Apa itu Cabozantinib?
Cabozantinib adalah sejenis ubat generik yang tergolong di dalam kumpulan multikinase inhibitor atau VEGFR inhibitor. Ia bertindak sebagai kemoterapi untuk merawat penyakit kanser kelenjar tiroid, buah pinggang dan hati. Dalam rawatan penyakit kanser, pengambilan cabozantinib biasanya akan digabungkan dengan ubat imunoterapi seperti nivolumab.
Jenama cabozantinib yang boleh diperolehi di pasaran adalah Cabometyx.
Apa anda perlu tahu sebelum menggunakan cabozantinib?
Pengambilan cabozantinib boleh menyebabkan pembentukan fistula atau lubang pada dinding mukosa perut dan usus. Ia meningkatkan risiko untuk berlakunya perdarahan di dalam sistem penghadaman.
Untuk memastikan pengambilan cabozantinib adalah selamat, maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai masalah-masalah berikut:
- luka terbuka pada kulit
- paras kalsium yang rendah di dalam darah
- tekanan darah tinggi
- penyakit hati
- penyakit ulser perut dan usus
- perdarahan yang luar biasa seperti batuk berdarah, najis berdarah dan muntah berdarah
- penyakit gusi atau gigi
Pengambilan cabozantinib semasa kehamilan
Kajian menunjukkan pengambilan cabozantinib semasa kehamilan boleh memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, pengambilannya tidak disyorkan semasa mengandung. Pesakit juga perlu menjalani ujian saringan hamil sebelum memulakan ubat ini bagi memastikan mereka tidak hamil.
Pesakit juga tidak digalakkan hamil dalam tempoh 4 bulan selepas menamatkan rawatan dengan ubat ini.
Pengambilan cabozantinib semasa penyusuan badan
Pengambilan cabozantinib semasa penyusuan badan boleh memudaratkan kesihatan bayi. Oleh itu, pesakit tidak digalakkan menyusu badan dalam tempoh rawatan. Mereka hanya selamat untuk menyusu badan selepas 4 bulan daripada tamat tempoh rawatan.
Cara pengambilan cabozantinib
Anda harus mengikut dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor. Ikut arahan yang tertulis pada label preskripsi ubat anda. Jangan gunakan ubat ini dalam dos yang lebih besar, lebih rendah atau tempoh yang lebih lama daripada apa yang telah ditetapkan oleh doktor.
Cabozantinib boleh diambil dalam keadaan 1 jam sebelum atau 2 jam selepas makan. Pastikan anda meminum air yang banyak semasa pengambilan ubat ini.
Jangan hancurkan atau kunyah ubat jenis tablet sebelum menelannya kerana cara pengambilan sedemikian tidak akan memberi kesan yang optimum. Begitu juga bagi ubat yang berbentuk kapsul, elakkan daripada membuka kapsul ubat dan menelan serbuknya kerana cara pengambilan sedemikian juga tidak berkesan.
Sepanjang tempoh rawatan, pemeriksaan tekanan darah dan ujian darah akan dilakukan secara berkala bagi memantau keberkesanan rawatan dan mengesan sebarang kesan sampingan ubat pada organ-organ penting di dalam badan seperti hati, buah pinggang dan kelenjar tiroid.
Anda perlu menghentikan pengambilan ubat ini dalam tempoh 3 minggu sebelum menjalani sebarang pembedahan dan prosedur rawatan gigi. Anda hanya boleh memulakan pengambilannya selepas 2 minggu tamat tempoh rawatan.
Pastikan ubat ini disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada haba dan kelembapan bagi menghindarinya daripada rosak.
Kesan sampingan cabozantinib
Dapatkan bantuan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda alahan semasa pengambilan ubat ini seperti bengkak mata, bibir dan kulit, sesak nafas dan kesukaran untuk menelan.
Anda juga harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami kesan-kesan sampingan berikut:
- sakit kepala yang teruk, penglihatan kabur dan rasa berdenyut pada leher dan telinga
- cirit-birit, sembelit dan muntah yang teruk dan berpanjangan
- bengkak pada tangan dan kaki
- perdarahan yang luar biasa seperti hidung berdarah, gusi berdarah dan kencing berdarah
- jaundis
- pening kepala atau rasa hendak pitam
- pembentukan ruam merah yang melepuh dan sakit pada tapak tangan dan kaki
- berasa keliru atau sukar untuk menumpukan perhatian pada sesuatu benda
- sawan
- gusi membengkak dan menjadi merah
- rahang gigi berasa sakit atau kebas
- tanda-tanda paras kalsium rendah di dalam darah seperti otot mengalami kekejangan dan rasa kebas atau kesemutan pada jari tangan dan kaki
- tanda-tanda darah putih rendah seperti demam tinggi, sakit tekak, pembentukan ulser di dalam mulut, batuk dan sesak nafas
- tanda-tanda komplikasi pada kelenjar adrenal seperti loya, muntah, keletihan yang teruk, pening kepala dan rasa hendak pitam
- tanda-tanda serangan angin ahmar seperti pertuturan menjadi pelat, sebelah bahagian badan menjadi lemah secara tiba-tiba, penglihatan kabur dan kesukaran untuk menseimbangkan badan semasa berdiri dan berjalan
Namun kesan sampingan yang biasa berlaku adalah:
- loya, muntah, sakit perut, cirit-birit atau sembelit
- sakit dan bengkak pada bahagian mulut dan tekak
- kesukaran untuk bercakap
- perubahan pada deria rasa lidah
- seluruh badan berasa lesu
- bisa badan
- pembentukan ruam merah
- susut berat badan
- rambut menjadi nipis
Ubat-ubatan yang boleh bertindak balas dengan cabozantinib
Senarai ubat-ubatan di bawah boleh bertindak balas dengan cabozantinib dan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan badan:
- Abametapir
- Apalutamide
- Boceprevir
- Carbamazepine
- Ceritinib
- Clarithromycin
- Cobicistat
- Conivaptan
- Enzalutamide
- Fedratinib
- Fexinidazole
- Fosnetupitant
- Fosphenytoin
- Idelalisib
- Indinavir
- Itraconazole
- Ketoconazole
- Lopinavir
- Lumacaftor
- Mitotane
- Nefazodone
- Nelfinavir
- Netupitant
- Phenytoin
- Posaconazole
- Rifampin
- Ritonavir
- Saquinavir
- St John’s Wort
- Telaprevir
- Telithromycin
- Voriconazole
- Warfarin
Oleh itu, anda perlu memaklumkan doktor sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan tersebut.