendadak)
- cirit-birit
- loya dan muntah-muntah
- perubahan pada deria rasa lidah