Apa itu Bethanechol?
Bethanechol adalah sejenis ubat generik yang digunakan untuk merawat masalah kesulitan untuk membuang air kecil yang disebabkan oleh kehamilan, pembedahan dan kesan ubat. Ia juga digunakan untuk merangsangkan pergerakan peristalsis pada perut.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan bethanechol?
Bethanechol tidak boleh digunakan oleh pesakit yang pernah mengalami masalah-masalah berikut:
- sejarah alahan semasa pengambilannya
- penyakit lelah
- penyakit arteri koronari tersumbat
- hipertiroid
- sawan
- penyakit ulser perut dan usus
- penyakit usus tersumbat
- peritonitis
- penyakit yang menyebabkan saluran kencing dan pundi kencing tersumbat
- penyakit Parkinson
Anda juga tidak boleh mengambil ubat ini sekiranya anda baru selesai menjalani pembedahan buah pinggang dan pundi kencing.
Untuk memastikan pengambilan bethanechol adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- penyakit jantung
- penyakit yang berkaitan dengan sistem penghadaman
- penyakit yang berkaitan dengan sistem buah pinggang dan pundi kencing
- penyakit hipertiroid
- tekanan darah rendah
- kesukaran untuk bernafas
Pengambilan bethanechol semasa kehamilan
Tiada kajian yang telah dilakukan mengenai pengambilan bethanechol semasa kehamilan dan kesannya kepada kesihatan bayi masih belum diketahui. Oleh itu, pengambilan bethanechol semasa kehamilan tidak disyorkan kecuali sekiranya kesihatan pesakit berada dalam keadaan serius.
Pengambilan bethanechol semasa penyusuan badan
Tiada kajian yang telah dilakukan mengenai pengambilan bethanechol semasa penyusuan badan dan kesannya kepada kesihatan bayi masih belum diketahui. Namun pengambilannya masih diamalkan jika perlu dan simptom-simptom kolinergik pada bayi seperti cirit-birit, mata berair, kerap kencing dan rembesan air liur yang banyak harus dipantau.
Cara pengambilan bethanechol
Anda hendaklah mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan pada label preskripsi. Jangan gunakan ubat ini dalam dos yang lebih tinggi, lebih rendah atau tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor anda.
Bethanechol boleh diambil dalam keadaan 1 jam sebelum atau 2 jam selepas makan. Ubat ini akan mula memberikan kesan dalam tempoh 90 minit selepas pengambilannya.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi mengelak ubat tersebut daripada rosak.
Kesan sampingan bethanechol
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- kesukaran untuk bernafas, dada berasa ketat dan nafas berbunyi
- pening kepala atau rasa hendak pitam
- denyutan jantung menjadi perlahan
Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- loya, sakit perut dan cirit-birit
- kerap sendawa
- rembesan air liur yang banyak
- sakit atau pening kepala
- kerap membuang air kecil
- mata berair
- kerap berpeluh
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan bethanechol
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan bethanechol dan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- atropine
- quinidine
- procainamide
- epinephrine
- neostigmine
Oleh itu, anda harus memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.