Apa itu Bisoprolol?
Bisoprolol adalah sejenis ubat yang tergolong di dalam kumpulan beta-blocker. Ia berfungsi untuk merencat tindakan sejenis bahan kimia semulajadi di dalam badan iaitu epinephrine ke atas reseptor jantung dan urat darah. Tindakan bisaprolol akan mengakibatkan penurunan kadar denyutan jantung dan tekanan darah.
Oleh itu, bisaprolol biasanya digunakan untuk merawat penyakit tekanan darah tinggi dan mencegah komplikasi tekanan darah tinggi seperti angin ahmar, serangan jantung dan kerosakan buah pinggang.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Bisoprolol?
Anda tidak boleh mengambil bisoprolol jika anda mempunyai masalah:
- alahan kepada ubat ini
- penyakit jantung yang serius seperti:
- AV block
- lemah jantung yang serius
- degupan jantung perlahan yang menyebabkan pitam
Untuk memastikan bisoprolol selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda mempunyai masalah:
- penyakit jantung seperti lemah jantung, degupan jantung perlahan atau penyakit arteri koronari
- penyakit berkenaan peredaran darah yang lemah seperti penyakit vaskular periferal atau sindrom Raynaud
- asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) atau penyakit sistem respirasi yang lain
- diabetes (bisaprolol boleh menyebabkan gula dalam darah menjadi rendah tanpa mendatangkan sebarang simptom hipoglisemia)
- penyakit hati atau buah pinggang
- penyakit kelenjar tiroid
- alahan kepada ubat daripada kumpulan beta blocker
Bisaprolol mungkin boleh memudaratkan kesihatan bayi yang belum lahir. Oleh itu, penggunaannya semasa kehamilan haruslah mendapat nasihat daripada doktor.
Bisaprolol juga mungkin boleh memudaratkan kesihatan bayi yang menerima susu badan. Oleh itu, penggunaannya semasa laktasi haruslah mendapat nasihat daripada doktor.
Cara pengambilan Bisoprolol
Ambil bisoprolol seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Doktor mungkin akan mengubah dos anda dari masa ke semasa untuk memastikan anda mendapat hasil yang terbaik. Jangan gunakan ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Jangan mengubah masa pengambilan ubat atau berhenti mengambil bisaprolol secara tiba-tiba. Ia boleh membuat keadaan kesihatan anda menjadi lebih teruk.
Jika anda memerlukan pembedahan, beritahu pakar bedah terlebih awal bahawa anda sedang menggunakan bisoprolol kerana ia boleh memberi kesan kepada ubat bius.
Simpan ubat pada suhu bilik dan jauhkan dari kelembapan dan haba.
Kesan sampingan Bisoprolol
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tanda-tanda tindak balas alahan semasa pengambilan bisaprolol seperti kegatalan pada kulit, sesak nafas, bengkak pada muka, bibir, lidah atau tekak.
Hubungi doktor anda dengan segera jika anda mengalami:
- sesak nafas (walaupun dengan senaman ringan), bengkak pada kaki atau peningkatan berat badan yang mendadak
- kadar denyutan jantung yang perlahan
- palpitasi (rasa desiran pada denyutan jantung)
- rasa kebas, kesemutan atau sejuk pada tangan atau kaki
- rasa pening atau pitam
- sakit mata atau penglihatan kabur
- dada rasa sesak dan sukar bernafas
Kesan-kesan sampingan bisoprolol yang lazim berlaku adalah:
- sakit kepala
- rasa letih
- masalah tidur (insomnia)
- sakit sendi
- bengkak kaki
- simptom resdung seperti hidung tersumbat, selsema, batuk atau sakit tekak.