Apakah Amoxicillin dan Clavulanate?
Amoxicillin dan clavulanate adalah sejenis ubat daripada gabungan 2 antibiotik. Amoxicillin adalah antibiotik penisilin yang melawan bakteria dalam badan. Clavulanate adalah perencat beta-lactamase yang membantu mencegah bakteria tertentu daripada menjadi kebal terhadap amoxicillin.
Amoxicillin dan clavulanate digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria seperti radang paru-paru, jangkitan telinga, bronkitis, jangkitan saluran kencing dan jangkitan kulit.
Jenama yang boleh diperolehi di pasaran adalah Augmentin dan Clamentin.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil ubat ini?
Anda tidak boleh menggunakan ubat ini jika anda:
- alah kepada amoxicillin dan clavulanate
- alah kepada mana-mana antibiotik daripada kumpulan penisilin atau cephalosporin
- mempunyai penyakit buah pinggang yang teruk atau menjalani rawatan dialisis
- mempunyai masalah kegagalan fungsi hati atau jaundis
- mempungai penyakit mononucleosis
Tablet cecair atau kunyah mungkin mengandungi phenylalanine. Beritahu doktor anda jika anda mempunyai penyakit phenylketonuria (PKU).
Beritahu doktor anda jika anda hamil atau menyusukan bayi.
Amoxicillin dan clavulanate boleh melemahkan kesan ubat pil perancang keluarga. Oleh itu, semasa pengambilannya, bincang dengan doktor anda tentang penggunaan teknik perancang keluarga yang lain seperti kondom, diafragm, kap serviks atau contraceptive sponge untuk mencegah kehamilan.
Cara pengambilan Amoxicillin dan Clavulanate?
Ambil amoxicillin dan clavulanate seperti yang ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda.
Amoxicillin dan clavulanate harus diambil semasa makan.
Ambil ubat setiap 12 jam.
Jangan hancurkan atau kunyah tablet ubat sebelum telan. Telan pil secara keseluruhannya atau pecahkan pil kepada separuh dan ambil kedua-dua bahagian satu demi satu.
Goncang sirup amoxycillin dan clavulanate sebelum anda menyukat dos ubat. Gunakan picagari ubat atau sudu penyukat dos ubat yang telah disediakan oleh pihak farmasi.
Amoxicillin dan clavulanate boleh menjejaskan keputusan ujian darah. Beritahu mana-mana doktor yang merawat anda bahawa anda sedang menggunakan ubat ini.
Gunakan ubat ini untuk tempoh masa yang ditetapkan sepenuhnya walaupun simptom anda telah bertambah baik. Amoxicillin dan clavulanate tidak akan berkesan jika digunakan untuk merawat jangkitan virus seperti selsema influenza.
Simpan ubat pada suhu bilik dan jauhkan dari kelembapan dan haba.
Anda boleh menyimpan sirup antibiotik di dalam peti sejuk tetapi bukan di bahagian freezer. Buang sirup antibiotik yang telah digunakan dalam tempoh 10 hari dari tarikh penutup ubat tersebut dibuka.
Kesan sampingan amoxycillin dan clavulanate
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.
Hubungi doktor anda dengan segera jika anda mengalami:
- sakit perut yang teruk dan cirit-birit
- kulit kelihatan pucat atau kuning
- air kencing berwarna gelap
- demam
- mengalami perasaan keliru
- berasa sangat letih
- hilang selera makan
- sakit pada ulu hati
- kencing tak lawas
- kulit mudah lebam atau mengalami pendarahan yang luar biasa seperti hidung berdarah
Kesan sampingan amoxicillin dan clavulanate yang lazim berlaku adalah:
- loya, muntah dan cirit-birit
- kegatalan pada bahagian kulit, kemaluan dan dubur