Apa itu Allopurinol?
Allopurinol adalah sejenis ubat yang bertindak untuk merencatkan penghasilan asid urik di dalam badan. Pembentukan asid urik boleh membawa kepada penyakit gout atau batu karang pada buah pinggang.
Oleh itu, allopurinol digunakan untuk merawat penyakit gout, batu karang pada buah pinggang dan untuk mengurangkan tahap asid urik yang tinggi pada pesakit yang menerima rawatan penyakit kanser.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil ubat ini?
Anda tidak boleh mengambil allopurinol jika anda alah kepadanya.
Untuk memastikan allopurinol selamat untuk anda, beritahu doktor anda jika anda pernah menghidap:
- penyakit buah pinggang
- penyakit kegagalan fungsi hati
- kencing manis
- lemah jantung
- tekanan darah tinggi
- jika anda menerima rawatan kemoterapi
Pengambilan allopurinol semasa kehamilan mungkin boleh membahayakan kesihatan bayi dalam kandungan. Oleh itu, maklumkan kepada doktor jika anda hamil atau merancang untuk hamil.
Pengambilannya juga mungkin tidak selamat semasa penyusuan bayi. Tanya doktor anda tentang sebarang risiko.
Bagaimana cara anda mengambil allopurinol?
Ambil allopurinol seperti yang ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda dan baca semua panduan ubat. Doktor mungkin akan mengubah dos anda dalam tempoh rawatan.
Ambil setiap ubat dengan segelas penuh air. Untuk mengurangkan risiko pembentukan batu karang pada ginjal, minum 8 hingga 10 gelas penuh air setiap hari, melainkan doktor memberitahu anda sebaliknya.
Ambil allopurinol semasa makanan jika ia mengganggu perut anda.
Anda mungkin boleh mengalami serangan gout lebih kerap apabila anda mula mengambil allopurinol. Doktor akan mengesyorkan ubat gout lain untuk diambil buat masa itu. Teruskan menggunakan ubat anda seperti yang diarahkan dan beritahu doktor anda jika simptom anda tidak bertambah baik selepas 6 minggu rawatan.
Anda mungkin perlu mengikuti diet khas semasa menggunakan allopurinol. Ikut semua arahan doktor atau pakar diet anda. Anda perlu tahu tentang makanan yang perlu dimakan atau dielakkan untuk membantu mengawal keadaan anda.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarnya daripada rosak.
Kesan sampingan Allopurinol
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.
Berhenti menggunakan ubat ini dan hubungi doktor anda dengan segera jika anda mengalami:
- simptom ruam kulit
- gejala selsema, sakit sendi, kulit lebam, pendarahan yang luar biasa seperti hidung berdarah
- kencing rasa sakit
- darah dalam air kencing
- kencing tak lawas
- kebas, kesemutan dan rasa sakit terbakar pada kulit
- gejala gout yang semakin teruk
- tanda-tanda masalah hati seperti sakit pada bahagian atas sebelah kanan abdomen yang merebak ke bahagian belakang dan bahu sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, najis berwarna pucat dan jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
Kesan sampingan allopurinol yang biasa berlaku adalah:
- mengantuk
- ruam
- ujian darah fungsi hati yang tidak normal
- loya, muntah, cirit-birit
- sakit kepala
- perubahan deria rasa pada lidah