Apa itu Acyclovir?
Acyclovir adalah sejenis ubat antiviral. Ia melambatkan pembiakan dan penyebaran virus herpes dalam badan. Ia tidak akan menyembuhkan herpes tetapi ia boleh mengurangkan gejala jangkitan.
Acyclovir digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh virus herpes seperti herpes genital, kudis, kayap dan cacar air.
Jenama acyclovir yang boleh diperolehi di pasaran adalah Acyclovir Stada, Acylete, Avorax, Axcel Acyclovir, Dravyr, Hepirax D, Lovir, Medovir, Vacrax, Virless, Virucid, Zevin, Zoral, Zorax dan Zovirax.
Maklumat Penting
Ambil acyclovir sepanjang tempoh masa yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Simptom-simptom anda mungkin menjadi lebih baik sebelum jangkitan sembuh sepenuhnya.
Rawatan dengan acyclovir perlu dimulakan secepat mungkin selepas simptom pertama gejala (seperti kulit rasa bisa, kulit rasa terbakar dan lepuh) hadir.
Jangkitan herpes boleh berjangkit, walaupun semasa anda sedang dirawat dengan acyclovir. Elakkan daripada membiarkan kawasan yang dijangkiti bersentuhan dengan orang lain. Elakkan menyentuh kawasan yang dijangkiti dan kemudian menyentuh mata anda. Basuh tangan anda dengan kerap untuk mengelak jangkitan daripada merebak kepada orang lain.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil ubat ini?
Anda tidak boleh mengambil ubat ini jika anda alah kepada acyclovir atau valacyclovir (Valtrex) dan protein susu.
Untuk memastikan ubat ini selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda menghidap:
- penyakit buah pinggang
- sistem imun yang lemah disebabkan oleh penyakit tertentu atau penggunaan ubat tertentu
Beritahu doktor jika anda hamil atau menyusukan bayi anda kerana pengambilan ubat ini boleh memudaratkan kesihatan bayi.
Herpes genital boleh berjangkit kepada bayi anda semasa bersalin secara normal jika anda mempunyai luka pada bahagian kemaluan. Jika anda menghidap herpes genital, ia sangat penting untuk anda menghindarinya daripada melarat menjadi ulser semasa kehamilan.
Pengambilannya mungkin tidak selamat semasa penyusuan badan. Tanya doktor tentang sebarang risiko kepada bayi anda.
Acyclovir tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak yang berumur di bawah 2 tahun.
Bagaimanakah saya perlu mengambil acyclovir?
Jangan berikan tablet oral acyclovir kepada kanak-kanak kecil sebab ia boleh menyebabkan mereka tercekik ubat.
Goncang sirup acyclovir sebelum anda menyukat dos yang telah ditetapkan. Gunakan picagari ubat atau sudu penyukat ubat yang telah disediakan oleh pihak farmasi.
Dos Acyclovir adalah berdasarkan berat badan (terutamanya pada kanak-kanak dan remaja). Dos ubat mungkin berubah jika berat badan meningkat atau menurun.
Minum banyak air semasa anda mengambil ubat ini untuk memastikan buah pinggang anda berfungsi dengan betul.
Kesan sampingan Acyclovir
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.
Hubungi doktor dengan segera jika anda mengalami:
- lebam atau pendarahan pada kulit
- perubahan pada tingkah laku seperti berasa keliru atau halusinasi
- tanda-tanda masalah buah pinggang seperti kencing tak lawas dan bengkak pada kedua-dua belah kaki
- rasa letih atau sesak nafas
Kesan-kesan sampingan acyclovir yang biasa berlaku adalah:
- sakit pada bahagian kulit
- pembentukan ruam merah yang gatal
- loya, muntah, cirit-birit
- sakit kepala
- sakit mulut semasa menggunakan tablet buccal acyclovir