Apa itu Benazepril?
Benazepril adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam kumpulan angiotensin converting enzyme inhibitor (ACE inhibitor). Ia akan bersaing dengan sejenis hormon yang dinamakan angiotensin I untuk mengikat kepada angiotensin converting enzyme. Tindak balas ini akan mengurangkan ikatan angiotensin I kepada angiotensin converting enzyme lalu menghadkan penukaran angiotensin I kepada angiotensin II. Angiotensin II bertindak menaikkan tekanan darah, meningkatkan penyerapan garam sodium dan air pada buah pinggang dan merangsangkan rembesan hormon aldosterone pada kelenjar adrenal.
Benazepril digunakan untuk merawat penyakit tekanan darah tinggi dan lemah jantung. Ia juga digunakan untuk menghindari komplikasi tekanan darah tinggi seperti angin ahmar, serangan jantung akut dan kerosakan buah pinggang.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan benazepril?
Anda tidak boleh menggunakan benazepril sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan kepada ubat ini atau ubat-ubatan daripada kumpulan ACE inhibitor yang lain seperti captopril, enalapril dan lisinopril
- sedang mengambil ubat sacubatril
- menghidap penyakit penyempitan salur darah arteri pada buah pinggang (renal artery stenosis)
- pernah mengalami angioedema atau gegata
Untuk memastikan pengambilan benazepril adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit buah pinggang
- penyakit hati
- penyakit jantung
- pernah menjalani pembedahan pemindahan organ
Pengambilan benazepril semasa kehamilan
Benazepril boleh merosakkan buah pinggang bayi sekiranya diambil oleh wanita hamil terutama pada waktu trimester kedua dan ketiga kehamilan. Oleh itu, pengambilannya semasa kehamilan tidak digalakkan.
Pengambilan benazepril semasa penyusuan badan
Benazepril boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sangat sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan kesihatan bayi. Namun terdapat kes terpencil yang ia boleh menyebabkan tekanan darah bayi menjadi rendah. Oleh itu, pengambilannya semasa penyusuan badan hanya disyorkan sekiranya keadaan terdesak.
Cara pengambilan benazepril
Ambil benazepril seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Benazepril boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan. Anda dinasihatkan untuk meminum air yang banyak dalam tempoh pengambilan ubat ini bagi mencegah kesan sampingan ubat pada buah pinggang anda.
Anda tidak boleh mengambil benazepril dalam tempoh 36 jam sebelum atau selepas mengambil ubat sacubatril kerana interaksi kedua-dua ubat boleh mengakibatkan kerosakan pada buah pinggang, tekanan darah rendah dan paras elektrolit kalium meningkat.
Sekiranya anda menghidap penyakit kencing manis, anda tidak boleh mengambil benazepril secara serentak dengan ubat aliskiren seperti Tekturna dan Tekamlo kerana interaksi kedua-dua ubat boleh mengakibatkan kerosakan pada buah pinggang, tekanan darah rendah dan paras elektrolit kalium meningkat.
Sepanjang tempoh pengambilan benazepril, tekanan darah dan ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan mengawasi kesan sampingan ubat pada organ-organ penting seperti hati dan buah pinggang.
Jangan hentikan pengambilan benazepril tanpa mendapat nasihat doktor walaupun anda mendapati penyakit anda telah berada dalam keadaan terkawal.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan benazepril
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- pening kepala atau rasa hendak pitam
- kencing tak lawas
- tanda-tanda paras potasium darah menjadi tinggi seperti loya, kelesuan pada seluruh badan, rasa kebas pada bahagian tangan dan kaki, sakit dada dan jantung berdebar
- tanda-tanda masalah hati seperti najis berwarna pucat, hilang selera makan, sakit perut pada bahagian atas sebelah kanan, air kencing berwarna teh pekat, jaundis (kekuningan pada bahagian kulit dan mata)
Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- sakit kepala
- pening kepala
- batuk kering
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan benazepril
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan benazepril dan memberikan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- aliskiren
- sacubatril
- ubat kencing manis seperti insulin dan sebagainya
- lithium
- ubat diuretik seperti furosemide dan hydrochlorothiazide
- ubat angiotensin receptor blocker (ARB) seperti losartan dan valsartan
- nonsteroidal anti-inflammatory drug (NSAID) seperti aspirin, ibuprofen, naproxen, celecoxib, diclofenac, indomethacin dan meloxicam
Oleh itu, anda hendaklah memaklumkan doktor anda sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.