Apa itu Amiodarone?
Amiodarone adalah sejenis ubat generik yang berasal daripada kumpulan Kelas 3 antiarrhythmia. Ia bertindak merencatkan laluan ion potassium melalui pam potassium yang terletak pada sel otot jantung lalu melambatkan pengujaan otot jantung. Akibatnya denyutan jantung dapat diperlahankan dan distabilkan.
Amiodarone digunakan untuk merawat masalah denyutan jantung tak teratur yang berlaku pada pesakit yang menghidap penyakit ventricular tachycardia dan ventricular fibrillation.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan Amiodarone?
Anda tidak boleh menggunakan amiodarone sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat yang mengandungi iodin
- denyutan jantung lemah yang disebabkan oleh penyakit AV block melainkan jantung anda telah dipasang alat pacemaker
- kerap pitam disebabkan masalah denyutan jantung lemah
Pengambilan amiodarone boleh mendatangkan kesan sampingan yang serius. Oleh itu, maklumkan kepada doktor sebelum menggunakannya sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- kesukaran bernafas yang disebabkan oleh penyakit sistem pernafasan seperti lelah, bronkitis dan sebagainya
- penyakit hati
- penyakit kelenjar tiroid
- masalah penglihatan
- tekanan darah tinggi atau rendah
- ketidakseimbangan paras elektrolit di dalam darah seperti paras potassium dan magnesium yang rendah
Pengambilan amiodarone semasa kehamilan
Kajian menunjukkan pengambilan amiodarone semasa kehamilan boleh mengakibatkan denyutan jantung tak teratur dan masalah tiroid pada bayi. Ia juga boleh mengganggu pertuturan, pergerakan dan fungsi kognitif bayi apabila mereka meningkat dewasa. Oleh itu, pengambilan amiodarone semasa kehamilan tidak disyorkan melainkan dalam keadaan kritikal untuk menyelamatkan nyawa pesakit.
Pengambilan amiodarone semasa penyusuan badan
Kajian menunjukkan pengambilan amiodarone semasa penyusuan badan boleh mengakibatkan masalah tiroid pada bayi. Oleh itu, pengambilan amiodarone semasa penyusuan badan tidak disyorkan melainkan dalam keadaan kritikal untuk menyelamatkan nyawa pesakit.
Cara pengambilan amiodarone
Anda harus mengambil amiodarone mengikut aturan yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Pengambilan amiodarone biasanya akan dimulakan semasa anda berada di dalam wad kerana kadar denyutan jantung harus dipantau dengan teliti pada awal pengambilannya.
Sekiranya anda sedang mengambil ubat anti-arrhythmia yang lain, anda mungkin perlu menghentikan pengambilan ubat tersebut secara perlahan-lahan. Oleh itu, ikut arahan doktor dengan betul.
Amiodarone boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Pengambilannya harus pada waktu yang sama setiap hari.
Anda perlu menjalani ujian darah secara berkala semasa pengambilannya bagi memantau sebarang kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti buah pinggang dan hati.
Pengambilan amiodarone boleh mengganggu penglihatan anda. Oleh itu, sekiranya anda perlu menjalani pembedahan mata, maklumkan kepada doktor bahawa anda sedang menggunakan amiodarone.
Amiodarone juga boleh mengganggu keputusan ujian darah. Oleh itu, maklumkan kepada doktor mengenai pengambilan ubat ini sebelum anda menjalani sebarang pemeriksaan darah.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan amiodarone
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- tanda-tanda masalah pernafasan seperti batuk berkahak atau berdarah, nafas berbunyi dan sakit dada
- denyutan jantung tak teratur atau palpitasi
- pening kepala atau rasa hendak pitam
- tanda-tanda masalah saraf seperti rasa kesemutan pada hujung jari, rasa tak seimbang semasa berdiri atau berjalan, otot-otot badan berasa lemah dan bergerak secara tak terkawal
- tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat dan jaundis
- tanda-tanda masalah tiroid seperti tangan menggeletar, perubahan pada berat badan, bengkak pada bahagian leher, rasa keletihan pada seluruh badan, sukar untuk menumpukan perhatian dan sebagainya
Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- loya, muntah dan hilang selera makan
- sembelit
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan amiodarone
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan amiodarone dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- fingolimod
- ubat rawatan penyakit Hepatitis C seperti ledipasvir, sofosbuvir dan sofosbuvir
- dofetilide
- pimozide
- procainamide
- quinidine
- sotalol
- antibiotik kumpulan macrolide seperti clarithromycin dan erythromycin
- antibiotik kumpulan quinolone seperti levofloxacin
Oleh itu, anda mesti memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.