Apa itu Budesonide?
Budesonide adalah sejenis ubat yang berasal daripada kumpulan corticosteroid. Ia bertindak untuk melegakan tindak balas radang di dalam badan dengan merencatkan rembesan asid hydrolase daripada sel leucocyte. Budesonide biasanya digunakan untuk merawat penyakit alahan seperti asma (lelah), kronik pulmonary obstruktif (chronic obstructive pulmonary disease), sinusitis (resdung) dan rhinitis.
Budesonide boleh diperolehi dalam bentuk inhaler dan spray nasal (hidung).
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Budesonide?
Anda perlu berbincang dengan doktor anda sebelum mengambil budesonide. Anda tidak boleh mengambil ubat ini jika anda mempunyai masalah berikut:
- tibi (batuk kering)
- jangkitan paru-paru yang serius seperti pneumonia
- tekanan darah tinggi
- sistem imun yang lemah disebabkan oleh penyakit tertentu seperti kencing manis, HIV etc
- osteoporosis
- ulser perut
- penyakit hepar (hati)
- ekzema
- alahan kepada budesonide
- sejarah keluarga penyakit kencing manis, katarak atau glaukoma
Jangan ambil budesonide jika anda hamil tanpa mendapatkan nasihat daripada doktor. Budesonide mungkin boleh membahayakan kesihatan bayi dalam kandungan. Setakat ini, tiada kajian kukuh yang mengatakan budesonide selamat untuk diambil semasa kehamilan.
Jika anda telah mengambil budesonide semasa mengandung, beritahu doktor anda jika bayi anda mengalami simptom-simptom kurang aktif, kerap muntah atau kurang selera makan.
Tiada kajian yang sahih untuk mengesahkan bahawa budesonide tidak meresap ke dalam susu badan. Kesannya terhadap bayi yang menyusu juga masih kurang jelas. Oleh itu, pengambilannya semasa kehamilan tidak disyorkan melainkan ia jelas perlu untuk mengurangkan risiko komplikasi penyakit yang dihidapi pesakit.
Cara pengambilan Budesonide inhaler dan spray nasal
Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Doktor mungkin akan menukar dos anda dari masa ke semasa.
Budesonide inhaler digunakan untuk merawat masalah lelah atau obtruktif pulmanonari. Ia biasanya digunakan semasa serangan ‘acute’. Oleh itu, sekiranya simptom anda tidak lega selepas penggunaannya, segera berjumpa dengan doktor anda untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Budesonide spray nasal pula digunakan untuk merawat masalah sinusitis dan rhinitis. Ia biasanya digunakan untuk jangka panjang. Oleh itu, jangan gunakannya dalam dos yang lebih tinggi atau lebih rendah daripada yang disyorkan oleh doktor anda.
Bilas mulut anda dengan air selepas menggunakan budesonide inhaler untuk mencegah pembentukan thrush (jangkitan kulat di dalam mulut atau tekak). Jika anda menggunakan inhaler dengan corong hidung, basuh corong tersebut dengan bersih selepas anda menggunakannya.
Jangan biarkan kanak-kanak kecil menggunakan budesonide tanpa bantuan daripada orang dewasa. Kanak-kanak di bawah umur 6 tahun perlu menggunakan inhaler budesonide dengan disambungkan pada ‘aerochamber’.
Hubungi doktor anda jika simptom anda tidak bertambah baik atau ia menjadi lebih teruk.
Simpan ubat pada suhu bilik dan jauhkan dari kelembapan dan haba.
Kesan sampingan Budesonide
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan semasa pengambilan budesonide seperti kegatalan pada kulit, sukar bernafas, bengkak pada muka, bibir, lidah atau tekak.
Hubungi doktor anda dengan segera sekiranya anda mengalami:
- sesak nafas atau rasa tercekik selepas menggunakan inhaler budesonide
- pembentukan tompok putih atau kudis di dalam mulut atau bibir (berlaku pada pengguna inhaler budesonide)
- penglihatan kabur, sakit atau bengkak mata, atau melihat ‘halos’ di keliling lampu
- tanda-tanda infeksi seperti demam, sakit tekak, bisa badan dan loya
- tanda-tanda gangguan pada hormon kelenjar adrenal seperti badan mudah berasa letih, pening, loya atau kerap muntah
Penggunaan budesonide inhaler atau spray nasal untuk jangka panjang boleh membantutkan tumbesaran kanak-kanak. Oleh itu, beritahu doktor anda sekiranya pesakit lambat membesar.
Kesan sampingan budesonide inhaler atau spray nasal yang biasa berlaku adalah:
- hidung bersin atau tersumbat
- mata merah dan berpasir
- demam, sakit tekak atau batuk
- loya, muntah, cirit-birit, sakit perut, hilang selera makan
- hidung berdarah (bagi pengguna budesonide spray nasal)
- sakit kepala, sakit pinggang