Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Indomethacin | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Indomethacin | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Indomethacin?

Indomethacin adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat jenis nonsteroidal anti-inflammatory drug (NSAID). Ia bertindak dengan merencatkan penghasilan prostaglandin iaitu sejenis bahan kimia di dalam badan yang boleh menyebabkan keradangan dan kesakitan pada badan.

Indomethacin biasanya digunakan untuk merawat masalah sakit dan radang sendi yang disebabkan oleh arthritis gout, rheumatoid arthritis dan osteoarthritis.

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Indomethacin?

Anda tidak boleh menggunakan Indomethacin sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

Indomethacin boleh meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat serangan jantung atau angin ahmar terutama bagi mereka yang berisiko tinggi seperti penghidap kencing manis dan darah tinggi yang tak terkawal.

Anda tidak dibenarkan untuk mengambil ubat ini sebelum atau selepas pembedahan jantung coronary artery bypass graft (CABG) kerana ia boleh merosakkan salur darah jantung yang dibedah.

Indomethacin juga boleh menyebabkan pendarahan perut dan usus terutama pada warga emas dan mereka yang kerap menghidap masalah gastritis.

Untuk memastikan pengambilan Indomethacin adalah selamat, maklumkan kepada doktor anda sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • penyakit jantung
  • penyakit darah tinggi 
  • pernah menghidap angin ahmar
  • penyakit gastritis atau radang usus
  • penyakit lelah
  • penyakit hati
  • penyakit buah pinggang
  • seorang perokok

Pengambilan Indomethacin semasa mengandung

Tiada kajian yang mencukupi untuk mengatakan Indomethacin selamat untuk diambil semasa mengandung. Pengambilannya masih dibenarkan sekiranya terdesak semasa tempoh hamil masih di bawah 20 minggu. Namun pengambilan Indomethacin selepas 20 minggu hamil boleh meningkatkan risiko kerosakan pada buah pinggang dan jantung bayi dalam kandungan. 

Pengambilan Indomethacin semasa penyusuan badan

Tiada kajian yang mencukupi untuk mengatakan Indomethacin selamat untuk diambil semasa penyusuan badan. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan hanya digalakkan untuk jangka pendek sahaja dan sekiranya ianya jelas membantu untuk mengurangkan risiko penyakit yang dihidapi oleh pesakit.

Cara pengambilan Indomethacin

Ambil Indomethacin seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Indomethacin sebaiknya diambil selepas makan bagi menghindar masalah kembung dan sakit perut.

Indomethacin boleh diperolehi dalam bentuk kapsul. Oleh itu, anda janganlah membuka kapsul ubat untuk mengambil serbuk ubat di dalamnya kerana cara pengambilan sedemikian tidak efektif untuk melegakan sakit anda.

Sekiranya anda menggunakan ubat ini untuk jangka panjang, anda mungkin perlu untuk menjalani ujian darah secara berkala bagi memastikan tiada kesan sampingan ubat terhadap organ-organ anda.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan Indomethacin

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa mengambil ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus memaklumkan doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • penglihatan menjadi rabun
  • sesak nafas
  • bengkak kaki dan kenaikan berat badan secara mendadak
  • pembentukan ruam merah pada kulit
  • tanda-tanda perdarahan di dalam perut seperti najis berwarna hitam, sakit perut yang teruk, muntah berwarna hitam dan kulit kelihatan pucat
  • tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
  • kencing tak lawas
  • tanda-tanda anemia seperti kulit pucat, jantung berdebar, sesak nafas dan pening kepala

Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:

  • loya, muntah
  • pening kepala
  • sakit dan kembung perut

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan Indomethacin

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan Indomethacin dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • Cyclosporine
  • Litium
  • Methotrexate
  • Ubat cair darah (warfarin, Coumadin, Jantoven)
  • ubat jantung dan tekanan darah tinggi seperti diuretik
  • ubat yang mengandungi steroid seperti prednisolone

Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor anda sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar