Apa itu Benadryl?
Benadryl (diphenhydramine) adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan ubat antihistamin. Ia berfungsi untuk melegakan kesan sejenis bahan kimia yang dihasilkan di dalam badan yang dinamakan histamin. Histamin boleh menyebabkan badan mengalami simptom-simptom alahan seperti bersin, kegatalan, mata merah dan hidung tersumbat.
Oleh itu, benadryl biasanya digunakan untuk merawat masalah bersin, hidung berair, mata berair, ruam kulit dan batuk berkahak.
Benadryl juga boleh digunakan untuk merawat masalah pening akibat mabuk jalan, merangsangkan rasa mengantuk bagi pesakit imsomnia dan merawat simptom penyakit Parkinson.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Benadryl?
Anda tidak boleh menggunakan Benadryl jika anda mempunyai masalah alahan kepada diphenhydramine.
Benadryl juga tidak sesuai untuk diambil oleh pesakit yang mempunyai masalah:
- perut atau usus tersumbat
- penyakit pundi kencing tersumbat dan kencing tak lawas
- kolostomi atau ileostomy
- penyakit hati atau buah pinggang;
- penyakit sistem respirasi seperti asma, obstruktif pulmonari kronik (chronic obstructive pulmonary disease), emphysema dan bronkitis
- penyakit jantung
- tekanan darah rendah
- glaukoma
- penyakit kelenjar tiroid
- penyakit yang memerlukan anda mengambil ubat garam kalium seperti Cytra, Epiklor, K-Lyte, K-Phos, Kaon, Klor-Con, Polycitra dan Urocit-K.
Warga emas juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat kesan sampingan berbanding dengan orang muda. Oleh itu, dos yang diberikan kepada orang tua haruslah lebih rendah bagi mengelak masalah ini.
Pengambilan Benadryl semasa kehamilan
Tiada kajian kukuh untuk mengesahkan bahawa pengambilan benadryl semasa mengandung tidak memudaratkan kesihatan bayi dalam kandungan. Oleh itu, pengambilannya semasa kehamilan tidak disyorkan melainkan ia jelas perlu untuk mengurangkan risiko komplikasi penyakit yang dihidapi pesakit.
Pengambilan Benadryl semasa penyusuan badan
Benadryl boleh meresap ke dalam susu badan dan membahayakan kesihatan bayi. Ia juga boleh melambatkan pengeluaran susu badan. Oleh itu, bincang dengan doktor sebelum menggunakan ubat ini jika anda menyusukan bayi.
Cara pengambilan Benadryl
Ambil benadryl seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Baca arahan pada label preskipsi anda dengan betul. Jangan gunakan dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Jangan berikan ubat ini kepada kanak-kanak yang berumur kurang daripada 2 tahun. Sentiasa tanya doktor sebelum memberi ubat batuk atau selsema kepada kanak-kanak. Kematian boleh berlaku daripada penyalahgunaan ubat batuk dan selsema pada kanak-kanak di awal usia.
Anda tidak boleh menggunakan Benadryl untuk membuatkan kanak-kanak mengantuk.
Gunakan picagari ubat atau sudu penyukat dos ubat yang telah disediakan oleh pihak farmasi untuk menyukat dos ubat yang perlu diambil.
Untuk rawatan simptom mabuk jalan, ambil Benadryl 30 minit sebelum anda memulakan perjalanan. Teruskan pengambilan Benadryl selepas makanan dan pada waktu tidur dalam tempoh masa perjalanan anda.
Bagi rawatan masalah imsomnia, ambil Benadryl dalam masa 30 minit sebelum waktu tidur.
Hubungi doktor jika simptom anda tidak bertambah baik selepas 7 hari rawatan.
Ubat ini boleh menjejaskan keputusan ujian alahan kulit. Oleh itu, beritahu doktor yang merawat anda bahawa anda sedang mengambil Benadryl.
Simpan ubat pada suhu bilik dan jauhkan dari kelembapan dan haba.
Kesan sampingan Benadryl
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tanda-tanda tindak balas alahan semasa pengambilan benadryl seperti kegatalan pada kulit, sesak nafas, bengkak pada muka, bibir, lidah atau tekak.
Hentikan pengambilan benadryl dan hubungi doktor dengan segera jika anda mengalami:
- degupan jantung laju
- kencing berasa sakit atau tak lawas
- rasa keliru atau pening kepala
- rasa tegang pada leher, rahang dan lidah anda
Kesan sampingan Benadryl yang lazim berlaku adalah:
- pening, mengantuk, hilang keseimbangan badan semasa berdiri atau berjalan
- mulut, hidung dan tekak berasa kering
- sembelit, sakit perut
- mata berasa kering dan penglihatan kabur
- mengantuk