Apa itu Atenolol?
Atenolol (Tenormin) adalah sejenis ubat perencat beta (beta-blocker) yang bertindak ke atas reseptor sel-sel jantung dan salur darah (arteri dan vena). Atenolol biasanya digunakan untuk merawat penyakit angina (sakit dada) dan tekanan darah tinggi (hipertensi). Ia juga digunakan untuk menurunkan risiko kematian selepas mengalami serangan jantung.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil ubat ini?
Anda tidak boleh menggunakan atenolol jika anda mempunyai:
- alahan kepadanya
- penyakit konduksi jantung yang serius seperti “AV block” (second atau third degree block)
- degupan jantung yang sangat perlahan
- kegagalan fungsi jantung (lemah jantung)
Untuk memastikan atenolol selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda menghidap:
- masalah kegagalan fungsi jantung seperti mudah sesak nafas, kaki bengkak dan tidur dengan batal tinggi
- penyakit arteri koronari
- asma, bronkitis, emphysema
- kencing manis
- hipertiroid (hormon tiroid tinggi di dalam darah)
- penyakit kegagalan fungsi hati atau buah pinggang
- pheochromocytoma (tumor kelenjar adrenal)
- penyakit vaskular periferal seperti sindrom Raynaud
- alahan kepada ubat-ubat darah tinggi jenis “beta-blocker”
Pengambilan atenolol semasa hamil boleh membahayakan kesihatan bayi yang belum lahir. Oleh itu, beritahu doktor anda jika anda hamil.
Atenolol boleh meresap ke dalam susu ibu dan boleh membahayakan kesihatan bayi yang disusu. Beritahu doktor anda jika anda menyusukan bayi.
Atenolol tidak diluluskan untuk digunakan oleh sesiapa yang berumur kurang daripada 18 tahun.
Cara pengambilan Atenolol
Ambil atenolol seperti yang ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Doktor mungkin akan menukar dos anda untuk memastikan anda mendapat hasil yang terbaik. Jangan gunakan ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Tekanan darah anda perlu diperiksa berkala.
Jika anda memerlukan pembedahan, beritahu pakar bedah lebih awal bahawa anda menggunakan atenolol.
Ia mungkin mengambil masa sehingga 2 minggu sebelum anda mendapat kesan optimum atenolol.
Anda tidak boleh berhenti mengambil atenolol secara tiba-tiba kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan anda.
Jika anda sedang dirawat untuk tekanan darah tinggi, teruskan menggunakan ubat ini walaupun anda sudah berasa sihat. Tekanan darah tinggi sering tidak mempunyai sebarang simptom. Oleh itu, anda mungkin perlu menggunakan ubat ini sepanjang hayat.
Penyakit anda mungkin perlu dirawat dengan gabungan ubat-ubatan. Gunakan semua ubat seperti yang diarahkan oleh doktor anda. Baca panduan ubat yang disediakan pada setiap sampul ubat. Jangan ubah dos atau jadual ubat anda tanpa nasihat doktor anda.
Simpan ubat pada suhu bilik dan jauhkan dari kelembapan dan haba.
Kesan sampingan Atenolol
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.
Hubungi doktor anda dengan segera jika anda mengalami:
- sakit dada
- degupan jantung yang perlahan atau tidak sekata
- rasa pening atau pitam
- sesak nafas (walaupun semasa membuat kerja yang ringan), bengkak pada kedua-dua belah kaki, berat badan naik secara mendadak
- rasa sejuk pada tangan dan kaki
Kesan sampingan atenolol yang lazim berlaku adalah:
- pening
- rasa letih
- perubahan emosi seperti mengalami tekanan perasaan