Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Alprazolam | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Alprazolam | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Alprazolam?

Alprazolam adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam kumpulan benzodiazepine. Ia bergabung dengan γ-aminobutyric acid (GABA) type-A receptor (GABAAR) lalu meningkatkan kesan rencatan reseptor tersebut terhadap keaktifan sistem saraf pusat yang terletak di dalam otak.

Alprazolam digunakan untuk merawat masalah kegelisahan, panik dan agoraphobia. Ia juga boleh disalahgunakan sebagai ubat khayal untuk tujuan hiburan.

Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan alprazolam?

Alprazolam boleh menyebabkan kematian sekiranya ia disalahgunakan kerana ia boleh menyebabkan masalah ketagihan dan overdose ubat.

Alprazolam boleh menyebabkan kesukaran untuk bernafas sekiranya ia diambil bersama dengan minuman beralkohol, ubat yang mengandungi opioid dan ubat yang boleh menyebabkan mengantuk.

Jangan hentikan pengambilan ubat ini secara tiba-tiba tanpa mendapatkan nasihat doktor sekiranya anda telah menggunakannya untuk jangka masa yang lama kerana ia boleh menyebabkan sindrom withdrawal. Tanda-tanda sindrom withdrawal adalah tangan menggeletar, mudah berasa cemas dan panik, insomnia, serangan sawan, paranoid, bisa badan dan perubahan pada selera makan.

Anda tidak boleh menggunakan alprazolam sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • pernah mempunyai sejarah alahan semasa pengambilan ubat ini
  • sedang mengambil ubat anti-fungus seperti itraconazole dan ketoconazole

Untuk memastikan pengambilan alprazolam adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  • kesukaran bernafas
  • glaukoma
  • penyakit hati
  • penyakit buah pinggang
  • sawan
  • ketagihan minuman beralkohol
  • masalah emosi seperti kemurungan dan tingkah laku ingin membunuh diri

Alprazolam tidak boleh digunakan oleh pesakit yang berumur 6 bulan ke bawah. Pastikan anda mendapat nasihat doktor sebelum memberikan ubat ini kepada kanak-kanak.

Pengambilan alprazolam semasa kehamilan

Kajian pengambilan alprazolam semasa trimester pertama kehamilan telah menunjukkan risiko bayi boleh mengalami kecacatan sebanyak kurang daripada 1%. Pengambilannya pada hujung trimester ketiga kehamilan pula boleh menyebabkan bayi yang baru dilahirkan mengalami sindrom withdrawal dan sesak nafas.

Oleh itu, alprazolam hanya diberikan kepada wanita hamil sekiranya keadaan kesihatan pesakit sangat kritikal dan ia perlu dipantau dengan teliti oleh doktor. Bayi yang baru dilahirkan juga perlu dipantau dengan teliti untuk sebarang simptom sindrom withdrawal.

Pengambilan alprazolam semasa penyusuan badan

Kajian pengambilan alprazolam semasa penyusuan badan telah menunjukkan bayi menjadi kurang aktif dan mengalami sesak nafas, muntah dan kesukaran untuk menyusu badan. Kesan-kesan ini lebih ketara pada bayi yang dilahirkan dengan berat badan yang rendah dan pramatang.

Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan tidak disyorkan kecuali tiada pilihan ubat-ubatan yang sesuai yang dapat digunakan oleh pesakit.

Cara pengambilan alprazolam

Ambil alprazolam seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Jangan berkongsi ubat ini dengan sesiapa terutama pada mereka yang pernah mengalami masalah ketagihan dadah. Ubat ini sekiranya disalahgunakan boleh menyebabkan ketagihan, overdose ubat dan kematian.

Alprazolam boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Namun sekiranya anda mudah mengalami masalah sakit perut atau perut kembung, pengambilannya selepas makan lebih disyorkan.

Jangan kunyah atau hancurkan tablet jenis extended-release sebelum menelannya kerana cara pengambilan sedemikian tidak akan dapat memberikan kesan yang optimum.

Sepanjang pengambilan ubat ini, anda perlu menjalani ujian darah berkala bagi memantau kesan sampingan ubat terhadap organ-organ penting di dalam badan seperti buah pinggang dan hati.

Elakkan pengambilan ubat ini untuk tempoh lebih daripada 4 bulan kecuali atas nasihat doktor.

Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.

Kesan sampingan alprazolam

Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.

Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:

  • kesukaran untuk bernafas
  • pening atau mengantuk yang teruk
  • berasa gelisah atau mengalami paranoia
  • sawan
  • diplopia

Walau bagaimanapun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:

  • mengantuk
  • berasa penat
  • otot-otot badan berasa lemah
  • hilang keseimbangan badan semasa berdiri dan berjalan

Anda mungkin boleh mengalami gejala withdrawal sekiranya ubat anda dihentikan secara tiba-tiba terutama apabila anda telah menggunakannya untuk tempoh yang lama. Gejala withdrawal boleh berlarutan selama 12 bulan. Pastikan anda hubungi doktor sekiranya anda mengalami masalah-masalah berikut:

  • perubahan emosi seperti kemurungan atau euforia
  • perasaan untuk membunuh diri
  • pergerakan otot-otot pada anggota badan yang tak terkawal
  • halusinasi
  • mudah berasa keliru dan gelisah

Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan alprazolam

Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan alprazolam dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:

  • ubat opioid
  • ubat-ubatan yang boleh menyebabkan mengantuk seperti diazepam, clonazepam, barbiturate, zolpidem dan eszopiclone
  • clarithromycin
  • carbamazepine
  • ubat rawatan penyakit HIV seperti ritonavir
  • ubat anti-fungus seperti ketoconazole dan itraconazole
  • diphenhydramine (Benadryl)
  • cyclobenzaprine
  • trazodone
  • minuman beralkohol

Oleh itu, anda perlu memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar