Apa itu Azathioprine?
Azathioprine adalah sejenis ubat yang berfungsi untuk melemahkan sistem imun badan anda agar sistem imun badan tidak “menolak” organ yang baru dimasukkan ke dalam badan. Ia boleh berlaku selepas proses pemindahan organ seperti buah pinggang. Penolakan organ berlaku apabila sistem imun mengesan organ baru sebagai penceroboh lalu menyerangnya.
Selain itu, Azathioprine juga digunakan untuk merawat penyakit arthritis rheumatoid.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Azathioprine?
Anda tidak boleh mengambil azathioprine jika anda alah kepadanya.
Anda tidak boleh menggunakan azathioprine untuk merawat arthritis rheumatoid jika anda hamil. Ubat ini boleh membahayakan bayi yang belum lahir. Gunakan teknik perancang keluarga yang berkesan untuk mencegah kehamilan semasa menggunakan ubat ini.
Azathioprine boleh menyebabkan sejenis kanser darah iaitu limfoma pada hati, limpa, dan sumsum tulang. Kes ini biasanya berlaku pada lelaki muda yang menghidap penyakit ‘Crohn’s disease’ atau ‘ulcerative colitis’. Walau bagaimanapun, sesiapa yang menghidap penyakit inflamasi autoimun berisiko tinggi untuk menghidap kanser limfoma.
Azathioprine juga boleh menyebabkan kanser kulit.
Beritahu doktor jika anda pernah menghidap:
- penyakit buah pinggang
- sebarang jenis jangkitan virus, bakteria atau kulat
- penyakit hati
- sejarah rawatan dengan ubat kemoterapi seperti cyclophosphamide, chlorambucil, melphalan, busulfan dan lain-lain
Anda tidak boleh menyusukan bayi semasa anda menggunakan azathioprine.
Cara pengambilan Azathioprine
Doktor anda akan melakukan ujian darah untuk memastikan anda tidak mempunyai masalah kesihatan yang boleh menghalang anda daripada mengambil azathioprine dengan selamat.
Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Doktor mungkin akan menukar dos anda dari masa ke semasa.
Apabila azathioprine diberikan untuk rawatan pemindahan organ, ia biasanya diberikan sebelum atau pada hari pembedahan. Untuk arthritis rheumatoid, azathioprine biasanya diambil setiap hari.
Ia mungkin mengambil masa sehingga 8 minggu sebelum simptom anda bertambah baik. Teruskan pengambilan azathioprine seperti yang diarahkan oleh doktor anda. Namun anda harus memberitahu doktor jika gejala anda tidak bertambah baik selepas 12 minggu pengambilannya.
Ambil azathioprine sewaktu makanan jika ia mengganggu perut anda.
Azathioprine boleh melemahkan sistem imun anda lalu menyebabkan anda berisiko tinggi untuk dijangkiti bakteria, virus atau fungus. Oleh itu, doktor anda perlu memeriksa anda secara berkala.
Simpan ubat pada suhu bilik dan jauhkan dari kelembapan dan haba. Pastikan botol ubat ditutup dengan ketat apabila tidak digunakan.
Kesan sampingan Azathioprine
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.
Azathioprine boleh menyebabkan jangkitan otak yang serius yang boleh membawa kepada kecacatan atau kematian. Hubungi doktor anda dengan segera jika anda mempunyai masalah dengan pertuturan, pemikiran, penglihatan atau pergerakan otot. Simptom-simptom ini boleh bermula secara perlahan-lahan dan menjadi lebih teruk dengan cepat.
Berhenti menggunakan azathioprine dan hubungi doktor anda dengan segera jika anda mengalami simptom-simptom penyakit limfoma iaitu:
- demam, kelenjar bengkak, sakit badan, peluh pada waktu malam dan badan tidak berasa sihat
- kulit kelihatan pucat
- kulit mengalami ruam atau lebam dan mudah berlaku perdarahan pada badan seperti hidung berdarah
- tangan dan kaki berasa sejuk
- pening kepala
- sesak nafas
- sakit perut yang merebak ke bahu
- rasa kenyang walaupun makan sedikit
- penurunan berat badan
Anda juga harus menghubungi doktor anda dengan segera jika anda mengalami:
- tanda-tanda jangkitan kuman (demam menggigil, badan berasa lesu, selsema, sakit tekak, batuk, rasa sakit semasa kencing dan sebagainya)
- loya yang teruk, muntah atau cirit-birit
- kulit mudah lebam atau berlaku pendarahan yang luar biasa seperti hidung berdarah
- degupan jantung yang cepat dan sesak nafas
- air kencing berwarna gelap
- jaundis (kulit dan mata berwarna kuning)
Kesan sampingan yang biasa boleh berlaku adalah:
- loya, cirit-birit, sakit perut
- rambut gugur
- ruam