Apa itu Azithromycin?
Azithromycin adalah sejenis antibiotik yang berasal daripada kumpulan macrolide. Azithromycin biasanya digunakan untuk merawat pelbagai jenis jangkitan bakteria pada badan seperti jangkitan pada sistem pernafasan, kulit, telinga, mata dan penyakit kelamin.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Azithromycin?
Anda tidak boleh menggunakan azithromycin jika anda mempunyai:
- masalah alahan kepada azithromycin
- penyakit jaundis atau hati yang disebabkan oleh pengambilan azithromycin
- masalah alahan kepada antibiotik daripada kumpulan macrolide seperti clarithromycin, erythromycin atau telithromycin
Untuk memastikan azithromycin selamat untuk anda, beritahu doktor anda jika anda pernah menghidap:
- penyakit hati
- penyakit buah pinggang
- myasthenia gravis
- masalah denyutan jantung tak teratur
- paras garam elektrolit kalium yang rendah dalam darah
- sindrom QT panjang (dalam diri anda atau ahli keluarga)
Ubat ini mungkin boleh membahayakan kesihatan bayi yang belum lahir. Oleh itu, beritahu doktor anda jika anda hamil atau merancang untuk hamil.
Azithromycin juga mungkin boleh meresap ke dalam susu ibu dan membahayakan kesihatan bayi yang disusu. Oleh itu, beritahu doktor anda jika anda menyusukan bayi.
Cara pengambilan Azithromycin
Ambil azithromycin seperti yang ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan. Dos dan tempoh rawatan mungkin tidak sama untuk setiap jenis jangkitan.
Anda boleh mengambil azithromycin sebelum atau selepas makanan.
Ambil Zithromax (cecair sirup Azitromycin) dengan perut kosong sekurang-kurangnya 1 jam sebelum atau 2 jam selepas makan.
Buang sirup Zithromax yang sudah tidak digunakan dalam tempoh 10 hari.
Goncang sirup Zithromax sebelum anda menyukat dos ubat. Gunakan picagari ubat atau sudu penyukat dos ubat yang telah disediakan oleh pihak klinik.
Gunakan azithromycin untuk tempoh masa yang telah ditetapkan sepenuhnya walaupun simptom anda telah bertambah baik. Sekiranya anda tidak menghabiskan antibiotik ini dalam tempoh yang ditetapkan ia boleh meningkatkan risiko jangkitan selanjutnya. Azithromycin tidak boleh digunakan untuk merawat jangkitan virus seperti selsema influenza.
Simpan ubat pada suhu bilik dan jauhkan dari kelembapan dan haba bagi mengelak ubat ini daripada rosak.
Kesan sampingan Azithromycin
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.
Hubungi doktor dengan segera sekiranya anda mengalami kesan sampingan berikut:
- sakit perut yang teruk dan cirit-birit yang berdarah atau tidak berdarah
- tanda-tanda arrhythmia seperti degupan jantung laju, rasa berdesir pada dada, sesak nafas dan pening kepala secara tiba-tiba
- tanda-tanda masalah hati seperti loya, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan abdomen, kegatalan pada kulit, rasa letih, hilang selera makan, air kencing berwarna gelap, najis berwarna pucat dan jaundis (kulit atau mata berwarna kuning)
Hubungi doktor dengan segera sekiranya bayi anda mengalami muntah yang kerap semasa menyusu badan.
Warga emas yang mengambil azithromycin mungkin lebih cenderung untuk mengalami kesan sampingan arrhythmias.
Kesan sampingan azithromycin yang lazim berlaku adalah:
- cirit-birit
- loya, muntah dan sakit perut
- sakit kepala