Apa itu Cetirizine?
Cetirizine adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam kumpulan antihistamine. Ia bertindak dengan cara merencatkan rangsangan reseptor H1 yang terletak pada sistem saraf periferi lalu menghalang histamin daripada bertindak. Histamin adalah sejenis bahan kimia yang dihasilkan oleh darah dan ia boleh mengakibatkan rembesan asid perut yang tak terkawal, pengecutan salur pernafasan, pengembangan salur darah dan tindak balas radang seperti mata berair, selsema dan bersin.
Cetirizine digunakan untuk melegakan simptom-simptom alahan seperti bersin, selsema, mata berair dan kegatalan pada kulit. Oleh itu, ia biasa digunakan untuk merawat penyakit rhinitis, resdung, ekzema, gegata dan asma.
Jenama cetirizine yang boleh diperolehi di pasaran adalah Adezio, Alatrol, Axcel Cetirizine, Ceritec, Cetihis, Cetyrol, Cezti, Hismazine, Ricam dan Simtec.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan cetirizine?
Cetirizine boleh mengakibatkan pening kepala, mengantuk dan kesukaran untuk menumpukan perhatian. Oleh itu, jangan menggunakannya semasa memandu atau sedang mengendalikan jentera berat dan berbahaya. Anda juga tidak dinasihatkan untuk mengambil minuman beralkohol semasa menggunakan ubat ini kerana ia boleh menguatkan kesan sampingan tersebut.
Anda juga harus memaklumkan doktor sebelum mengambil cetirizine sekiranya anda sedang menggunakan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan mengantuk seperti pil tidur, ubat tahan sakit jenis opioid, ubat batuk dan ubat untuk rawatan penyakit mental.
Cetirizine tidak boleh digunakan oleh pesakit yang pernah mengalami alahan semasa pengambilannya.
Cetirizine juga harus diambil dengan berhati-hati sekiranya anda menghidap penyakit buah pinggang dan hati.
Pengambilan cetirizine semasa kehamilan
Kajian telah menunjukkan pengambilan cetirizine semasa kehamilan tidak memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ia selamat untuk digunakan oleh wanita hamil.
Pengambilan cetirizine semasa penyusuan badan
Kajian telah menunjukkan cetirizine boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, ia selamat untuk digunakan semasa penyusuan badan.
Cara pengambilan cetirizine
Anda hendaklah mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini dalam dos yang lebih tinggi, lebih rendah atau tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Cetirizine boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan.
Jangan kunyah atau hancurkan tablet ubat sebelum menelannya kerana cara pengambilan sedemikian tidak akan memberikan kesan yang optimum.
Untuk ubat jenis sirup, anda harus menggoncangkan botol ubat sebelum menyukat dosnya. Gunakan picagari ubat atau sudu penyukat ubat yang telah disediakan oleh pihak farmasi.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan cetirizine
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- jantung berdebar atau denyutan jantung yang tak teratur
- badan berasa lesu
- tangan menggeletar
- insomnia
- perubahan emosi seperti rasa gelisah dan keliru
- mata berasa kering
- kencing tak lawas
- rasa mengantuk
- tekak berasa kering
- batuk
- loya
- sakit kepala
- sembelit
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan cetirizine
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan cetirizine dan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- ubat tahan sakit jenis opioid seperti tramadol
- ubat batuk jenis codeine dan hydrocodone
- cannabis
- ubat tidur seperti alprazolam, lorazepam dan zolpidem
- ubat lembut otot seperti carisoprodol dan cyclobenzaprine
- ubat antihistamine seperti chlorpheniramine dan diphenhydramine
Oleh itu, anda harus memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.