Apa itu Captopril?
Captopril adalah sejenis ubat darah tinggi yang tergolong di dalam kumpulan ubat jenis ACE inbibitor atau angiotensin-converting-enzyme inhibitor.
Captopril digunakan untuk merawat penyakit tekanan darah tinggi (hipertensi), lemah jantung, masalah buah pinggang yang disebabkan oleh diabetes dan untuk mengurangkan risiko serangan jantung berulang.
Jenama captopril yang boleh diperolehi di pasaran adalah Apuzin dan Captopril Stada.
Apa anda perlu tahu sebelum mengambil Captopril?
Anda tidak boleh mengambil captopril sekiranya anda mempunyai sejarah alahan kepadanya atau ubat-ubatan daripada kumpulan ACE inhibitor seperti benazepril, fosinopril, enalapril, lisinopril, moexipril, perindopril, quinapril, ramipril dan trandolapril.
Anda juga perlu mengelakkan pengambilan captopril bersama dengan ubat aliskiren jika anda menghidap penyakit buah pinggang.
Untuk memastikan captopril selamat untuk anda, beritahu doktor jika anda menghidap:
- penyakit buah pinggang atau sedang menjalani rawatan hemodialisis
- penyakit hati
- kencing manis
- penyakit connective tissue disease seperti sindrom Marfan, sindrom Sjogren, lupus erythematosus, scleroderma dan arthritis rheumatoid
Jangan ambil captopril jika anda hamil. Captopril boleh memudaratkan kesihatan bayi sekiranya ianya diambil semasa trimester kedua dan ketiga kehamilan.
Captopril boleh meresap ke dalam susu badan dan membahayakan kesihatan bayi. Oleh itu, anda tidak boleh menyusukan bayi semasa menggunakan captopril.
Cara pengambilan Captopril
Ambil captopril seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikut semua arahan pada label preskripsi anda. Doktor mungkin akan mengubah dos ubat dari masa ke semasa. Jangan gunakan ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.
Captopril biasanya diambil 1 jam sebelum makan.
Hubungi doktor jika anda mengalami muntah-muntah, cirit-birit yang berterusan dan berpeluh lebih daripada biasa. Anda berisiko untuk mengalami dehidrasi dan tekanan darah rendah sekiranya ianya berlaku semasa pengambilan captopril.
Anda hendaklah meminum banyak air setiap hari semasa pengambilan captopril.
Tekanan darah anda perlu diperiksa dengan kerap dan anda mungkin perlu menjalani ujian darah berkala semasa pengambilan captopril bagi memantau keadaan organ-organ penting di dalam badan seperti buah pinggang dan hati.
Captopril boleh mengganggu keputusan ujian darah. Oleh itu, beritahu doktor bahawa anda sedang menggunakan captopril.
Jika anda perlu menjalani pembedahan, beritahu doktor pakar bedah terlebih awal bahawa anda sedang menggunakan captopril. Anda mungkin perlu berhenti menggunakan ubat ini untuk sementara waktu.
Jika anda sedang dirawat untuk tekanan darah tinggi, teruskan menggunakan ubat ini walaupun anda berasa sihat. Tekanan darah tinggi sering tidak mempunyai gejala. Anda mungkin perlu menggunakan ubat ini sepanjang hayat.
Simpan ubat pada suhu bilik dan jauhkan dari kelembapan dan haba agar ianya tidak rosak.
Kesan sampingan Captopril
Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengalami tanda-tanda tindak balas alahan terhadap captopril seperti kegatalan pada kulit, kesukaran bernafas, bengkak pada muka, bibir, lidah dan tekak.
Kesan sampingan yang boleh berlaku semasa pengambilan captopril adalah:
- pening kepala dan pitam
- kencing tak lawas atau kencing kerap
- sesak nafas (walaupun dengan senaman ringan), bengkak kaki atau kenaikan berat badan secara mendadak
- sakit dada
- kandungan garam potassium yang tinggi dalam darah yang boleh menyebabkan simptom-simptom seperti loya, kadar denyutan jantung yang tak teratur dan lemah anggota badan
- batuk kering
- kulit berasa pijau dan kesemutan terutama pada bahagian kaki dan tangan
- gangguan deria rasa pada lidah
- pembentukan ruam merah yang gatal pada kulit