Rabu, 25 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Gentamicin | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Gentamicin | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Gentamicin?

Gentamicin adalah sejenis antibiotik yang tergolong di dalam kumpulan antibiotik jenis aminoglycoside. Ia biasanya digunakan untuk merawat jangkitan bakteria jenis Gram-negative seperti Pseudomonas, Proteus, Escherichia coli, Klebsiella pneumoniae, Enterobacter aerogenes dan Serratia. Ia juga digunakan untuk merawat jangkitan bakteria jenis Gram-positive Staphylococcus.

Gentamicin biasanya digunakan dalam rawatan penyakit jangkitan bakteria pada saluran kencing, jantung, paru-paru, cecair otak, tulang dan darah.

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Gentamicin?

Anda tidak boleh mengambil gentamicin sekiranya anda mempunyai sejarah alahan kepadanya dan antibiotik daripada kumpulan aminoglycoside seperti amikacin, kanamycin, neomycin, paromomycin, streptomycin dan tobramycin.

Untuk memastikan gentamicin selamat untuk diambil, maklumkan kepada doktor anda sekiranya anda mempunyai masalah:

  • penyakit buah pinggang
  • alahan seperti asma dan ekzema
  • penyakit gangguan saraf dan otot seperti myasthenia gravis
  • penyakit Parkinson
  • ketidakseimbangan elektrolit di dalam darah seperti paras kalsium, kalium atau magnesium yang rendah di dalam darah
  • dehidrasi

Pengambilan Gentamicin semasa mengandung

Tiada kajian yang kukuh untuk mengatakan gentamicin selamat kepada bayi dalam kandungan. Ada kajian menunjukkan gentamicin boleh merosakkan pendengaran dan buah pinggang bayi dalam kandungan.

Oleh itu, gentamicin jarang digunakan semasa mengandung kecuali jika keadaan terdesak.

Pengambilan Gentamicin semasa penyusuan badan

Kajian telah membuktikan bahawa gentamicin boleh meresap ke dalam susu badan tetapi dalam jumlah yang sangat sedikit. Jumlahnya tidak mampu untuk mendatangkan kemudaratan kepada bayi yang menyusu. 

Oleh itu, penggunaan gentamicin semasa penyusuan bayi adalah selamat. Namun penggunaannya haruslah di bawah pemantauan doktor.

Cara pengambilan Gentamicin

Gentamicin biasanya boleh diperolehi dalam bentuk suntikan, krim atau ointment. 

Untuk pengambilan yang berbentuk suntikan, ia biasanya akan diberikan dengan cara menyuntikkan ubat tersebut ke dalam otot bahu atau punggung (intramuscular injection) atau salur darah vena (intravenous injection) dengan menggunakan catheter. Suntikan biasanya akan diberikan oleh para doktor atau jururawat.

Sekiranya anda menggunakan gentamicin yang berbentuk krim atau ointment, pastikan anda mengikut arahan yang telah diberikan oleh doktor dengan betul. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Anda digalakkan meminum banyak air kosong dan menghindari diri daripada mengalami dehidrasi sepanjang tempoh rawatan dengan menggunakan ubat ini bagi mengelak sebarang kesan negatif terhadap buah pinggang anda.

Anda juga akan menjalani ujian darah fungsi buah pinggang secara berkala bagi memantau kesan ubat terhadap buah pinggang.

Kesan sampingan Gentamicin

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa mengambil ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga dikehendaki untuk menghubungi doktor anda dengan segera sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • hilang pendengaran atau telinga berdesing
  • pening kepala yang teruk dan berterusan
  • sesak nafas
  • rasa kebas atau kesemutan pada bahagian tangan dan kaki
  • otot-otot badan menjadi kejang dan ketat
  • sawan
  • sakit perut yang teruk, cirit-birit
  • demam menggigil, pembentukan ulser di dalam mulut, gusi merah dan bengkak, kesukaran untuk menelan
  • tanda-tanda masalah buah pinggang – kencing tak lawas, sakit semasa kencing, bengkak kaki, berasa sangat letih, sesak nafas
  • tanda-tanda ketidakseimbangan elektrolit di dalam darah – mudah berasa keliru, badan berasa sangat lemah, bisa sendi dan tulang, kerap membuang air kecil 
  • tanda-tanda peningkatan tekanan di dalam kepala – sakit kepala, berasa loya dan muntah, penglihatan kabur, sakit di bahagian belakang mata, telinga berdesing

Namun, kesan sampingan gentamicin yang biasa berlaku adalah:

  • masalah penglihatan
  • loya, muntah, hilang selera makan, susut berat badan
  • rasa pitam
  • gatal-gatal atau pembentukan ruam merah pada kulit
  • rasa sakit pada bahagian badan yang menerima suntikan
  • sakit kepala, perubahan mood
  • sakit sendi

 

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar