Apa itu Atorvastatin?
Atorvastatin tergolong dalam kumpulan ubat yang dipanggil perencat reductase HMG CoA, atau “statin.”
Atorvastatin biasanya digabungkan bersama dengan kaedah kawalan diet untuk menurunkan paras kolesterol “jahat” (lipoprotein densiti rendah atau LDL), untuk meningkatkan paras kolesterol “baik” (lipoprotein densiti tinggi atau HDL), dan untuk menurunkan trigliserida (sejenis lemak dalam darah).
Dengan merawat hiperlipidemia, ia depat mengurangkan risiko strok, serangan jantung atau komplikasi jantung yang lain kepada pesakit yang menghidap diabetes jenis 2 dan penyakit jantung koronari.
Atorvastatin digunakan pada orang dewasa dan kanak-kanak yang berumur sekurang-kurangnya 10 tahun.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Atorvastatin?
Anda tidak boleh menggunakan atorvastatin jika anda:
- alahan kepadanya
- mempunyai penyakit kegagalan fungsi hati
- jika anda hamil atau menyusukan bayi
Atorvastatin boleh membahayakan bayi yang belum lahir atau menyebabkan kecacatan kelahiran. Oleh itu, ia tidak boleh diambil semasa hamil. Gunakan kawalan kelahiran yang berkesan untuk mencegah kehamilan semasa anda mengambil ubat ini.
Atorvastatin boleh masuk ke dalam susu ibu dan boleh membahayakan bayi yang disusu. Jangan menyusu semasa anda mengambil ubat ini.
Untuk memastikan ubat ini selamat untuk anda, beritahu doktor anda jika anda pernah menghidap:
- masalah kegagalan fungsi hati
- sakit otot atau bisa badan
- penyakit buah pinggang
- kencing manis
- masalah kelenjar tiroid
- jika anda minum lebih daripada 2 minuman beralkohol setiap hari
Atorvastatin boleh menyebabkan pemecahan tisu-tisu otot skeletal dan ini boleh menyebabkan masalah kegagalan fungsi buah pinggang. Keadaan ini mungkin lebih cenderung berlaku pada orang tua dan pada pesakit yang mempunyai penyakit buah pinggang atau hipotioidisme yang tidak terkawal.
Atorvastatin tidak diluluskan untuk digunakan oleh sesiapa yang berumur kurang daripada 10 tahun.
Cara pengambilan Atorvastatin
Ambil atorvastatin seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Doktor anda mungkin akan menukar dos anda untuk memastikan anda mendapat hasil yang terbaik. Jangan gunakan ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Atorvastatin biasanya diambil sekali sehari dengan atau tanpa makanan. Ambil ubat tersebut pada masa yang sama setiap hari.
Jangan pecahkan tablet sebelum mengambilnya.
Anda mungkin perlu berhenti mengambil ubat ini untuk jangka masa yang singkat jika anda mempunyai:
- sawan yang tidak terkawal
- masalah keseimbangan elektrolit dalam darah contohnya tahap kalium tinggi atau rendah dalam darah anda
- tekanan darah yang terlalu rendah
- jangkitan kuman dalam badan yang serius
- pembedahan atau rawatan perubatan kecemasan
Ia mungkin mengambil masa sehingga 2 minggu sebelum tahap kolesterol anda bertambah baik dan anda mungkin memerlukan ujian darah berkala. Teruskan pengambilan ubat ini walaupun anda sudah berasa sihat. Hiperlipidemia sering tidak mempunyai sebarang simptom. Anda mungkin perlu menggunakan ubat ini sepanjang hayat bergantung kepada nasihat doktor.
Atorvastatin biasanya perlu diambil bersama dengan program pengawalan diet, senaman, dan kawalan berat badan. Ikut arahan doktor anda dengan teliti.
Simpan ubat pada suhu bilik dan jauhkan dari kelembapan dan haba.
Kesan sampingan Atorvastatin
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.
Dalam kes-kes yang jarang berlaku, atorvastatin boleh menyebabkan pemecahan tisu-tisu otot skeletal dan ini boleh merosakkan buah pinggang. Hubungi doktor anda dengan segera jika anda mengalami kesakitan atau kelesuan otot yang tidak dapat dijelaskan terutamanya jika ia diiringi dengan demam, keletihan yang luar biasa dan air kencing berwarna gelap.
Hubungi doktor anda dengan segera jika anda mengalami:
- kelesuan pada otot pinggul, bahu, leher dan belakang badan
- masalah mengangkat tangan, memanjat atau berdiri disebabkan kelesuan otot
- masalah hati – sakit perut di sebelah kanan ulu hati, rasa letih, hilang selera makan, air kencing berwarna gelap dan jaundis (kulit atau mata berwarna kuning)
- masalah buah pinggang – kencing tak lawas, bengkak pada kedua-dua belah kaki, badan berasa letih dan sesak nafas
Kesan sampingan atorvastatin yang lazim berlaku adalah:
- sakit sendi
- hidung tersumbat atau sakit tekak
- cirit-birit
- kesakitan pada tangan atau kaki