Selasa, 24 Disember 2024
Tanya Dr Akbar
Home Kamus Ubat Bupropion | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil
A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Bupropion | Kesan sampingan & Pengambilan Semasa Hamil

by admin
0 comments

Apa itu Bupropion?

Bupropion adalah sejenis ubat antidepresan yang digunakan untuk merawat penyakit kemurungan. Selain itu, bupropion juga ada digunakan untuk merawat simptom ketagihan rokok bagi pesakit yang ingin berhenti merokok. Tidak seperti ubat-ubat antidepresan yang lain, bupropion dapat bertindak tanpa melemahkan tenaga batin para pesakit.

Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Bupropion?

Jangan gunakan bupropion jika anda telah menggunakan ubat perencat MAO (MAO inhibitor) dalam tempoh 14 hari yang lalu. Interaksi ubat yang berbahaya boleh berlaku. Contoh perencat MAO adalah isocarboxazid, linezolid, methylene biru, phenelzine, rasagiline, selegiline dan tranylcypromine.

Anda tidak boleh mengambil bupropion jika anda mempunyai masalah-masalah berikut:

  1. sejarah alahan kepada bupropion
  2. penyakit sawan
  3. kurang selera makan seperti anorexia atau bulimia
  4. sedang berhenti secara tiba-tiba daripada mengambil minuman beralkohol, ubat sawan atau sedatif seperti Xanax, Valium, Fiorinal dan Klonopin

Jangan ambil ubat ini untuk merawat lebih daripada satu penyakit pada satu masa. Jika anda mengambil bupropion untuk merawat masalah kemurungan, jangan gunakannya dalam masa yang sama untuk merawat simptom-simptom berhenti merokok.

Bupropion boleh menyebabkan sawan terutamanya jika anda menghidap penyakit tertentu atau menggunakan ubat-ubatan tertentu. Beritahu doktor anda tentang semua keadaan perubatan anda dan ubat-ubatan yang anda gunakan.

Untuk memastikan ubat ini selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda pernah menghidap:

  1. kecederaan kepala, sawan atau tumor saraf otak atau tulang belakang
  2. glaukoma ‘narrow-angle’
  3. penyakit jantung atau tekanan darah tinggi
  4. kencing manis
  5. penyakit buah pinggang atau hati
  6. kemurungan, gangguan bipolar atau penyakit mental yang lain
  7. jika anda mengambil minuman beralkohol

Sesetengah pesakit mempunyai pemikiran untuk membunuh diri semasa pertama kali mengambil antidepresan. Doktor anda perlu memeriksa kemajuan penyakit anda dari masa ke semasa sewaktu anda menggunakan ubat ini. Keluarga anda atau penjaga lain juga perlu berjaga-jaga terhadap perubahan dalam tingkah laku anda.

Tanya doktor anda tentang pengambilan ubat ini semasa hamil. Bupropion mungkin boleh membahayakan kesihatan bayi yang belum dilahirkan kerana setakat ini tiada kajian kukuh dilakukan terhadap wanita hamil. Walau bagaimanapun, anda mungkin mengalami relaps kemurungan jika anda berhenti mengambil antidepresan secara tiba-tiba. Oleh itu, beritahu doktor anda dengan segera jika anda hamil. Jangan memulakan atau berhenti mengambil bupropion tanpa mendapat nasihat daripada doktor anda.

Bupropion mungkin tidak selamat untuk penyusuan badan. Oleh itu, tanya doktor anda tentang sebarang risiko sekiranya anda perlu mengambilnya semasa penyusuan badan.

Bupropion tidak diluluskan untuk digunakan oleh sesiapa yang berumur kurang daripada 18 tahun.

Cara pengambilan Bupropion

Ambil bupropion seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Jangan hancurkan, kunyah atau pecahkan tablet jenis ‘slow-release’ atau ‘extended-release’. Telan tablet tersebut keseluruhan.

Anda tidak boleh menukar dos anda atau berhenti menggunakan bupropion secara tiba-tiba melainkan jika anda mengalami sawan semasa pengambilannya. Berhenti secara tiba-tiba boleh menyebabkan simptom ‘withdrawal’. Dapatkan nasihat doktor mengenai cara untuk menghentikan ubat ini dengan selamat.

Dalam rawatan menghentikan tabiat merokok, sekiranya anda tidak sesuai mengambil bupropion, doktor anda akan mengesyorkan rawatan alternatif yang lain seperti rawatan pengganti nikotin jenis ‘patch’.

Sesetengah orang yang mengambil bupropion (Wellbutrin atau Zyban) akan mengalami tekanan darah tinggi yang teruk, terutamanya apabila mereka juga menggunakan produk pengganti nikotin. Tekanan darah anda mungkin perlu diperiksa sebelum dan semasa rawatan dengan bupropion.

Ubat ini boleh menyebabkan ujian dadah menjadi positif. Oleh itu, beritahu pegawai yang memeriksa bahawa anda sedang mengambil bupropion.

Simpan ubat anda pada suhu bilik dan jauhkannya dari haba dan kelembapan.

Kesan-kesan sampingan Bupropion

Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tindak balas alahan terhadap ubat ini seperti pembentukan ruam merah yang gatal pada bahagian tertentu badan, sesak nafas, bengkak pada muka, mulut dan mata dan kesukaran untuk menelan. Dalam kes yang ekstrim, anda mungkin akan mengalami rasa pitam.

Laporkan kepada doktor sekiranya anda mengalami simptom-simptom penyakit yang baru semasa pengambilan atau selepas ubat ini dihentikan seperti kegelisahan, kemurungan, serangan panik, insomnia, cepat berasa marah, mempunyai tingkah laku aggresif dan mempunyai perasaan untuk membunuh diri.

Kesan sampingan yang biasa berlaku semasa pengambilan ubat ini adalah:

  1. sawan
  2. perubahan mood atau tingkah laku
  3. penglihatan kabur, sakit atau bengkak mata, atau melihat ‘halos’ di keliling lampu
  4. degupan jantung menjadi laju atau tidak teratur
  5. mulut berasa kering, sakit tekak atau hidung tersumbat
  6. telinga berdesing
  7. penglihatan kabur
  8. loya, muntah, sakit perut, hilang selera makan atau sembelit
  9. masalah tidur (insomnia)
  10. anggota badan menggeletar, berpeluh atau berasa cemas
  11. ruam pada kulit
  12. penurunan berat badan
  13. kerap kencing
  14. sakit atau pening kepala
  15. sakit sendi atau otot

 

Tanya Dr Akbar
Soal jawab kesihatan bersama Dr Akbar

Tanya Dr Akbar adalah sebuah blog kesihatan yang membincangkan pelbagai aspek kesihatan bersama editor kita, Dr Muhammad Akbar Abdullah. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai kesihatan anda, sila hubungi kami di bawah.

Follow Us

Subscribe

Hak cipta terpelihara@2023 Blog Tanya Dr Akbar