Apa itu Atarax?
Atarax (hydroxyzine) bertindak dengan mengurangkan aktiviti impuls saraf di dalam sistem saraf pusat. Ia juga bertindak sebagai antihistamine yang mengurangkan penghasilan histamin semulajadi di dalam badan. Histamine boleh menyebabkan bersin dan selsema, atau kegatalan pada kulit.
Atarax juga digunakan sebagai ubat sedatif untuk merawat masalah emosi seperti rasa cemas, bimbang dan tertekan. Ia juga boleh digunakan bersama dengan ubat-ubatan lain seperti ubat bius.
Atarax juga digunakan untuk merawat tindak balas alahan pada kulit seperti ruam merah dan kegatalan.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil ubat ini?
Anda tidak boleh menggunakan Atarax jika anda alah kepada hydroxyzine.
Untuk memastikan anda boleh mengambil Atarax dengan selamat, beritahu doktor jika anda mempunyai sebarang penyakit lain iaitu:
- epilepsi atau sawan
- asma, emphysema atau masalah pernafasan yang lain
- glaukoma
- penyakit jantung atau tekanan darah tinggi
- ulser perut atau masalah penghadaman
- penyakit tiroid
- penyakit bengkak prostat atau masalah kencing tak lawas
- penyakit kegagalan fungsi hati
- penyakit buah pinggang
Jangan gunakan Atarax semasa hamil. Ia boleh membahayakan kesihatan bayi yang belum lahir. Gunakan teknik perancang keluarga yang lain seperti kondom, diafragm, kap serviks, atau span kontraseptif untuk mencegah kehamilan.
Atarax mungkin boleh meresap ke dalam susu ibu dan membahayakan kesihatan bayi. Oleh itu, jangan gunakan ubat ini tanpa memberitahu doktor anda bahawa anda sedang menyusukan bayi.
Cara pengambilan Atarax
Ambil Atarax seperti yang ditetapkan oleh doktor anda. Jangan ambilnya dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan. Ikut arahan pada label preskripsi anda.
Ambil ubat ini dengan segelas air penuh.
Goncang sirup Atarax sebelum anda menyukat dos ubat. Gunakan picagari ubat atau sudu penyukat dos ubat yang telah disediakan oleh pihak klinik.
Simpan ubat pada suhu bilik dan jauhkan dari kelembapan dan haba.
Kesan sampingan Atarax
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.
Hubungi doktor anda dengan segera jika anda mengalami:
- pergerakan otot yang tak terkawal pada kelopak mata, lidah, rahang, atau leher
- badan menggeletar
- rasa keliru
- sawan
Kesan-kesan sampingan Atarax yang lazim berlaku adalah:
- pening, mengantuk
- penglihatan kabur
- mulut kering
- sakit kepala