Apa itu Amitriptyline?
Amitriptyline adalah sejenis ubat tricyclic antidepresan yang mempunyai kesan sedatif. Amitriptyline bertindak dengan cara merencatkan utusan neurotransmitter tertentu yang berkomunikasi di antara sel-sel otak.
Amitriptyline biasanya digunakan untuk merawat masalah emosi seperti kemurungan, melegakan rasa sakit neuropatik dan sakit kepala migrain.
Maklumat penting mengenai Amitriptyline
Anda tidak boleh mengambil amitriptyline jika anda baru mengalami serangan jantung.
Jangan gunakan amitriptyline jika anda telah menggunakan ubat jenis perencat MAO dalam tempoh 14 hari yang lepas seperti isocarboxazid, linezolid, suntikan biru methylene, phenelzine, rasagiline, selegiline dan tranylcypromine.
Anda mungkin mengalami perasaan untuk membunuh diri apabila anda mula mengambil antidepresan seperti amitriptyline, terutamanya jika anda berumur kurang daripada 24 tahun. Doktor anda perlu memeriksa perkembangan rawatan anda untuk sekurang-kurangnya 12 minggu pertama rawatan.
Laporkan sebarang gejala baru atau yang lebih buruk kepada doktor anda seperti perubahan mood atau tingkah laku, rasa bimbang, serangan panik, masalah tidur, atau jika anda merasa impulsif, cepat marah, gelisah, agresif, hiperaktif (mental atau fizikal), lebih mudah rasa tertekan, atau mempunyai pemikiran untuk bunuh diri atau mencederakan diri sendiri.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil ubat ini?
Anda tidak boleh menggunakan ubat ini jika anda alah kepada amitriptyline atau jika anda baru mengalami serangan jantung.
Jangan gunakan amitriptyline jika anda telah menggunakan ubat perencat MAO dalam tempoh 14 hari yang lepas. Interaksi ubat perencat MAO dengan amitriptyline boleh membahayakan kesihatan anda. Antara ubat perencat MAO adalah isocarboxazid, linezolid, suntikan biru methylene, phenelzine, rasagiline, selegiline dan tranylcypromine.
Beritahu doktor jika anda telah menggunakan antidepresan SSRI dalam tempoh 5 minggu yang lalu seperti citalopram, escitalopram, fluoxetine (Prozac), fluvoxamine, paroxetine, sertraline (Zoloft), trazodone dan vilazodone.
Untuk memastikan amitriptyline selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda pernah menghidap:
- gangguan bipolar (kemurungan manik) atau skizofrenia
- penyakit mental atau psikosis
- penyakit kegagalan fungsi hati
- penyakit jantung
- serangan jantung, strok atau sawan
- diabetes (amitriptyline boleh menaikkan atau menurunkan gula darah)
- glaukoma
- masalah kencing tak lawas
Beritahu doktor jika anda sedang hamil atau menyusu badan.
Amitriptyline tidak diluluskan untuk digunakan oleh sesiapa yang berumur di bawah 12 tahun.
Kesan sampingan Amitriptyline
Dapatkan bantuan doktor dengan segera jika anda mempunyai tanda-tanda tindak balas alahan terhadap amitriptyline seperti kegatalan pada kulit, kesukaran bernafas, bengkak pada muka, bibir, lidah atau tekak.
Laporkan sebarang gejala baru atau lebih buruk kepada doktor anda seperti perubahan mood atau tingkah laku, rasa bimbang, serangan panik, masalah tidur atau jika anda merasa impulsif, cepat marah, gelisah, ingin bermusuhan, agresif, hiperaktif (mental atau fizikal), lebih mudah rasa tertekan, atau mempunyai pemikiran untuk membunuh diri atau mencederakan diri sendiri.
Hubungi doktor anda dengan segera jika anda mengalami:
- tanda-tanda lebam atau kebas pada bahagian kulit atau rasa lemah secara tiba-tiba
- masalah penglihatan atau pertuturan
- bengkak atau kemerahan pada bahagian lengan atau kaki
- pemikiran atau tingkah laku yang luar biasa
- rasa pening atau pitam
- sakit dada yang merebak ke bahagian rahang atau bahu diiringi rasa loya, sesak nafas dan berpeluh
- jantung berdebar
- rasa gelisah, keliru, halusinasi
- sawan
- kencing tak lawas atau berasa sakit semasa kencing
- sembelit yang teruk
- mudah lebam pada kulit, pendarahan yang luar biasa seperti hidung berdarah
- demam
- sakit tekak
Walau bagaimanapun, kesan sampingan amitriptyline yang lazim berlaku adalah:
- sembelit, cirit-birit
- loya, muntah, sakit perut
- sakit mulut, perubahan deria rasa pada lidah, lidah berwarna hitam
- perubahan selera makan atau berat badan
- kencing tak lawas
- pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian kulit
- bengkak payudara (pada lelaki atau wanita)
- mati pucuk