Rabu, 25 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Gabapentin | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Gabapentin | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Gabapentin?

Gabapentin adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat anticonvulsant. Ia bertindak dengan merencatkan rangsangan sistem saraf GABA di dalam otak, iaitu sistem utusan saraf yang berfungsi untuk menghasilkan persepsi rasa sakit dan tindakbalas sawan atau epilepsi.

Ia biasanya digunakan untuk merawat penyakit sawan separa, sakit saraf yang disebabkan oleh penyakit kayap dan penyakit restless leg syndrome.

Jenama Gabapentin yang boleh diperolehi di pasaran adalah Neurontin, Gralise dan Horizant.

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Gabapentin?

Anda tidak boleh menggunakan gabapentin jika anda mempunyai sejarah alahan kepadanya.

Untuk memastikan gabapentin selamat untuk diambil, maklumkan kepada doktor anda sekiranya anda mempunyai:

  • penyakit paru-paru seperti lelah, pulmonary fibrosis dan chronic obstructive pulmonary disease
  • penyakit buah pinggang atau sedang menjalani rawatan dialisis
  • diabetes
  • masalah emosi seperti kemurungan
  • masalah ketagihan dadah seperti ecstacy, cannabis dan amphetamine
  • masalah sawan kecuali sekiranya anda mengambil gabapentin untuk merawat masalah sawan 
  • penyakit hati
  • penyakit jantung
  • jadual kerja secara shift seperti seminggu shift malam berselang dengan seminggu shif pagi

Pengambilan Gabapentin semasa mengandung

Kajian ke atas haiwan telah menunjukkan bahawa pengambilan gabapentin semasa mengandung boleh mengakibatkan kecacatan pada sistem tulang dan sistem otot.

Namun pengambilannya semasa mengandung dibenarkan sekiranya penyakit yang dirawat boleh memudaratkan kesihatan ibu dan bayi di dalam kandungan sekiranya ubat tersebut dihentikan terutama dalam rawatan penyakit sawan.

Oleh itu, sekiranya ubat tersebut diambil semasa mengandung, pesakit haruslah dipantau secara terperinci oleh doktor.

Pengambilan semasa penyusuan badan

Kajian menunjukkan bahawa gabapentin boleh meresap ke dalam susu badan tetapi di dalam jumlah yang sangat sedikit untuk mendatangkan kemudaratan kepada bayi yang menyusu. Oleh itu, ia boleh diambil secara selamat semasa penyusuan badan.

Cara pengambilan Gabapentin

Ambil gabapentin seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Jenama gabapentin jenis Gralise dan Horizant perlu diambil semasa makan manakala jenama Neurontin boleh diambil sebelum atau selepas makan.

Jika anda memecahkan tablet Neurontin untuk mengambil hanya separuh daripadanya, ambil separuh lagi pada dos seterusnya. Tablet yang telah dipecahkan separuh harus diambil pada dos berikutnya atau dalam tempoh 24-48 jam bagi memastikan ubat tersebut tidak rosak akibat terdedah terlalu lama.

Sekiranya anda mengambil jenama gabapentin yang berbentuk kapsul, elakkan daripada membuka kapsul tersebut dan menelan serbuk ubat yang berada di dalam kapsul kerana ia tidak efektif.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada suhu panas dan kelembapan bagi mencegah ubat ini daripada menjadi rosak.

Kesan sampingan Gabapentin

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa mengambil ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor anda dengan segera sekiranya anda mengalami gejala-gejala berikut:

  • sesak nafas
  • kulit, bibir dan jari bertukar menjadi biru
  • mengalami rasa keliru, berasa letih yang ekstrim
  • masalah untuk mengekalkan keseimbangan badan
  • otot-otot badan berasa sakit
  • pergerakan otot yang tak terkawal seperti pada bahagian mata dan jari tangan atau kaki
  • peningkatan serangan sawan
  • perubahan emosi secara mengejut seperti kemurungan
  • masalah untuk menumpukan perhatian dan menjadi cepat lupa

Namun, kesan sampingan yang biasa berlaku semasa pengambilan gabapentin adalah:

  • demam menggigil, sakit tekak, sakit badan, keletihan yang luar biasa
  • kaki atau tangan mudah tersentak secara tiba-tiba
  • sakit atau pening kepala
  • penglihatan berganda iaitu melihat dua imej objek secara berasingan atau bertindih apabila anda hanya melihat satu imej sahaja
  • bengkak kaki
  • anggota badan menggeletar
  • pertuturan menjadi pelat
  • masalah untuk mengekalkan keseimbangan badan
  • loya, muntah
Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar