Apa itu Benzotropine?
Benzotropine atau benztropine adalah sejenis ubat generik yang digunakan untuk merawat penyakit Parkinson. Ia bertindak sebagai antikolinegik untuk mengawal kesan tindakan 2 jenis bahan semulajadi yang terdapat di dalam badan iaitu acetylcholine dan dopamine. Apabila kesan tindakan kedua-dua bahan ini diseimbangkan di peringkat otak, simptom-simptom seperti kekakuan otot, anggota badan menggeletar dan pergerakan yang lambat dapat dikurangkan.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan benzotropine?
Benzotropine tidak boleh digunakan oleh pesakit yang pernah mengalami masalah alahan semasa pengambilannya.
Untuk memastikan pengambilan benzotropine adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda pernah mempunyai masalah-masalah berikut:
- bengkak kelenjar prostat
- kencing tak lawas
- glaukoma
- penyakit yang berkaitan dengan otot seperti myasthenia gravis, myositis, fibromyalgia dan sebagainya
Benzotropine tidak boleh digunakan oleh pesakit yang di bawah umur 3 tahun.
Pengambilan benzotropine semasa kehamilan
Tidak banyak kajian telah dilakukan ke atas pengambilan benzotropine oleh wanita hamil. Namun setakat ini, kajian yang telah dilakukan mendapati benzotropine tidak memudaratkan kesihatan bayi. Disebabkan tiada data yang mencukupi untuk mengesahkan bahawa ia selamat, maka pengambilannya hanya disyorkan sekiranya keadaan pesakit serius dan pengambilannya harus dipantau dengan teliti oleh doktor.
Pengambilan benzotropine semasa penyusuan badan
Benzotropine boleh meresap ke dalam susu badan dalam kuantiti yang sedikit dan ia tidak cukup kuat untuk memudaratkan bayi sekiranya ia diambil untuk jangka pendek. Namun pengambilan untuk jangka panjang boleh mengakibatkan susu badan menjadi sedikit.
Cara pengambilan benzotropine
Ambil benzotropine seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi. Jangan ambil ubat ini dalam dos yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Benzotropine boleh diambil dalam keadaan sebelum atau selepas makan.
Anda hendaklah meminum banyak air kosong semasa pengambilan ubat ini bagi mencegah mulut daripada menjadi kering. Anda juga harus menjaga kesihatan gigi bagi mencegah pembentukan kaviti.
Jangan hentikan pengambilan benzotropine secara tiba-tiba tanpa mendapatkan nasihat doktor kerana ia boleh mengakibatkan simptom-simptom Parkinson menjadi melarat.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan benzotropine
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- mulut kering sehingga menyukarkan anda untuk bercakap dan menelan makanan
- kencing tak lawas
- jantung berdebar
- pergerakan otot yang tak terkawal
- anggota badan menjadi lemah
- halusinasi dan mudah berasa keliru
- penglihatan kabur, sakit mata dan kelihatan halo semasa memandang cahaya
Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- mulut kering
- sembelit
- loya
- penglihatan kabur
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan benzotropine
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan benzotropine dan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- potassium
- ubat tahan sakit jenis opioid seperti morfin
- ubat batuk seperti codeine dan hydrocodone
- marijuana seperti cannabis
- ubat tidur seperti alprazolam, lorazepam dan zolpidem
- ubat lembut otot seperti carisoprodol dan cyclobenzaprine
- antihistamine seperti cetirizine dan diphenhydramine
Oleh itu, anda harus memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.