Apa itu Alendronate?
Alendronate adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam kumpalan ubat jenis bisphosphonate. Ia bertindak merencatkan proses yang menghalang pembentukan tulang baru dan tindak balas yang meningkatkan kepadatan tulang. Dalam erti kata lain, alendronate digunakan untuk menguatkan tulang.
Alendronate digunakan untuk merawat masalah tulang lemah yang disebabkan oleh osteoporosis yang berlaku kerana menopause, penggunaan ubat yang mengandungi steroid, masalah hormon gonad dan Paget’s disease.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan alendronate?
Anda tidak boleh menggunakan alendronate sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan semasa pengambilan ubat ini
- masalah kesukaran untuk menelan disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan saluran esofagus
- paras kalsium yang rendah di dalam darah
Anda juga tidak boleh menggunakan alendronate sekiranya anda mempunyai masalah untuk duduk menegak atau berdiri kerana anda perlu berada dalam posisi tersebut selama lebih kurang 30 minit sebaik sahaja mengambil ubat ini bagi mengelak masalah perut dan esofagus.
Pengambilan alendronate juga boleh mengakibatkan tulang rahang menjadi reput terutama pada pesakit kanser yang sedang dirawat dengan kemoterapi, pesakit yang menggunakan ubat yang mengandungi steroid dan pesakit yang menghidap penyakit yang berkaitan darah.
Untuk memastikan pengambilan alendronate selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- kesukaran untuk menelan makanan
- menghidap penyakit gastrik atau gastro-esophageal reflux
- paras kalsium yang rendah di dalam darah
- penyakit buah pinggang
- penyakit yang berkaitan dengan gusi dan gigi
- penyakit yang menyukarkan penyerapan zat makanan di dalam sistem penghadaman seperti ulcerative colitis dan Crohn’s disease
Pengambilan alendronate semasa kehamilan
Kajian pengambilan alendronate oleh haiwan hamil telah menunjukkan gangguan pada tumbesaran anak. Namun tiada kajian terperinci yang telah dilakukan terhadap wanita hamil dan kesannya pada bayi masih kurang jelas. Oleh itu, pengambilan alendronate semasa kehamilan tidak disyorkan.
Pengambilan alendronate semasa penyusuan badan
Kajian menunjukkan alendronate boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat kecil dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan dianggap selamat.
Cara pengambilan alendronate
Ambil alendronate seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan. Ia biasanya diambil sama ada sekali sehari atau sekali seminggu.
Alendronate diambil dalam keadaan perut kosong pada awal pagi lebih kurang 30 minit sebelum sarapan.
Jangan hancurkan atau kunyah tablet ubat sebelum menelannya kerana cara pengambilan sedemikian tidak akan memberi kesan yang optimum.
Ubat juga harus ditelan dengan segelas air kosong. Jangan telan ubat dengan jus, kopi, teh atau air soda kerana ia akan melemahkan penyerapan ubat pada usus.
Dalam tempoh 30 minit selepas menelan ubat, anda tidak dibenarkan untuk:
- berada dalam posisi baring atau sandar
- mengambil sebarang ubat, vitamin, kalsium atau antasid
Maklumkan kepada doktor gigi sekiranya anda perlu menjalani sebarang pembedahan atau prosedur rawatan gigi kerana alendronate boleh mereputkan tulang rahang.
Semasa pengambilan alendronate, anda juga perlu mengikuti program pengawalan diet dan senaman secara rutin. Oleh itu, ikut program yang telah dirancang oleh doktor anda dengan betul.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan alendronate
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- sakit dada atau pedih ulu hati
- kesukaran untuk menelan
- batuk berdarah
- bisa tulang terutama pada bahagian paha dan punggung
- bengkak dan sakit pada bahagian tulang rahang
- tanda-tanda paras kalsium rendah di dalam darah seperti kejang otot dan rasa kebas pada tangan dan kaki
Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- sakit perut atau pedih ulu hati
- loya
- cirit-birit atau sembelit
- bisa tulang, otot dan sendi
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan alendronate
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan alendronate dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- nonsteroidal anti-inflammatory drug (NSAID) seperti ibuprofen, naproxen, celecoxib, diclofenac dan aspirin
Oleh itu, anda perlu memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.